Seni & Sukan 21 Nov, 2022

Video| Siapa bakal juara GV9? Jaclyn, Shila, Bob Yusof ke final! Tomok, Hazrul, kumpulan VE pun mara!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this

SEPARUH akhir Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) cukup mendebarkan para peserta. Ini kerana daripada lapan peserta, dua perlu disingkir kerana hanya enam peserta dipilih ke peringkat akhir.

Para peserta yang perlu menyampaikan lagu solo dan lagu duet perlu memberikan persembahan terbaik agar tidak tersingkir.

Ini kerana setelah berada pada peringkat separuh akhir peluang peserta sama rata, cuma kesalahan kecil boleh menyebabkan ada peserta kecundang.



Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Bob Yusof memperlihat kesungguhan mereka untuk memberi persembahan terbaik sehingga dipuji oleh para juri. 

Jaclyn muncul juara mingguan dengan memperoleh 84.35 markah diikuti Shila 79.2 markah dan Bob Yusof 78.70 markah.

Persembahan Tomok pula agak merosot, dan begitu juga penyanyi dari Singapura, Hazrul Nizam yang menyebabkan mereka hanya mampu menduduki tempat keempat dan kelima dengan 75.95 markah dan 75.8 markah.

Mujur Tomok dan Hazrul Nizam berjaya memperbaiki persembahan dalam nyanyian duet. Tomok diduet dengan Bob Yusof, sementara Hazrul Nizam berduet dengan kumpulan VE.

Juri Syafinaz Selamat menyifatkan persembahan Tomok dan Bob Yusof  sempurna dalam nyanyian duet lagu ‘Seniman Menangis’ yang dipopular oleh Allahyarham Ismail Haron. 



Kumpulan VE yang dianggotai Zaf, Cham, Shah dan Damian juga tidak sebaik persembahan minggu lalu sehingga daripada pernah menduduki tangga kedua, kini jatuh ke tangga keenam.

VE menjadi penyanyi berkumpulan kedua berjaya ke peringkat akhir GV selepas kumpulan One Nation Emcees mendapat tempat kelima dalam GV6 pada 2019.

Dina Nadzir dan Fuad Rahman yang mengimpikan ke final GV9  terpaksa terhenti langkah apabila hanya mampu menduduki tangga ketujuh dan kelapan dengan cuma memperoleh 59.2 markah dan 58.3 markah.

Kedua-dua artis ini menerima kritikan keras daripada para juri kerana banyak melakukan nyanyian sumbang. Dan secara kebetulan Dina dan Fuad diganding dalam nyanyian duet  ‘Boneka’ nyanyian asal Ernie Zakri.



Keputusan peringkat akhir pada Ahad, 27 November 2022 ini dijangka tidak banyak berubah dengan keputusan pada peringkat separuh akhir. 

Berdasarkan prestasi mingguan dan separuh akhir, Jaclyn mempunyai peluang cerah untuk menjadi juara. Atau mungkin Shila Amzah, Bob Yusof atau Tomok boleh memberi kejutan.

Ella muncul sebagai penyanyi undangan dengan mendendangkan dua lagu popularnya, 'Permata Biru dan 'Luluh'.

GV5 menawarkan hadiah wang tunai RM100,000 untuk juara, RM50,000 naib juara, RM30,000 untuk tempat ketiga, RM20,000 untuk tempat keempat, RM15,000 tempat kelima dan RM10,000 bagi tempat keenam. - KitaReporters


Berikut ialah kedudukan peserta dalam peringkat separuh akhir Gegar Vaganza 9 :

01   Jaclyn Victor          84.35

02   Shila Amzah          79.20

03   Bob Yusof              78.7

04   Tomok                   75.95

05   Hazrul Nizam        75.8

06   Kumpulan VE        74.3

07   Dina Nadzir           59.2

08   Fuad Rahman       58.3

# Dina dan Fuad tersingkir

 
14
10
0
17
0
You will be interested