Seni & Sukan 31 Mar, 2022

Keluarga Malaysia: Warga emas, sukarelawan gotong-royong! Bersihkan pusat jagaan! Sambut Ramadan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


Aktiviti gotong-royong didahulukan dengan majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat di dua pusat jagaan berkenaan.


HIDUP tersisih dan dibebani dengan menghidap pelbagai penyakit tidak mematahkan semangat warga emas untuk ceria menyambut Ramadan penuh keberkatan apabila mereka ringan tulang sama-sama menyertai aktiviti gotong-royong di pusat jagaan yang menjadi tempat berteduh mereka.

Dengan berkerusi roda atau bertongkat, warga emas terbabit mengagahi tulang empat kerat di dua pusat jagaan iaitu Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih dan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor, bergading bahu bersama-sama sukarelawan membersih kawasan dalam dan luar pusat jagaan berkenaan pada 26 dan 27 Mac 2022 lalu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pusat jagaan

Warga emas berkerusi roda turut ringan tulang bersama-sama sukarelawan dalam aktiviti gotong-royong membersih PJMM pada 26 Mac 2022 sempena menyambut Ramadan.


Sebelum memulakan aktiviti bergotong-royong itu, program berkenaan didahulukan dengan majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat yang sebelum ini diadakan secara tertutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 mula menular dua tahun lalu.

Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado, berkata berikutan pandemik Covid-19 yang menuju ke fasa endemik baharulah aktiviti bergotong-royong itu membabitkan beberapa sukarelawan dari luar yang dibenarkan berada dalam pusat jagaan berkenaan, bagaimanapun tetap mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan seperti memakai pelitup muka.

Menurutnya, tanpa tenaga sukarelawan memang agak sukar bagi pihak pengurusan pusat jagaan untuk menyempurnakan kerja membersih kawasan dalam dan luar serta membuang sampah sarap yang tidak diperlukan.


Walaupun kurang bertenaga warga emas di PJNH tetap bersemangat menyertai aktiviti gotong-royong.


Jelasnya, bagi warga emas pula mereka berasa tidak selesa untuk duduk melihat sahaja aktiviti gotong-royong itu dan sebaliknya turut serta melakukan kerja pembersihan sekadar termampu dengan tenaga yang ada walaupun tidak dapat bergerak pantas seperti orang lain.

“Saya kagum dengan semangat mereka terutama apabila tidak pernah merungut dengan kemudahan yang disediakan malah ada sesetengah yang sihat serta bertenaga pula turut membantu seperti dalam urusan hidangan makanan untuk rakan penghuni di pusat ini,” katanya.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman, berkata beberapa hari sebelum gotong-royong dilakukan warga emas terbabit sering bertanya bila hendak dimulakan aktiviti berkenaan yang menunjukkan mereka turut berasa bertanggungjawab membersih pusat jagaan itu.


Sukarelawan membantu kerja menukar tilam baharu untuk warga emas di PJNH dalam aktiviti gotong-royong yang diadakan itu.


Menurutnya, dia berasa terharu dengan semangat warga emas terbabit yang menunjukkan minat untuk melihat persekitaran pusat jagaan bersih serta indah bagi menyambut kedatangan Ramadan selain sering memenuhi surau untuk beribadat walaupun dalam keadaan keuzuran.

Tambah beliau, pihak pengurusan tidak berniat untuk menyusahkan mereka tetapi warga emas itu tetap bersungguh-sungguh menunjukkan semangat untuk menyertai aktiviti gotong-royong bersama-sama sukarelawan walaupun dengan berkerusi roda.

“Mungkin dengan pembabitan ini mereka dapat melepaskan rasa tertekan kerana duduk di pusat jagaan tanpa sebarang aktiviti bercampur dengan masyarakat, sebaliknya berasa seronok apabila dapat bersama-sama sukarelawan dalam gotong-royong berkenaan,” katanya.


Wakil Pertubuhan Kebajikan Nurunnisak menerusi Projek Amal Foodbank menyerahkan sumbangan kepada Mohiadin.


Sementara itu, bersempena aktiviti gotong-royong itu pertubuhan bukan kerajaan iaitu Pertubuhan Kebajikan Nurunnisak menerusi Projek Amal Foodbank mereka menginfakkan pelbagai barangan makanan keperluan asas kepada PJNH.  

Manakala Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga Taman Maju Jaya, Cheras Indah, Selangor pula  menyampaikan sumbangan pelbagai barangan bersempena menyambut Ramadan serta mendengar taklimat ringkas mengenai operasi PJMM yang disampaikan oleh Azman. - KitaReporters


Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga Taman Maju Jaya, Cheras Indah menyerahkan sumbangan sempena menyambut Ramadan kepada Azman.

22
19
1
13
0
You will be interested