Seni & Sukan 11 Sep, 2021

Keputusan 'berani mati' OKS! Tinggalkan kerusi empuk FAM! Setuju latih Sabah! Pulang ke gagang!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


Perletakan jawatan Datuk Ong Kim Swee sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjadi kejutan kepada komuniti bola sepak negara apatah lagi apabila beliau menerima tawaran menjadi jurulatih Sabah FC, pasukan yang sedang bergelut dengan prestasi merudum.

Ramai hairan dengan keputusan Kim Swee yang sanggup meninggalkan kerusi empuk serta bilik berhawa dingin di FAM untuk berpeluh di tengah padang bersama pasukan Sabah sehingga mencetuskan pertanyaan apakah yang mendorong beliau mengambil keputusan drastik itu?

Malah, ada yang menganggap keputusan Kim Swee itu sebagai langkah ‘berani mati’ kerana kesanggupannya meninggalkan keselesaan yang dinikmati bersama FAM untuk menjadi jurulatih Sabah, satu cabaran yang bukan calang-calang berdasarkan kedudukan pasukan itu sekarang.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Ong Kim Swee

 

Sathianathan menganggap Kim Swee membuat keputusan bijak menyertai Sabah.


Namun, bagi Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan, apa yang dilakukan oleh Kim Swee patut dipuji dan disokong malah dianggap sebagai langkah yang tepat.

“Sebagai jurulatih, orang seperti Kim Swee sentiasa mahukan mencari cabaran baharu. Mungkin itu yang mendorong beliau untuk meninggalkan FAM dan menyambut tawaran Sabah.

“Pada saya, kedua-dua pihak membuat pilihan yang tepat. Sabah memang memerlukan jurulatih yang berkaliber seperti Kim Swee untuk mengubah nasib mereka dan saya sebagai presiden PJBM sangat berbangga mereka memilih anak tempatan.


Kredit foto: FB Sabah Football Club



“Kim Swee juga membuat pilihan yang tepat dengan menyambut tawaran Sabah itu. Prestasi Sabah yang sedang terumbang-ambing sekarang adalah satu cabaran untuk beliau membuktikan kemampuannya.

“Tapi, sudah tentulah Sabah tidak boleh mengharapkan keajaiban daripada Kim Swee untuk menukarkan nasib mereka dalam sekelip mata sebaliknya mereka perlu memberinya masa serta kebebasan untuk beliau membentuk pasukan itu.

“Malah, dengan pengalaman luas Kim Swee bersama FAM dengan mengendalikan pasukan remaja serta senior, Sabah juga boleh memanfaatkannya untuk pembangunan bola sepak negeri itu untuk jangka panjang,” kata Sathianathan.


Sepanjang 14 tahun bersama FAM, Kim Swee sudah menjalankan pelbagai tugas termasuk membawa skuad Bawah 23 tahun memenangi pingat emas Sukan SEA 2011. Kredit foto: FAM 


Mengenai tanggapan bahawa Kim Swee sengaja ‘mencari penyakit’ dengan meninggalkan FAM dan menyertai Sabah, Sathianathan ternyata tidak bersetuju dengan pandangan itu.

“Saya rasa Kim Swee pun sudah memikirkan perkara kini semasak-masaknya sebelum membuat keputusan. Beliau sudah lama dalam bidang ini dan pasti bijak dalam membuat sesuatu tindakan.

“Sudah tentu beliau telah mengadakan perbincangan dengan Sabah FC dan kedua-dua pihak bersetuju dengan apa yang dibincangkan sehingga Kim Swee bersetuju menerima tawaran.

“Saya yakin Kim Swee mampu melaksanakan tugasnya dengan baik asalkan dia diberi kuasa serta kekebasan penuh untuk menentukan hala tuju pasukan.

“Lagi pun, bola sepak Sabah bukan asing kepada Kim Swee. Dia pernah bermain di sana malah isterinya pun orang Sabah. Faktor-faktor akan turut membantu,” ujar Sathianathan.

Untuk rekod, Kim Swee pernah menyarung jersi Sabah dan membantu pasukan itu menjuarai Piala Malaysia pada 1995 dan Liga M 1996. Begitu pun tidak dinafikan cabaran besar sedang menanti Kim Swee sekembalinya beliau ke pangkuan pasukan itu kali ini. 



Jurulatih dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto direhatkan oleh Sabah FC selepas pasukan gagal mencapai sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan berturut-turut.


Sabah mengalami kemerosotan prestasi sejak pertengahan musim 2021 sehingga mengambil keputusan merehatkan ketua jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto ekoran kegagalan mereka mencapai sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan berturut-turut.

Tugas beliau diambil alih oleh penolongnya, Burhan Ajui namun nasib malang Sabah berterusan apabila dibelasah 6-0 oleh Selangor FC di Stadium Likas pada Ahad, 4 September, 2021 lalu.

Dengan keputusan itu, Sabah menduduki tangga kesembilan, mencatat empat kemenangan, tujuh seri dan 10 kekalahan selepas mengharungi 21 perlawanan. Pasukan itu melengkapkan jadual musim ini dengan bertemu Perak FC pada Ahad, 12 September 2021.


Irfan Bakti Abu Salim. Kredit foto: Kuching City FC 


Sementara seorang lagi jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim menganggap langkah diambil oleh Kim Swee itu sebagai perkembangan yang baik untuk bola sepak Malaysia.

“Ilmu yang beliau miliki sepanjang bertugas di FAM sangat berguna untuk bola sepak Sabah dan negara dengan menjadi jurulatih pada peringkat kelab.

“Beliau masih muda, masih banyak yang boleh beliau tawarkan serta pada masa sama beliau juga akan dapat menambah ilmunya sebagai jurulatih.

“Saya yakin Kim Swee akan berjaya di Sabah, cuma pesan saya beliau perlu banyak bersabar kerana apabila mengendalikan sebuah kelab, karenahnya berbeza berbanding duduk di FAM,” kata Irfan Bakti.


Kenyataan rasmi FAM mengenai perletakan jawatan Kim Swee. 


FAM dalam satu kenyataan pada Sabtu, 10 September, 2021, mengumumkan perletakan jawatan Kim Swee sebagai pengarah teknikal berkuat kuasa pada 1 Oktober, 2021 ini. Beliau menjawat jawatan itu sejak Januari, 2021.

Sepanjang 14 tahun bersama badan induk bola sepak negara itu, sejak 2007, beliau dipertanggungjawabkan dengan pelbagai tugasan. Antaranya, sebagai ketua jurulatih skuad B-16 kebangsaan, membimbing skuad B-17, skuad Harimau Muda, skuad B-23, skuad senior kebangsaan.

Antara kejayaan Kim Swee sepanjang bersama FAM ialah membimbing pasukannya muncul juara Piala Belia 2007, naib juara Piala Belia 2008, juara Liga Perdana 2009, pingat emas Sukan SEA 2011, juara Pestabola Merdeka 2013 dan pingat perak Sukan SEA 2017.

Pencapaian terhebat beliau sudah pastinya ketika membimbing skuad B-23 hingga mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 AFC buat pertama kalinya selain turut layak ke peringkat kalah mati pada Sukan Asia 2018. KitaReporters


Kim Swee meninggalkan kerusi empuk dan bilik berhawa dingin FAM untuk mencari cabaran baharu bersama Sabah FC. - Kredit foto: FAM

17
14
0
16
0
You will be interested