Seni & Sukan 22 Apr, 2020

KURENG ASSEM!! HOMESTAY KENA PECAH MASUK!!

@rashidah ibrahim
Bermula di Berita Harian sebagai wartawan di meja berita am 1985, diikuti Berita Minggu, meja mahkamah dan pendidikan sebelum ke majalah Anjung Seri (1993-2015). Jawatan terakhir Timbalan Editor. Meneraju variaseri.com youtube Anjung Destinasi TV.

Share this
BOLEH dikatakan semua orang terkesan kerana wabak Covid-19. Satu dunia menghadapinya. Pemain industri mahupun pengguna terpaksa menerima dugaan. Kita tahu industri pelancongan antara terjejas teruk. Hotel-hotel hampir kosong kerana tiada lagi yang ingin menyewa, malahan yang membuat tempahan awal pun membatalkannya kerana gara-gara Covid-19. : KitaReporters

Kredit foto: FB The Moment Villas. - Gambar hiasan


Ini kisah pengusaha homestay. Nasib mereka sama dengan pengusaha hotel. 

Tiada lagi tetamu datang. Kalau ada yang ingin menyewa pun ditolak. Tak berani terima orang asing. 

Lagi pun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak dibenar perjalanan antara negeri dan daerah tanpa alasan, bagaimana orang jauh nak datang? 

Kebanyakan patuh dengan arahan duduk di rumah untuk putuskan rangkaian jangkitan.

"Nasib saya seperti jatuh ditimpa tangga. Namun sebagai Islam, masih boleh menerimanya. 

"Tak nak fikir sangatlah pasal kerugian tu," ujar pengusaha homestay (rumah inap) yang mahu dikenali Kak Da

Beliau ada tiga unit homestay sederet, di satu kawasan perumahan di Lembah Klang.

Barang seperti TV selalunya menjadi sasaran diambil sewaktu pecah rumah. - Kredit foto: Sehijau 


Apabila kerajaan mengumumkan PKP pada 18 Mac 2020, pada esoknya famili yang sepatutnya menyewa tiga bulan di satu homestaynya terus berkemas dan tergesa-gesa pulang ke kampung di Johor, meninggalkan sebahagian barang di homestay. 

Mereka bercadang datang semula apabila keadaan pulih. Pasangan berkenaan menyewa homestay Kak Da untuk urusan terapi anaknya yang menghidap dyslexia.

Tiga hari kemudian, penyewa di rumah sebelah pula mengambil keputusan berhenti kerana keadaan yang tidak menentu. 

Mereka ialah grup pasukan futsal wanita, menyewa di situ untuk tujuan mengikuti program latihan. Menurut perancangan awal akan menyewa 8 bulan, namun sempat tinggal dua bulan saja.

"Kak Da pulangkan semua wang cagaran, kerana tidak mahu meletakkan kerugian ke atas mereka berikutan kejadian di luar kawalan masing-masing. 

"Selepas mereka keluar, kami tak pergi menjenguk homestay kerana PKP," kata Kak Da.

Rumah penginapan Sehijau di Gombak ditutup musim wabak Covid-19 dan sepanjang Perintah Kawalah Pergerakan (PKP). - Kredit foto: Sehijau 


Selepas 10 hari, baru tergerak nak pergi. Sesampai saja, alangkah terkejut salah satu unit, pintunya terbuka, ada kesan kena pecah masuk. 

Antara barangnya yang hilang menurut Kak Da ialah TV dan satu barang milik penyewa. 

Setelah diperiksa, didapati barang yang hilang ialah jenis gajet. Barang elektrik lain, perabot dan kemasan lain tidak diusik.

"Sudahlah melanggarkan PKP, berani pula pecah masuk rumah orang. Namun Kak Da reda, nasib baik penyewa faham apabila dimaklumkan kejadian itu," cerita Kak Da yang mengakui buat masa ini masih bingung nak beralih kepada bisnes apa pada musim wabak ini, melainkan kembali kepada kegiatan lama iaitu menulis bagi menghilangkan kebosanan.

Kegiatan melukis dinding Tahan Guest House dengan motif flora fauna di Taman Negara sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).  - Kredit foto: Tahan Guest House.


Lain pula kisah kawan Kak Da, seorang pengusaha homestay di Jerantut. 

Pengusaha Tahan Guest House (TGH), Norhasiyati Taharin berkata, beliau dan suami ada di homestay hampir setiap hari. Ketiadaan tetamu memberi peluang kepada mereka menaik taraf hiasan dalamannya.

"Saya dan suami melukis dinding dan membuat sedikit pengubahsuaian, ambil peluang sewaktu guesthouse kosong," ujarnya. 

Dengan banyak masa berada di situ, kuranglah risiko kecurian atau kejadian pecah rumah.

Perihal kesan PKP, kata Norhasiyati, memanglah terkesan. 

Menurutnya, kali ini seluruh pusat pelancongan di Kuala Tahan ditutup. Jadi tiada pelancong langsung. 

Sunyi, sepi.

Menurutnya, ini bukan kali pertama homestay itu menghadapi zaman kemerosotan. Selama 20 tahun beroperasi, telah melalui beberapa kali dugaan.

Tahan Guest House, Fatehah Guest House Inn, Yati  Jungle Inn. - Kredit foto - Tahan Guest House


"TGH bukan kali pertama diuji. Kini ditutup kerana PKP. Seluruh Taman Negara Pahang pun ditutup. 

"Ujian lain sebelum ini ialah bekalan air kampung pernah dipotong secara sengaja, bekalan elektrik TNB terputus dua minggu kerana jalanraya runtuh hingga Sultan Pahang turun padang ke lokasi kejadian.

"Pada Sept 11, 2011, TGH melalui pengalaman pahit, apabila kesemua pelancong warga Eropah terus check-out tanpa sepatah kata. 

"Selepas itu timbul perkataan Islamophobia. TGH juga mengalami pahit getir bencana jerebu terburuk di Asia Tenggara, selain merasai kepayahan ketika musim penyakit berjangkit SARS melanda Asia Tenggara. 

"Dan kini diuji lagi dengan merebaknya virus Covid-19. Semoga TGH dan guesthouse adik-adiknya, Fatehah in dan Yati Jungle Inn akan terus tabah mengharungi cabaran Covid-19," doa Norhasiyati.

Suasana bilik Ambacang Homestay Bukittinggi. - Kredit foto - Ambacang Homestay


Ini pula kisah homestay di Bukittinggi, Sumatera Barat, Indonesia

Ambacang Homestay turut terkesan, tiada bisnes baru masuk, tempahan pakej pelancongan yang sudah dipersetujui pun ditangguh dan ada yang batal.

Ambacang Homestay Bukittinggi, Indonesia. - Kredit foto - Ambacang


Sebelum keadaan menjadi teruk, pengusahanya Muhammad Subari yang juga pemilik agensi pelancongan dan pemandu pelancong, pantas beralih kepada perniagaan lain. 

"Masih boleh bertahan walaupun nafas ekonominya dah terkena kesan Covid-19. 

"Sekarang beralih kepada bisnes bakeri dibantu oleh isteri, di samping menanam sayur-sayuran dan menjual telur ayam," ujar Muhammad Subari yang sebelum ini rancak menguruskan pakej pelancongan dari Malaysia.

Homestay Ambacang Bukittinggi, Sumatera Barat, Indonesia kini bergantung kepada kegiatan Pesona Bakery, tanaman sayur dan menjual telur ayam. - Kredit foto: Pesona Bakery

1
0
0
0
0
You will be interested