Seni & Sukan 24 Sep, 2020

Filem untuk anda frontliners! Juang cipta sejarah tersendiri

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

SEJUMLAH 3 penerbit, 6 pengarah, 100 artis, 200 kru untuk 1 filem….. kesemuanya bergabung untuk satu misi JuangTapi apa yang mereka Juangkan?? Maka nantikan kemunculan Juang! : KitaReporters


Lagi cerita-cerita berkaitan filem:

https://kitareporters.com/search?search=filem


Wow! Hari ini dalam sejarah ni bagi industri perfileman Malaysia. Barangkali ini hikmahnya di sebalik pandemik COVID-19 yang masih bermaharajalela kini. 

Namun perjuangan harus diteruskan jadi tepat sekali tajuk ‘Juang’ diketengahkan oleh para pelaku seni tempatan kali ini yang  ‘hidup’ dengan idea terbaharu, sekali gus membawa kepada pembikinan sebuah projek mega yang tak pernah direncana sebelum ini.



Buat julung kalinya dalam sejarah penerbitan filem Malaysia, tiga syarikat gergasi Asia iaitu Tropical Films (Matt Lai), Suhan Movies (Datuk Rosyam Nor) dan The Film Engine (Jack Lim) bergabung dengan satu misi perjuangan.

Lebih istimewa dan belum pernah terlaksana, di bawah projek tiga rumah produksi ini, terhasil pula idea membariskan enam pengarah tersohor yang cukup dikenali di dalam mahu pun di luar negara dengan karya terunggul masing-masing.

Mereka yang terpilih itu terdiri daripada Osman Ali, Kabir Bhatia, Yusry Abdul Halim, Matt Lai dan satu-satunya 'bunga' yang masih segar di antara 'kumbang'nya bak kata  pengarahnya sendiri, Eirma (Erma) Fatima.

Enam pengarah yang terlibat. Dari kiri: Matt Lai, Jack Lim, Eirma Fatima, Osman Ali, Kabir Bhatia & Yusry.


‘BerJuang’ bersama mereka merangkumi 200 pelaku seni serta 100 barisan pelakon yang siap memberi kejutan betapa karya yang akan dihasilkan pada musim pandemik ini mempunya nilai yang tidak mungkin dilupakan.

Memakai nama kata 'Juang' yang diambil dari perkataan Perjuangan juga bermaksud melawan, projek mega ini kelak akan menampilkan lima kisah berlainan latar namun mengambil semangat dan cerita bagaimana setiap satu daripada rakyat Malaysia terutama perjuangan mereka di barisan hadapan bangkit dan memperjuangkan kehidupan di sebalik musibah yang melanda negara.

“Ini sebagai tanda solidariti terhadap dunia seni yang juga sempat ikut terkesan dengan pandemik Covid 19,” ujar Datuk Rosyam Nor sebagai salah seorang daripada tiga penerbit terlibat pada majlis pelancaran filem ‘Juang’ yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka pada Selasa, 22 September 2020 lalu.

Apabila seluruh dunia ditimpa wabak berbahaya, sudah tentu untuk memutuskan rantaian COVID-19 itu suatu yang bukannya mudah tetapi memerlukan kesepakatan seluruh rakyat yang terkesan.

Soalnya bagaimana ia mampu dilaksanakan?


Jawapannya ada pada ‘Juang’.

“Gabungan enam pengarah tersohor yang dipilih itu akan memberikan gambaran sebenar perjuangan barisan hadapan,” tambah Rosyam Nor.

Biarpun pandemik  COVID-19 bukanlah sebuah kejadian yang manis untuk dikenang namun ‘Juang’ mengambil pendekatan  menonjolkan sisi positif dengan memperlihatkan sebuah kehidupan yang lebih baik di masa hadapan.

"Mereka  di barisan hadapan berhak mendapat penghormatan dan pengiktirafan dari seluruh rakyat Malaysia dan hajat kami mahu mendokumentasikan semua momen ini dalam sebuah filem adalah satu kebanggaan," kata penerbit Jack Lim pula.

Menurutnya, projek besar ini dilaksanakan juga sebagai sebuah apresiasi kepada semua petugas barisan hadapan yang telah bertungkus lumus melakukan tugas mereka bagi menjaga negara dengan begitu baik sepanjang pandemik yang masih belum surut ini.

Sementara itu, bagi penerbit Matt Lai, beliau turut rasa terharu dan berterima kasih dengan pengorbanan yang dilakukan para pejuang barisan hadapan dan kerana itu sanggup menyumbangkan wang ringgit bagi .tujuan menghasilkan ‘Juang’.

"Inilah masanya untuk kami semua bergabung dan setiap daripada kami tidak ingin terlepas untuk memberi sumbangan yang bermakna buat tanah air tercinta, Malaysia,” kata Matt Lai.

Tambahnya idea 'Juang' tercetus ketika semua rakyat Malaysia menghabiskan masa bersama keluarga kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau ‘lockdown’.

"Namun pada saat kita berdiam di rumah, ada barisan pejuang yang mempercaturkan nyawa dan hidup mereka yang tidak didendang dalam berkhidmat kepada negara,” ujar Lai.


Lebih menarik, di bawah arahan enam pengarah ternama tersebut, ada tiga pelakon yang tidak kurang hebat dan popular sebagai ‘pemancing’ penonton iaitu Zizan Razak, Zul Ariffin  dan  Jack Lim sendiri yang sebelum ini pernah berlakon di samping Rosyam dalam filem ‘Balistik’.

Menurut ketiga-tiga artis berkenaan, mereka rasa teruja dan bangga dapat bersama merasai pahit manis barisan hadapan demi mempertahankan keselamatan negara.

“Cerita begini kena mengena juga dengan saya kerana sewaktu COVID-19, saya dah rasa lain macam dah, memang rasa stres malah nak pegang tombol pintu pun saya takut sehingga guna kaki nak tolak pintu, memang citer ini dekat dengan saya,” cerita Zizan ringkas.

Jadi tambah Zizan, beliau pasti akan melakukan yang terbaik bagi wataknya sebagai Hafiz mewakili barisan frontliners.

“Sebagai pelakon memang kita mahu turut terlibat dan merasai situasi yang melanda kita semua dan saya  ingin mengucapkan terima kasih kerana memberikan saya peluang lakonan ini,” sambung Zul Arifin yang bakal menghidupkan watak Johan.

Bagaimana kelak 'Juang' akan dipersembahkan?  Segalanya bakal terjawab di pawagam tahun depan pada bulan Mac 2021.

Sementara itu, segala info terkini ‘Juang’ boleh diperoleh di semua laman media sosial, Instagram, Twiter dan FB @JUANGthemovie. - KitaReporters


1
0
0
2
0
You will be interested