Seni & Sukan 09 Sep, 2020

Lagu Selamatkan Legasi terperap 8 tahun! Kenapa MonoloQue?

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

KARYA ini sudah lama terperap dalam ‘peti sejuk’ apabila dihasilkan oleh penyanyi dan komposer, Loque pada tahun 2012. Kini ‘Selamatkan Legasi’ dicairkan kembali bagi menghangatkan industri muzik tempatan. Soalnya kenapa selepas hampir sedekad lamanya? – KitaReporters


Lagi cerita-cerita berkaitan lagu:

https://kitareporters.com/search?search=lagu


”Benar, lagu 'Selamatkan Legasi' ini sudah ada sejak 2012 tetapi ‘feel’-nya kurang kerana ‘pitch’ lagu ini sangatlah tinggi dan saya tak boleh nak sampai sehinggakan lagu ini terpaksa digugurkan dalam album 'Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu Abad Ke-21)' bagi dinyanyikan kumpulan MonoloQue,” ujar Loque atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Anuar.

Gitaris kumpulan Butterfingers ini merupakan antara anggota kumpulan muzik Malaysia MonoloQue yang ditubuhkannya  pada 2004, di mana semasa lagu tersebut diciptakan pada tahun 2012 ia dianggotai Loko, Dax, Ijoo “Gagak Hitam” dan Apex.

Menurut Loque, disebabkan rasa sedikit ralat terhadap karyanya itu, beliau mengambil keputusan untuk tidak menyenaraikannya dalam album ‘Lagu Perang’ iaitu sebuah album diusahakan dengan kerjasama Perbadanan Muzium Negeri Pahang yang bakal dipasarkan tidak lama lagi.

Dan pada tahun ini, sempena ulang tahun kemerdekaan tanah air yang ke-63, Loque mendapati sudah tiba masanya ‘Selamatkan Legasi’ dihidupkam kembali, namun dengan memberi sentuhan suara wanita melalui nyanyian NJWA serta vokal unik Kimal daripada kumpulan Margasatwa.


“Kita bersatu semarakkanlah legasi ini, kita teguh berdiri sama tinggi” .... inilah antara suntingan daripada lirik lagu 'Selamatkan Legasi' yang merupakan seolah-olah suatu ‘seruan’ kepada rakyat Malaysia sempena Hari Kemerdekaan.

Sejak dimuat naik dalam halaman YouTube pada 29 Ogos 2020 lalu, lagu ini baru mendapat 13.3k tontonan serta 1.2k tanda suka, jadi mungkinkah tempoh perjalanan tontonannya juga akan merangkak perlahan-lahan seperti mana begitu lama ia diperapkan?

Segalanya bergantung pada tangan anda sebagai pendengar khususnya mereka yang meminati muzik hasil Loque yang terkenal dengan karya-karya eksperimentasinya.

Untuk rekod, Loque pernah bergandingan dengan NJWA melalui ‘Chinta’ sebuah karya yang diperkenalkan kepada dunia dengan tumpuan kepada seni dan ‘roh’ gamelan pada tahun 2018. Ia mendapat tonton sebanyak 109k sejak disiarkan pada Oktober 2018.

Dan selepas itu, pada tahun 2019 pula, monoloQue seterusnya menampilkan Aizat Amdan dalam ‘Urusan Seri Paduka Baginda (Versi Agong)' dengan membawa inti pati penyampaian yang sama dengan memperoleh tontonan sebanyak 120k apabila ditampilkan dalam YouTube pada Ogos 2019.


Sebelum itu, pada bulan September 2013, penampilan penyanyi tersohor negara, Dato Seri Siti Nurhaliza bersama MonoloQue untuk lagu ‘Tanah Airku, Tanah Airmu Jua’ merekodkan sejumlah hampir 174k tontonan.

Kini, gabungan Kimal dan NJWA pula ditampilkan MonoloQue apabila ‘bedah siasat’ rombakan semula lagu “Selamatkan Legasi’ ditakdirkan bersama-sama dua penyanyi yang mempunyai vokal mantap itu.

“Quite a journeylah lagu ni. Lama nak siap, lama diperap tapi hasilnya pasti mantap!” ulas NJWA yang merupakan pemangkin kepada projek gamelan.

'Selamatkan Legasi' turut juga menerapkan bunyian alunan-alunan gamelan sebagai pelengkap dan simbolik cap mohor kepada identiti legasi negara malah hasil daripada kerjasama Muzium Pahang, lagu tersebut antara lainnya merupakan karya bongsu setakat ini bersama lagu-lagu yang lain di dalam album Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu Abad ke-21).

Bagi yang mahu mendengarnya, 'Selamatkan Legasi' kini sudah berada dalam ruang media elektronik, sebuah lagu yang diberi peluang kedua serta roh dan nafas yang baru. 

Ayuh semua, kita Selamatkan Legasi!! - KitaReporters

2
1
0
0
0
You will be interested