Seni & Sukan 19 Jun, 2020

Trio ‘mahaguru' Malaysia antara lapan terhebat Asia Tenggara

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

TIGA jurulatih Malaysia, Datuk K. Rajagobal, Tan Cheng Hoe dan Dollah Salleh tersenarai antara lapan 'mahaguru' bola sepak yang paling berjaya di Asia Tenggara bagi tempoh sedekad dari 2010 hingga 2020. Tahniah... Tahniah... Tahniah!!! : KitaReporters

K. Rajagobal dianggap jurulatih pertama negara mahupun rantau ini yang membolot pingat emas Sukan SEA dan Piala AFF secara berturut-turut.


Rajagobal dan Harimau Malaya menjulang Piala AFF buat kali pertama pada 2010 selepas anak-anak buahnya menghampakan Indonesia secara agregat 4-2 di Jakarta.

Laman sosial Facebook ASEAN Football pada 16 Jun 2020 mencatat, skuad Rajagobal mencapai 26.9 peratus kemenangan daripada 52 perlawanan yang diharungi meliputi menang 14 kali, 15 seri dan 23 kekalahan.

Cheng Hoe dan Dollah masing-masing melatih skuad negara yang muncul naib juara kejohanan teragung rantau ini pada 2018 dan 2014 setelah ditewaskan Vietnam dan Thailand (agregat 3-2 dan 4-3).

Cheng Hoe beroleh 56.7 peratus kemenangan daripada 32 perlawanan yang merangkumi 17 kemenangan, empat seri dan sembilan kekalahan manakala Dollah, 33.3 peratus (4-1-7 daripada 12 perlawanan).   

TAN Cheng Hoe bermula sebagai penolong K. Rajagobal pada 2010, kemudian terlepas Piala AFF 2018 dengan kekalahan tipis kepada Vietnam. - Kredit foto: FAM


DOLLAH Salleh (berbaju-T kelabu) kurang bernasib baik ketika Harimau Malaya kempunan Piala AFF 2014.


Namun senarai berkenaan lebih mengutamakan pencapaian terbaik Kiatisuk Senamuang dan Park Hang Seo bersama Thailand dan Vietnam di sebalik angka 51.2 dan 50 peratus milik masing-masing.  

Kiatisuk memenangi Piala AFF sebanyak dua kali dengan Si Gajah Perang pada 2014 dan 2016 selain membawa pasukannya muncul antara 12 terbaik Kelayakan Piala Dunia.

Hang Seo, warga Korea Selatan pula menikmati kejuaraan itu dengan Si Naga Emas pada 2018.

Jurulatih-jurulatih lain yang tersenarai ialah Radojko Avramovic (Singapura, 31 peratus), Alfred Riedl (Indonesia, 54.3 peratus) dan Winfried Schafer (Thailand, 48.2 peratus).


SENARAI lapan jurulatih bola sepak paling berjaya di rantau Asia Tenggara yang turut dinilai pada pencapaian pasukan mereka di benua Asia. - Kredit foto: FB ASEAN Football


Piala AFF yang diasaskan pada 1996 dan pernah bertukar nama kepada Kejohanan AFF pada 2006, merupakan pertandingan senior rantau Asia Tenggara yang menggantikan saingan bola sepak Sukan SEA yang dihadkan kepada pemain berusia bawah 23 tahun mulai 2001.   

Mulai edisi ke-12, dua tahun lalu, format pertandingannya juga ditukar kepada liga berkumpulan dengan setiap pasukan akan mengharungi dua perlawanan di tempat sendiri dan dua lagi di tempat lawan.

Format timbal balik ini juga terpakai kepada perlawanan separuh akhir dan akhir.  

PIALA AFF yang ibarat Piala Dunia Mini Asia Tenggara dan dianggap terpenting bagi rantau ini selain pingat emas Sukan SEA. 


HARIMAU Malaya menghadapi dua misi getir, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang disambung Oktober 2020 dan Piala AFF Ke-13, bulan berikutnya. - Kredit foto: FAM


Sementara itu penganjurnya, Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) enggan berganjak dengan jadual pertandingan asal Piala AFF Ke-13 iaitu pada 23 November hingga 31 Disember 2020 biarpun penularan pandemik maut Koronavirus (Covid-19) masih mencengkam seluruh dunia sekarang.

Pendirian itu dinyatakan selepas mereka mengadakan mesyuarat Majlis dengan negara-negara anggota gabungan secara dalam talian pada 16 Jun 2020.

Undian rasmi Piala AFF 2020 dijadualkan pada Ogos ini di Vietnam tanpa menetapkan tarikhnya lagi dan venue majlisnya.

AFF juga meminda bilangan pemain yang boleh didaftarkan secara rasmi iaitu 30 orang dengan barisan rasmi yang akan beraksi (kesebelasan utama dan simpanan) ditetapkan kepada 23 berbanding 20 orang seperti keputusan terdahulu. - KitaReporters

0
1
0
0
0
You will be interested