Seni & Sukan 02 Jun, 2022

Aktiviti seludup daun ketum kian galak! Sekilo cecah RM150 di Thailand! Urat merah paling popular!

@jamliah abdullah
Penulis konten & pemberita sambilan. Cintai alam semula jadi & makanan. Suka menulis untuk membantu yang memerlukan. Anda punyai kisah menarik untuk dikongsi, emelkan ke jamliah.bismi18@gmail.com

Share this

PENYELUDUP sanggup meninggalkan kenderaan mereka yang sarat guni berisi daun ketum di sempadan sebelum diseludup ke Thailand.


PERCAYA atau tidak sekilogram (kg) daun ketum mampu dijual pada harga RM150 di Thailand berbanding pasaran tempatan, RM30

Jadi bukan satu menghairankan jika aktiviti penyeludupan daun ketum ke negara gajah putih itu di sempadan Malaysia-Thailand di sini makin galak.
Bayangkan dalam tempoh lima bulan pertama ini, Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas sebanyak 34,158 kg daun ketum yang cuba diseludup ke Thailand.
Nilai rampasan daun itu dianggarkan melebihi RM1 juta berdasarkan pasaran tempatan.

NORDIN Manan (tengah) menunjukkan rampasan terbaharu daun ketum seberat 1.3 tan yang cuba diseludup di Wang Kelian, Perlis pada 30 Mei 2022 lalu dalam sidang akhbar di Markas Taktikal PGA Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu.


Dalam sidang akhbar pada 1 Jun 2022 lepas, Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Nordin Manan berkata, pihaknya turut menyita 50 kenderaan pelbagai jenis yang digunakan bagi aktiviti itu dengan nilai keseluruhan rampasan lebih RM2 juta termasuk daun ketum.
Katanya, permintaan tinggi di negara jiran dipercayai menjadi punca aktiviti penyeludupan daun ketum semakin meningkat. 
Sebanyak 93 kes direkodkan dengan tangkapan 12 orang melibatkan 10 lelaki tempatan dan dua lelaki warga Thailand.  
“Boleh dikatakan aktiviti penyeludupan daun ketum ini berlaku setiap hari malah bagi Mei sahaja kita berjaya merampas sejumlah lima tan daun ketum,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Taktikal PGA Bukit Kayu Hitam.
Tambah beliau, Op Wawasan itu juga berjaya menggagalkan cubaan terbaharu menyeludup daun berkenaan pada 29 dan 30 Mei 2022 lepas.
“Pada 29 Mei kita berjaya merampas 600kg daun ketum dan 30 Mei 2022 (1.3 tan).  
“Kedua-dua rampasan ini di Wang Kelian Perlis pada pukul 10.40 malam dan 3 petang. Modus operandi sama juga. Kita sentiasa berjaga-jaga dan mengawal ketat dalam memantau aktiviti di sempadan ini,” katanya.

DAUN ketum urat merah paling banyak cuba diseludup ke Thailand.


Modus operandi pula, katanya, penyeludup akan mengisi daun ketum di dalam guni dan meletakkannya di pagar sempadan negara ini sebelum ia diambil keluar oleh pihak tertentu ke Thailand.
“Ada yang sanggup tinggalkan dalam kenderaan guni berisi daun ketum ini. Jadi anda boleh bayangkan bertapa lumayan upah yang mereka peroleh,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa daun ketum urat merah paling popular dalam kalangan penyeludup. 
Difahamkan, daun ketum urat merah ini paling dicari kerana airnya lebih pekat dan memberi kesan lebih kuat.
Thailand merupakan negara pertama menghalalkan penggunaan ketum setelah 70 tahun diharamkan.
Negara itu pada tahun lepas, membebaskan ketum daripada senarai narkotik, sekali gus meningkat penggunaannya termasuk dalam bidang perubatan.
Pada ketika ini, penanaman ketum semakin meluas di negara tersebut dan dalam tempoh dua akan datang hasilnya akan dituai. - KitaReporters

RAMPASAN daun ketum terbaharu oleh PGA di Wang Kelian Perlis pada 29 Mei lepas. 

14
14
0
8
1
You will be interested