Seni & Sukan 01 Jun, 2022

Minat basikal? Jangan lupa kunjungi MyCycleXpo 2022! 3 hari mulai 29 Julai 2022! Stadium Axiata!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


BUAT julung kalinya, sebagai kesinambungan kepada Le Tour de Langkawi (LTdL), salah satu perlumbaan paling gah di Asia, RISE International Sports Exhibition Sdn. Bhd. akan menganjurkan ekspo sukan berbasikal terbesar seumpamanya dalam negara, MyCycleXpo 2022 yang bertempat di Stadium Axiata, Bukit Jalil.

Dijangka membuka tirainya pada 29 Julai 2022 ini dan akan berlangsung selama tiga hari berturut-turut hingga 31 Julai 2022, ekspo tersebut bakal mempamerkan produk dan jenama sukan berbasikal tempatan dan antarabangsa bagi menarik lebih kurang 30,000 orang pengunjung.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti berbasikal


“MyCycleXpo 2022 bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu hab berbasikal di rantau ini, dalam masa yang sama mendekati komuniti berbasikal, dan yang paling penting, menyumbang kepada hasil perdagangan negara,” ujar Nik Badrul Hisham Nik Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif, RISE International Sports Exhibition Sdn. Bhd. ketika ditemui pada sidang akhbar ‘MyCycleXpo 2022’ yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil baru-baru ini. 

Turut hadir Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ahmad Hariezal Ibharim dan rakan penganjur, Lim Kee Beng


Nik Badrul (tengah) bersama Ahmad Hariezal dan Lim Kee Beng pada sidang media.


Menurut Nik Badrul, ‘MyCycleXpo 2022’ menawarkan 5 kategori berbeza meliputi basikal dan aksesori, fesyen, pelancongan, penjagaan kesihatan dan kafe gaya hidup.

Segmen basikal dan aksesori sukan akan menampilkan peralatan dan teknologi basikal termaju dalam basikal, alat ganti basikal, aksesori dan gajet daripada jenama terkenal. 

MyCycleXpo 2022 juga akan menjadi platform untuk mencari pakaian berbasikal dan pakaian sukan, yang direka khas untuk memaksimumkan prestasi penunggang basikal semasa dalam perjalanan. 

Kategori pelancongan pula terdiri daripada agensi pelancongan dan pusat peranginan yang menawarkan pakej pelancongan berbasikal dan aktiviti berbasikal. 

“Ini bagi membantu penunggang basikal merancang percutian berbasikal impian dengan mudah,” tambah Nik Badrul sambil memberitahu gerai pameran penjagaan kesihatan akan menawarkan suplemen pemakanan dan peranti penjagaan kesihatan untuk meningkatkan prestasi sukan atau mengekalkan gaya hidup sihat.

Selain itu, pelawat juga boleh mempelajari petua berguna tentang pemakanan diet terkini, cara untuk mengoptimumkan pemulihan kesihatan dan cara meningkatkan prestasi berbasikal. 



“Akhir sekali, kafe lifestyle yang menjadi tempat komuniti berbasikal bertemu dan bersantai sambil menikmati konsep F&B bertema basikal yang terkini.  Pendek kata, MyCycleXpo 2022 akan menjadi titik pertemuan kelab berbasikal dan pempengaruh sukan berbasikal dari seluruh Asia,” sambung Nik Badrul. 

Majlis sidang media turut menyaksikan penampilan kanak-kanak dalam sukan ‘Push Bike’ di mana sempena ekspo satu pertandingan ‘Push Bike Championship’ akan diadakan pada 30 Julai 2022 di Stadium Axiata.

Turut dipersembahkan senaman ‘zumba’ bersama kru Tari Nas Adila di mana pada tarikh sebenarnya, pengunjung boleh menyertai sesi zumba berkenaan selama dua jam.




Sehubungan itu juga, dalam usaha untuk menjayakan ekspo terbesar ini, Nik Badrul mempelawa mereka yang berhajat memperoleh gerai jualan bolehlah merebut slot early bird dengan harga RM3,800 untuk masa terhad sahaja.

“Kadar standard gerai pameran untuk peserta dari dalam negara ialah RM5,500 setahun, berkelayakan menyertai semua pameran anjuran MyCycleXpo dan kadar untuk peserta antarabangsa ialah AS$2,500.00 (RM10,977.50),” jelas Nik Badrul.

Berkongsi lanjut, Nik Badrul memberitahu pengunjung akan berpeluang menunggang basikal bersama Anuar Manan, bekas pelumba profesional dari Pasukan Berbasikal TSG dan juga bintang sukan berbasikal lain yang akan menyertai segmen  'Ride with Stars'. 

Aktiviti lain termasuk Klinik Pro Cycling, Sudut Bacaan oleh Karya Seni, pameran “Fire Sale”, cabutan  bertuah, Kejohanan Basikal Tolak Asean, Zon Kanak-kanak, Street Soccer, Pertunjukan Fesyen Berbasikal, acara derma darah, diikuti dengan ceramah dan seminar.

Salah satu tumpuan bagi pameran tersebut ialah Astaka Kementerian Belia dan Sukan. Tempat bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai aktiviti akan datang dan berterusan yang ditawarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk orang ramai. 

Hiburan dan pameran lain termasuk BMX Stunt Show, persembahan buskers, konsert mini, pelancaran produk, Hall of Fame yang memaparkan sejarah berbasikal  di Malaysia dari zaman terawal penggunaannya, sehinggalah ke era moden hari ini termasuk pengiktirafan Malaysia di peringkat antarabangsa dalam industri berbasikal dan ekspo, mengetengahkan pihak penganjur acara berbasikal termasuk Le Tour de Langkawi, Jelajah Malaysia, Kejohanan Dunia GFNY dan banyak lagi. - KItaReporters


Anuar Manan. - Kredit foto: Instagram @4nuarmanan86.

11
12
0
12
0
You will be interested