Norrisyam Ramli kini bangga kerana impiannya mendirikan sebuah dewan kemasyhuran
bola sepak sudah terlaksana. - Kredit Foto: Norrisyam Ramli.
INI kerja gila! Begitu antara kata-kata yang pernah dilemparkan oleh rakan-rakan ke atas dirinya.
Namun, demi
kecintaannya terhadap sukan bola sepak, Norrisyam Ramli, 42, tidak ambil peduli malah sanggup mengikat perut dan mengeluarkan wang poket
sendiri semata-mata mahu memenuhi impian memiliki sebuah dewan kemahsyuran untuk
sukan berkenaan.
Bermula dengan galeri mini di satu sudut kedai barangan sukan miliknya di Pasar Seni, Kuala Lumpur, Norrisyam atau Syam kini diberi satu ruang agak luas dalam Stadium Shah Alam untuk mewujudkan Hall Of Fame Selangor (Dewan Kemasyhuran Selangor) yang menyimpan dan mempamerkan khazanah bola sepak negara khususnya negeri Selangor.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak
Kredit foto: FB Hall of Fame Selangor
Menurut Syam, minatnya untuk mengumpul khazanah bola sepak khususnya Selangor bertitik tolak daripada ketabsubannya terhadap sukan itu sejak zaman kanak-kanak.
“Saya boleh
dikategorikan sebagai peminat bola sepak tegar khususnya pasukan Selangor.
Bermula dari situ datang minat untuk mengumpul bahan-bahan sejarah bola
sepak dan juga barangan lama yang berkaitan seperti jersi,
but, bola dan lain-lain.
“Apabila saya terbabit dalam perniagaan barangan sukan di Pasar Seni pada 2013, ramai pengunjung lebih berminat mencari dan bertanyakan mengenai barangan lama terutama jersi bola sepak zaman dahulu seperti tahun 70-an dan 80-an.
“Jadi, di samping menjual, saya mewujudkan galeri mini di satu sudut kedai itu untuk mempamerkan koleksi barangan sukan lama yang saya ada khususnya berkaitan bola sepak Selangor,” ujar Syam.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah diberi penerangan oleh Syam semasa baginda
mengunjungi Hall Of Fame Selangor. - Kredit foto: Norrisyam Ramli.
Menurut Syam, idea untuk mewujudkan Hall Of Fame Selangor itu tercetus selepas kedainya dikunjungi beberapa orang pemain kelab Liga Inggeris, Tottenham Hotspur yang datang ke negara ini untuk perlawanan persahabatan dengan pasukan Pilihan Malaysia pada Mei 2015.
“Antara yang
datang ke kedai saya adalah Erik Lamela, Nacer Chadli dan Dele Alli. Saya masih
ingat, sambil melihat koleksi barangan yang dipamerkan, mereka banyak bertanya
mengenai bola sepak Malaysia termasuk mengenai Allahyarham Datuk Mokhtar
Dahari.
“Sebagai
rakyat Malaysia, sudah tentu saya sangat berbangga apabila pemain antarabangsa
seperti mereka turut mengambil tahu mengenai bola sepak negara kita dan kenal
Mokhtar Dahari.
“Sebelum
beredar, Lamela bertanya kepada saya adakah kita memiliki galeri atau muzium
bola sepak yang boleh mereka kunjungi. Apabila saya beritahu tidak ada, dia
berkata kepada saya ‘Mengapa tidak kamu usahakan?'
“Kata-kata Lamela itulah yang memberi semangat kepada saya untuk memulakan usaha mengwujudkan sebuah galeri atau dewan kemasyhuran untuk mengumpul dan mempamerkan khazanah bola sepak kita.
“Apatah lagi idea saya itu mendapat sokongan daripada kerajaan negeri Selangor yang mana melalui YB (Datuk Seri) Amirudin Shari (ketika itu Exco Sukan), saya diberi ruang membuka galeri di Stadium Shah Alam setiap kali ada perlawanan akhir bola sepak di stadium berkenaan,” kata Syam.
But dan bola zaman dulu adalah antara barangan yang dipamerkan di Hall Of Fame Selangor. Kredit foto: Noorisyam Ramli
Apa yang menyedihkan, pihak-pihak yang terbabit dengan bola sepak dan sukan secara langsung, pun seolah-olah tidak menghargai usaha saya ini."
Meninggalkan perniagaan untuk memberi tumpuan kepada usahanya itu, Syam mula mencari dan mengumpul khazanah bola sepak terutama Selangor sama ada bahan bacaan dan barangan.
“Pada
peringkat awal saya terpaksa membeli kerana ramai individu yang saya temui
termasuk bekas pemain masih ragu-ragu dengan usaha saya itu.
“Pernah
seorang kolektor jersi lama meletakkan harga RM10,000 untuk sehelai jersi
pasukan Selangor. Memang tak mampulah saya hendak membelinya. Kemampuan saya
hanya sekitar RM700-800 sahaja.
“Tapi, lama-kelamaan apabila orang mula percaya dan yakin dengan projek saya ini, ramai, terutama bekas pemain seperti Agus Salim, Roslan Buang, Mohd Shah Norbit, Lim Hong Guan, K Gunalan mula menyumbangkan barangan mereka untuk Hall Of Fame Selangor,” cerita Syam.
Koleksi jersi pasukan Selangor. - Kredit foto: Norrisyam Ramli.
Begitu pun, menurut Syam, usaha itu tetap menuntut komitmen, tenaga dan memerlukan sokongan kewangan. Beliau perlu menggunakan duit poket sendiri sehingga kadangkala terpaksa mengikat perut demi memenuhi impiannya itu.
“Pada awalnya
saya menjangkakan usaha saya ini akan mendapat sokongan kewangan banyak pihak
terutama mereka yang terbabit secara langsung dengan bola sepak negara ini.
“Tapi, ternyata jangkaan saya silap. Sehingga kini, walaupun saya tak nafikan ada mendapat sumbangan daripada ahli politik secara individu tapi ia tidak banyak membantu kerana kos untuk mewujudkan dewan kemahsyuran ini sangat tinggi.
“Apa yang
menyedihkan, pihak-pihak yang terbabit dengan bola sepak dan sukan secara
langsung pun seolah-olah tidak menghargai usaha saya ini malah hanya memandang
sebelah mata.
“Sudah banyak
kali saya menghantar kertas cadangan dan permohonan kepada pihak-pihak berkaitan tetapi jawapan
yang sering saya terima ‘ia dalam perhatian’.
“Apabila saya
cuba membuat janji temu untuk bertemu tokoh-tokoh tertentu untuk menyatakan
hasrat saya secara terus, selalunya permohohan akan tersekat setakat pada peringkat pegawai tokoh-tokoh berkenaan saja,” katanya.
Kerenah birokrasi sebegini memang mengecewakan Syam namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus memenuhi impian demi menjaga khazanah bola sepak Malaysia.
Gambar-gambar bintang bola sepak dan detik-detik bersejarah bola sepak Malaysia
khususnya Selangor menjadi salah satu daya tarikan pengunjung. - Kredit foto: Norrisyam Ramli.
Setakat ini saya sudah membelanjakan kira-kira RM30,000. Malah, saya tak malu nak cerita, ada satu ketika dalam poket saya hanya ada RM1!"
“Saya sudah korbankan pekerjaan saya untuk memberi sepenuh tumpuan kepada Hall Of Fame Selangor. Memang perit kerana saya tidak mempunyai sumber kewangan malah saya sudah menggunakan semua wang simpanan saya untuk tujuan ini.
“Setakat ini
saya sudah membelanjakan kira-kira RM30,000, ia bukan jumlah yang kecil bagi
orang macam saya. Malah, saya tak malu nak cerita, ada satu ketika dalam poket
saya hanya ada RM1!
“Ada
kawan-kawan kata saya buat kerja gila tapi saya akan teruskan walau apa pun
cabarannya. Saya harap, suatu hari nanti akan ada pihak yang buka mata dan
tampil membantu saya,” ujar Syam.
Begitu pun, Syam bersyukur, keluarga terutama isterinya, Noraslinda Husin sangat memahami serta memberi sokongan kepada usahanya itu.
Malah, apa yang membuatkan beliau lebih bersemangat adalah usahanya menerima sokongan daripada penasihat muzium bola sepak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Salvador Duarte.
“Duarte sering WhatsApp saya dan banyak memberi galakan, sokongan serta idea-idea bagaimana untuk saya memperkemaskan lagi dewan ini. Dia sangat berbangga dengan saya serta menasihati saya supaya meneruskan usaha ini,” kata Syam.
Medal berusia lebih 80 tahun dan kasut bola yang dipakai oleh pemain era 1960-an turut dipamerkan. - Kredit foto: Norrisyam Ramli.
Hall of Fame Selangor sebelum ini dibuka 10 pagi hingga 4 petang dari Isnin hingga Jumaat, namun kini tidak dapat beroperasi ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP).
Antara
barangan yang dipamerkan adalah jersi, but, bola, medal, gambar-gambar, replika pemain, keratan
akhbar mengenai sejarah bola sepak serta laporan perlawanan-perlawanan penting
membabitkan pasukan Selangor dan bahan bacaan lain seperti majalah sukan.
“Barang yang paling ‘rare’ adalah satu medal yang dibuat pada 1939 dan tertulis FAS. Walaupun tak ada maklumat lengkap mengenai medal ini namun saya yakin ia adalah medal untuk satu pertandingan bola sepak yang dianjurkan oleh FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor).
“Selain itu, turut dipamerkan adalah sepasang kasut bola jenama terkenal yang dipakai oleh kebanyakan pemain pada era 1960-an. Kasut ini saya beli daripada seorang penjual barangan lama di kaki lima Chow Kit dengan harga RM380,” katanya.
Kredit foto: FB Hall of Fame Selangor
Kini, selain
khazanah bola sepak negeri Selangor, Syam cuba mengembangkan koleksinya dengan
mencari dan mengumpul pula bahan-bahan berkaitan bola sepak negeri-negeri lain,
juga pasukan kebangsaan.
Malah, beliau
mengimpikan, suatu hari nanti mampu mewujudkan sebuah muzium bola sepak di
negara ini.
“Namun, untuk merelasasikan impian itu, sudah tentulah saya memerlukan sokongan semua pihak, sama ada kerajaan, badan pentadbir bola sepak dan juga peminat bola sepak negara ini,” kata Syam. - KitaReporters
Syam di samping replika bekas pemain Selangor, Azman Adnan.