MEMILIKI tempat berteduh atau rumah sendiri merupakan salah satu impian ramai orang, khususnya yang berada di kawasan bandar besar serta sesak.
Kepesatan kawasan bandar menyebabkan kita kekurangan tanah untuk membina rumah sendiri. Jika ada sekali pun, sudah tentu ia akan menelan belanja yang cukup besar.
Apatah lagi bagi mereka yang hidup 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang', impian untuk memiliki rumah atas nama sendiri seolah-olah sebuah 'angan-angan Mat Jenin'.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Pulau Pinang:
https://kitareporters.com/search?search=pulau+pinang
Namun sebaliknya berlaku kepada penduduk di Tanjung Tokong, Pulau Pinang pada 7 Februari 2021 kerana mereka telah diberikan rumah percuma untuk didiami.
Seramai 300 penduduk di kawasan berkenaan telah dihadiahkan dengan rumah percuma menerusi program tanggungjawab sosial korporat atau CSR, oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), UDA Holdings Berhad.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias memaklumkan, UDA Holdings Berhad membina rumah percuma kepada 300 penduduk kawasan tersebut dengan tujuan mereka tidak lagi tinggal di kawasan rumah panjang seperti sebelum ini.
“Sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR), UDA Holdings Bhd. telah menyediakan rumah percuma kepada 300 penduduk kawasan ini untuk didiami.
“Mereka ini dari kalangan Bumiputera yang menetap di kawasan rumah panjang yang cukup daif. Mereka benar-benar mengharapkan pertolongan pihak kerajaan pusat.
“Justeru YB Menteri dan UDA Holdings Bhd mengambil langkah proaktif dalam membela nasib 300 penduduk tersebut,” kata Jalaluddin menerusi status dalam laman Facebooknya pada hari Ahad, 7 Februari 2021.
Terdahulu, beliau mengiringi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar melakukan ‘walkabout’ di Pulau Pinang dan melawat serta memberi sedikit bantuan kepada penduduk di Tanjung Tokong yang bakal berpindah ke pangsapuri baharu, dibina oleh UDA Holdings Bhd tersebut.
Wan Junaidi dilihat begitu teruja dengan usaha murni UDA Holdings Berhad ini dan meminta agar ia dapat disegerakan bagi manfaat penduduk setempat, terutama ketika kita sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.
“Saya berharap proses pemindahan dapat disegerakan agar penduduk di sini dapat mendiami rumah yang baharu dan selesa terutama pada waktu pandemik ini. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah berpesan sewaktu mesyuarat jemaah menteri supaya proses ini dipercepatkan,” kata Jalaluddin dalam hantaran Facebook beliau itu.
Semoga lebih banyak pihak dapat mencontohi usaha murni UDA Holdings Berhad dan lebih ramai rakyat di negara ini berjaya memiliki rumah sendiri yang lebih selesa dan selamat. - KitaReporters