Tiga murid membuat persembahan secara maya sempena Program Jalinan Kemerdekaan.
BUAT julung kalinya bagi menyemarak dan memupukkan semangat patriotisme serta cintakan perpaduan dalam kalangan murid, empat sekolah rendah bergabung menganjurkan Program Jalinan Kemerdekaan 2021 secara maya pada 30 September lalu.
Program itu juga bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia sekolah berkenaan yang terletak di Klang, Selangor iaitu Sekolah Rendah Islam (SRI) Hira’, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Klang Utama (SKTKU), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pui Ying dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Meru.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Hari Malaysia
Empat pengacara cilik yang mengendali Program Jalinan Kemerdekaan 2021 secara maya menggabungkan empat sekolah rendah di Klang, Selangor
Program berkenaan merupakan cetusan idea Guru Besar SRI Hira’, Zaroni Desa dan
Guru Besar SKTKU, M Khalimi Dalhan yang dikendali oleh empat pengacara cilik, Eusoff
Dzihney M. Anwar dari SKTKU, Aisyah
Farhani Muhammad Rizal (SRI Hira’), Yong Jia Xuzn (SJKC Pui Ying) serta Sathana
Segaran (SJKT Jalan Meru).
Guru Penolong Kanan Kokurikulum SKTKU, Habshah Simon, berkata program itu bagi memupuk hubungan kerjasama serta mengerat silaturahim antara sekolah di sekitar lokaliti berhampiran serta menyemaikan semangat muhibah dalam kalangan guru dan murid.
Menurutnya, program itu juga secara tidak langsung
menyediakan platform berkonsep pendidikan inklusif dalam meraikan kepelbagaian
potensi murid di samping mencungkil dan menggilap bakat mereka menerusi beberapa
aktiviti seperti berceloteh sebagai pengacara majlis, pembikinan video serta
seni kaligrafi.
“Program seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang kerana dapat mencungkil serta mengembangkan potensi dan bakat murid demi kemenjadian mereka yang secara tidak langsung khususnya dalam unit kokurikulum.
Zaroni menyampaikan ucapan ringkas sempena program berkenaan.
“e-Sijil Penyertaan dan e-Sijil Penghargaan yang disediakan boleh
digunakan untuk pengisian markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan
Kokurikulum (PAJSK) tahun 4, 5 dan 6 khususnya dan Program Pendidikan Khas
Integrasi (PPKI) bagi diguna pakai untuk ke tingkatan 1 tahun hadapan,” katanya.
Program itu yang disusun dengan begitu rapi dimulakan dengan ucapan ringkas Zaroni yang mahukan program berkenaan menjadi perintis jalan bagi kesinambungan program pada masa akan datang dalam usaha mempersiapkan generasi yang menghayati konsep Keluarga Malaysia.
M Khalimi meniupkan semangat patrotisme dalam ucapan sempena program itu.
M Khalimi Dalhan pula berharap dalam memperbaharui tekad
patrotisme, supaya tidak mempersia-siakan apa yang telah warga terdahulu tinggalkan
disebabkan perbezaan antara kita, sebaiknya kita perlu meraikan perbezaan itu
bagi mewarnai masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan hidup penuh muhibbah.
Guru Besar SJKC Pui Ying, Choo Lay Yoong dan Guru Besar SJKT Jalan Meru, Susila Muniandy melahirkan rasa bersyukur dan bangga dapat bekerjasama dalam platform seperti itu dengan sekolah pelbagai aliran selain berharap supaya rakyat Malaysia dapat terus berganding bahu serta memikul tanggungjawab bersama khususnya menangani wabak Covid-19 sekarang.
Lay dan Susila turut menyampaikan ucapan ringkas bagi menyemarakkan program berkenaan.
Sementara itu, Guru Pengarah Program Sambutan Merdeka Silang Budaya kerjasama empat sekolah berkenaan, Fauziah Aripin dari SRI Hira', berkata program itu memberi pendedahan kepada murid sekolahnya yang beraliran agama dengan suasana sambutan kemerdekaan bersama-sama rakan berbilang bangsa di samping menjadi medan bertukar budaya kerja bagi guru sekolah pelbagai aliran yang terbabit kerana sekolah mempunyai kekuatan tersendiri.
“SRI Hira' mengambil peranan sebagai tuan rumah untuk program ini kerana mempunyai kelebihan platform pembelajaran berasaskan digital yang mantap dan digabungkan pula dengan curahan idea daripada sekolah terbabit menjadikan program berkenaan berjalan lancar serta mencapai objektifnya,” kata beliau. - KitaReporters
M Khalimi (kiri) membuat kunjungan hormat dan tanda terima kasih kepada semua warga pendidik SRI Hira' yang memberikan kerjasama baik dalam menjayakan Program Jalinan Kemerdekaan.