Seni & Sukan 20 Nov, 2021

Anugerah ABK21 kekal secara maya! 16 kategori direbut! Siapakah MVP pilihan jurulatih negara?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this



ANUGERAH Bola Sepak Kebangsaan (ABK) kembali lagi pada 4 Disember 2021 dan seperti 2020 majlis penyampaiannya hanya akan dilangsungkan secara maya akibat pandemik COVID-19 dari Studio Spacelabs Technology, Bukit Jalil.

Namun sedikit berbeza dengan ABK21 yang bertumpu kepada Liga Super dan Perdana sahaja, medan pengiktirafan pencapaian para pemain dan jurulatih Liga Malaysia 2021 ini merangkumi kedua-dua pertandingan itu dan Piala Malaysia.

Musim 2021 masih tidak dapat melangsungkan Piala FA dan Piala Pencabar juga kerana pandemik namun ABK21 menyajikan 16 kategori anugerah antaranya Kasut Emas buat penjaring gol paling banyak dalam semua pertandingan Liga Malaysia (Liga Super atau Perdana) dan Piala Malaysia.

Laman sesawang rasmi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyebut, pemenang Kasut Emas hanya akan ditentukan selepas berakhirnya Piala Malaysia 2021 dalam perlawanan akhir 30 November 2021 ini.


Lagi kisah menarik berkaitan anugerah bola sepak


Kategori seperti Penjaring Terbanyak Liga Super, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super, Penjaring Terbanyak Liga Perdana dan Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Perdana sudah pun diketahui siapa pemiliknya apabila kedua-dua pertandingannya berakhir September 2021.

Mereka ialah Ifedayo Omosuyi yang menyumbat 26 gol buat Selangor FC; Baddrol Bakhtiar (tujuh gol, Kedah Darul Aman FC); Fernando Rodriguez (Johor Darul Ta’zim II FC) dan Jordan Mintah (Terengganu II FC), 16 gol; dan Nurshamil Abd. Ghani (Kelantan FC), sembilan gol.

Tujuh lagi kategori dengan 10 calon setiap satunya, akan diundi oleh 23 ketua jurulatih, 23 ketua pasukan Liga Super dan Perdana serta 23 wakil media mulai 19 November 2021 hingga 21 November 2021.

Kategori-kategorinya ialah Penjaga Gol Terbaik, Benteng Terbaik, Perantara Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Bintang Harapan dan Pemain Import Terbaik.



Sebanyak 403 daripada 843 pemain disenarai pendek berdasarkan penampilan dalam perlawanan Liga Malaysia bersama pasukan masing-masing seterusnya Jawatankuasa Saringan ABK21 mengundi 10 calon terbaik mereka dalam setiap kategori.

Kategori Pasukan Terbaik akan diputuskan Jawatankuasa Teknikal MFL, Permainan Adil akan ditentukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL manakala XI Peminat menerusi pengundian para penyokong melalui platform SurveyMonkey mulai 19 November 2021.

Kategori Pemain Paling Bernilai (MVP) pula akan dipilih daripada kalangan pemenang Penjaga Gol Terbaik, Benteng Terbaik, Perantara Terbaik dan Penyerang Terbaik.

Ahli-ahli panel pemilihnya ialah ketua jurulatih Harimau Malaya - Tan Cheng Hoe, ketua jurulatih Bawah 22 Tahun Malaysia - Bradley Maloney dan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) - B. Satiananthan. - KitaReporters






 

11
8
0
18
0
You will be interested