Seni & Sukan 31 Aug, 2021

Isu maahad tahfiz: Ratapan PEMATAP dapat perhatian! Perak hulur bantuan RM3.5j! Terima kasih!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Nasib pelajar-pelajar tahfiz negeri Perak kini mendapat perhatian serta pembelaan daripada kerajaan negeri. - Kredit foto: Azlan Suhaimi.


Persatuan Maahad Tahfiz Al Quran Negeri Perak (PEMATAP) menarik nafas lega apabila rintihan mereka mengenai nasib maahad tahfiz di negeri itu mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan negeri yang tampil mengumumkan bantuan berjumlah RM3.5 juta.

Ia diumumkan oleh Menteri Besar, Dato’ Saarani Mohamad semasa Persidangan Keempat, Mesyuarat Pertama Tahun Keempat, Dewan Negeri Yang Keempat Belas, pada Isnin, 30 Ogos, 2021.

Menurut Saarani, jumlah RM3.5 juta itu akan diagihkan kepada beberapa bahagian, yang mana sebanyak RM10,000 bantuan pengurusan sama rata akan disumbangkan kepada 144 buah maahad tahfiz yang membabitkan peruntukan berjumlah RM1.44 juta.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan maahad tahfiz


Selain itu, kerajaan negeri juga akan memberi bantuan tambahan pengurusan berasaskan bilangan pelajar dengan kadar perkapita RM200 seorang membabitkan seramai 5,291 pelajar yang mana jumlah keseluruhannya sebanyak RM1,058,200.

Pada masa sama, sebanyak RM819,000 akan diperuntukkan untuk membantu seramai 819 guru yang bakal menerima sumbangan secara one off (sekali beri) sebanyak RM1,000 seorang.

Baki peruntukan sebanyak RM182,000 pula akan disalurkan kepada PEMATAP sebagai badan yang menaungi semua sekolah tahfiz di negeri berkenaan.



Dalam pengumuman itu, Menteri Besar turut menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk memperkasakan kualiti pendidikan maahad tahfiz dengan beberapa tindakan yang telah dan akan dilaksanakan.

Antaranya adalah mengwujudkan Sijil Tahfiz Negeri Perak (STNP) dan menyediakan pelbagai kursus bagi membantu pihak sekolah meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru-guru.

Di samping itu, kerajaan negeri turut menyediakan peluang kepada guru dan pelajar untuk menyambung pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) melalui Program Pengkreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu dan Fast Track di Universiti Sultan Azlan Shah.

Pada masa sama, kerajaan akan mengadakan Kursus Latihan Perguruan anjuran bersama Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan yang akan dilaksanakan selama empat bulan bertaraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 Pengajaran Tahfiz.

Kerajaan negeri juga mengadakan latihan berasaskan kemahiran di bawah program Techno Hafiz bagi membangunkan generasi hafiz yang bukan sahaja mampu menghafaz al-Quran, malah turut mempunyai kemahiran yang turut boleh dimanfaatkan selepas tamat pengajian.



Komitmen ditunjukkan oleh kerajaan itu selari dengan matlamat PEMATAP untuk memperkasakan lagi maahad tahfiz di negeri berkenaan yang berhasrat melahirkan huffaz yang berkelayakan serta berkemahiran.

PEMATAP turut menyifatkan bantuan khas RM3.5 juta kepada institusi tahfiz Perak sebagai bukti kepimpinan negeri begitu prihatin kepada perkembangan yang sedang dihadapi Maahad Tahfiz Al-Quran (MTAQ) Perak.

“Bantuan pengurusan RM10,000 kepada setiap pusat tahfiz memberi kelegaan kepada MTAQ Perak khususnya kepada 60 buah MTAQ yang dijangka tidak mampu untuk meneruskan operasi mulai September 2021. 

“Bantuan one off (sekali beri) sebanyak RM1,000 seorang kepada semua guru juga mampu meringankan bebanan pengurusan untuk pembiayaan gaji guru-guru.

“Bantuan tambahan pengurusan berasaskan bilangan murid dengan kadar perkapita RM200 setiap murid turut meringankan tanggungan pihak pengurusan dan pentadbiran maahad tahfiz pada waktu ini.

“Berkaitan program menambahkan kualiti pendidikan tahfiz, pihak PEMATAP sentiasa memberi cadangan dan kerjasama kepada kerajaan negeri khususnya Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk). Usaha baik ini diharap mendapat tindak balas sepenuhnya daripada semua pengurusan dan pengetua MTAQ.

“Justeru, PEMATAP merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada Menteri Besar Perak atas keprihatinan dan bantuan yang telah diumumkan,” kata Presiden PEMATAP, Mohd Azlan Suhaimi dalam satu kenyataan.


Laporan KitaReporters pada Ahad, 29 Ogos, 2021.


Melalui laporan KitaReporters pada Ahad, 29 Ogos, 2021, Azlan menyatakan 60 buah maahad tahfiz di negeri Perak berdepan kemungkinan terpaksa ditutup ekoran kekangan kewangan ekoran tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) 3.0 yang mula dikuatkuasakan pada awal Mei 2021 lalu.

Justeru, beliau merayu agar kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) tampil memberi bantuan bagi menyelamatkan semua maahad tahfiz di negeri itu.

Kenyataan media dikeluarkan PEMATAP itu turut mendapat perhatian Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (PERMATA Al-Quran) yang melalui satu kenyataan media pada 29 Ogos, 2021 turut memperincikan lagi kemelut yang sedang dihadapi pusat pengajian tahfiz, bukan sahaja di Perak malah di seluruh negara.

Presiden PERMATA Al-Quran, Manolito Mohd Dahlan berkata, berdasarkan statistik daripada dapatan hasil kajian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), terdapat 1,198 buah sekolah tahfiz di seluruh negara membabitkan sejumlah 84,643 murid dan 10,357 guru.


Presiden PERMATA A-Quran, Manolito Mohd Dahlan.


Maahad Tahfiz adalah menjadi salah satu benteng utama umat Islam untuk memahami Al-Quran serta melahirkan pemimpin berjiwa Quranic. Oleh ia perlu diselamatkan."


“Pihak kerajaan sama ada kerajaan pusat, kerajaan negeri, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) telah banyak membantu secara one off kepada maahad-maahad tahfiz seluruh Malaysia.

“Walau bagaimanapun sejak Mac 2020 apabila berlaku ancaman pandemik Covid-19, maahad-maahad tahfiz swasta seluruh Malaysia terjejas teruk.

“Satu kajian oleh PERMATA kepada 512 buah maahad pada 30-31 Mei 2021 melalui Google form kajian PKP 3.0, kami memperolehi dapatan seperti berikut:

  • 64.7% maahad tahfiz terpaksa ditutup operasi atas arahan kerajaan.
  • 11.7 % maahad memberhentikan sepenuh kakitangan.
  • 52% maahad hanya mampu membayar separuh gaji pekerja
  • 34.4% maahad hanya mampu bertahan tidak lebih 3 bulan.
  • 38.1% maahad tidak menerima bantuan JAKIM, dan
  • 85.4% maahad menerima yuran separuh atau kurang akibat ibu bapa tak berkemampuan.



“Maahad Tahfiz adalah menjadi salah satu benteng utama umat Islam untuk memahami Al-Quran serta melahirkan pemimpin berjiwa Quranic. Oleh ia perlu diselamatkan agar tiada pemberhentian kakitangan, tiada pemotongan gaji kakitangan malah penutupan operasi maahad,” kata Manolito.

Justeru, beliau memohon kerajaan membantu menyalurkan bantuan per kapita (bantuan khas) untuk kakitangan (guru, kerani, warden, tukang masak dan pekerja am), juga menyalurkan bantuan segera peralatan PdPR serta bayaran talian wifi kepada ibu bapa yang bermasalah.

Beliau juga berharap maahad tahfiz dibenarkan beroperasi semula dengan mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Pihak PERMATA Al-Quran merayu kepada Perdana Menteri serta Menteri Hal Ehwal Agama, JAKIM, menteri-menteri besar, JAIN dan MAIN agar membantu maahad tahfiz di seluruh Malaysia yang terancam,” katanya. - KitaReporters


0
0
0
0
0
You will be interested