Seni & Sukan 13 Jun, 2021

Cikgu Bob hargai barisan hadapan! Buat Kelas BM percuma dalam talian untuk anak frontliners KKM

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Kelas percuma Bahasa Melayu Cikgu Bob secara dalam talian sebagai menghargai pengorbanan barisan hadapan KKM.


AKTIVIS kerja amal dan kebajikan, Cikgu Anuar Ahmad atau Cikgu Bob kini turun padang lagi bagi membantu anak-anak barisan hadapan khusus Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seluruh negara dengan mengadakan Kelas Bahasa Melayu (BM) Cikgu Bob secara percuma dalam talian pada malam Isnin 7 Jun 2021 lalu.

Beliau mengambil langkah mengadakan kelas secara percuma dalam talian itu sebagai membalas jasa dan pengorbanan barisan hadapan daripada KKM yang gigih, dedikasi dan bertungkus lumus melaksanakan tugas merawat mereka yang dijangkiti wabak Covid-19.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Cikgu Anuar Ahmad



Cikgu Bob yang dihubungi, berkata dia berasa kagum dengan semangat dan jasa ‘frontliners’ khasnya daripada KKM yang berkorban tenaga serta masa semata-mata memikul tanggungjawab untuk menyelamatkan mangsa Covid-19 sehingga terpaksa mengabaikan urusan keluarga buat seketika.

Menurutnya, melihat ketekunan mereka tanpa mengambil kira masalah diri yang kepenatan mungkin sehingga terlupa untuk mengikuti perkembangan pembelajaran anak mereka di rumah dia terpanggil untuk mengadakan kelas percuma itu untuk murid yang berada dalam tahun empat, lima dan enam. 

Katanya, masyarakat pun sedia maklum petugas barisan hadapan itu sudah pasti tidak mempunyai masa seperti ibu bapa yang lain untuk memantau pembelajaran anak mereka  apabila terlalu sibuk mengurus pesakit Covid-19 terutama dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh (lockdown) sekarang ini.



“Sebagai rakyat Malaysia inilah sahaja tanda sokongan saya kepada barisan hadapan bagi berkongsi ilmu dengan anak mereka yang secara tidak langsung memanfaatkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya yang merupakan Guru Penolong Kanan 1 (Pentadbiran), Sekolah Kebangsaan (SK) Pintas Raya, Batu Pahat, Johor.

Cikgu Bob berkata, menerusi kelas dalam talian yang diadakan itu dia memfokuskan perbincangan dalam Dokumen Standard Kurikulum & Pentaksiran (DSKP) seperti kemahiran mendengar dan bertutur, membaca, menulis serta aspek tatabahasa.

Menurutnya, pada perbincangan yang disertai 50 anak barisan hadapan KKM itu mereka mudah memahami perkara yang diterangkan walaupun berada dalam kelas tahun berbeza kerana topik yang dibincangkan itu secara umum dalam meningkatkan kemahiran Subjek BM mereka.


Cikgu Bob dan anak barisan hadapan KKM ketika sedang bersiaran dalam talian.


“Kelas yang berlangsung selama dua jam bermula lapan malam itu dimanfaatkan oleh anak-anak barisan hadapan tersebut apabila ramai bertanyakan pelbagai soalan untuk membantu mereka memperbaiki kelemahan menjawab soalan bagi Subjek BM.

“Saya kagum dengan sikap mereka walaupun tidak ditemani bapa atau ibu yang bertugas di barisan hadapan tetap tekun dan memberi tumpuan pada kelas dalam talian ini terutama apabila hampir seminggu bercuti berikutan pandemik Covid-19. 

“Saya  juga berasa gembira apabila mendapat bantuan daripada rakan setugas, kumpulan Facebook dan WhatsApp untuk menviralkan kelas dalam talian percuma ini untuk anak petugas barisan hadapan khusus dari KKM sehingga mendapat sambutan luar jangkaan,” katanya.


Cikgu Bob kagum dengan semangat dan ketekunan anak barisan hadapan KKM sepanjang mengikuti kelas dalam talian itu.


Sementara itu, seorang bapa, Faisal Fardulla dari Pulau Pinang menyifatkan kelas dalam talian percuma Cikgu Bob itu banyak memberi manfaat kepada anaknya yang dapat mengikuti pelajaran PdPR pada musim cuti sekarang. 

Seorang ibu, Nor Azizah Serajudin pula, memuji usaha yang dilakukan Cikgu Bob yang dapat membantu anak barisan hadapan supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran apabila ibu bapa mereka melaksanakan tugas untuk negara.

“Anak saya sebelum ini pernah mengikuti sekali sahaja kelas secara dalam talian Cikgu Bob sudah menunjukkan kemahiran untuk menguasai penulisan terutama dalam membina ayat dan menulis karangan,” katanya. - KitaReporters


Nor Azizah Serajudin

12
1
0
0
0
You will be interested