Barisan kesebelasan utama Harimau Malaya yang menjadi pilihan Cheng Hoe dalam perlawanan menentang Vietnam, malam tadi. - Kredit foto: Facebook FAM.
PENGADIL Jepun, Ryuji Sato mencetus kemarahan rakyat Malaysia apabila keputusannya memberikan sepakan penalti kepada Vietnam menjadi pertikaian selepas Harimau Malaya tewas 1-2 pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai, malam tadi, Jumaat 11 Jun, 2021 (awal pagi Sabtu waktu Malaysia).
Malaysia mengikat Vietnam 1-1 pada ketika perlawanan berbaki 10 minit apabila Sato membuat keputusan kontroversi itu kerana mendakwa Brendan Gan menjatuhkan Nguyen Van Toan dalam petak penalti, sekali gus membolehkan Vietnam menang 2-1.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Harimau Malaya
Sato pertahan keputusannya memberi penalti kepada Vietnam dalam perlawanan dengan Malaysia pada 11 Jun 2021. Kredit foto: Media sosial.
Penyokong yang tidak berpuas hati dengan keputusan Sato mendakwa ia bukan penalti kerana pemain Vietnam itu dilihat sengaja menjatuhkan badan tanpa ‘disentuh’ oleh Brendan.
Malah, rakaman video oleh Malayan Tigers Studio yang menunjukkan situasi sebenar insiden itu kini menjadi trending melalui media sosial dengan penyokong menjadikan ia sebagai ‘bahan bukti’ kepada dakwaan mereka.
Melalui rakaman video itu yang juga disokong dengan gerakan ulang tayang secara perlahanan (slow motion) ia kelihatan seolah-olah Van Toan berlakon menjatuhkan diri ketika Brendan cuba mengekang gerakannya dari belakang.
Kredit video: Malayan Tigers Studio.
Rata-rata nitizen meluahkan kemarahan serta kekecewaan mereka bukan saja melalui media sosial tempatan malah turut ‘menyerang’ Sato melalui Instagram peribadi pengadil dari Jepun itu.
Apa yang menambahkan kehangatan kepada isu itu, beberapa jam selepas ‘diserang’ oleh ‘bawang rangers’ Malaysia, Sato dikatakan telah membalas serangan itu melalui Facebook miliknya bagi mempertahankan keputusannya memberikan penalti malam tadi (11 Jun 2021).
“Saya buat keputusan berdasarkan apa yang saya nampak, keputusan yang adil. Jangan membantah keputusan saya,” kata kenyataan yang dibuat melalui media sosial yang menggunakan nama Ryuji Sato.
Malah, turut dimuat naik melalui Facebook itu adalah video yang diambil dari sudut berbeza yang mana menunjukkan Brendan memang mengasari Van Toan malah memijak kaki pemain Vietnam itu.
Walau bagaimanapun tidak dapat disahkan sama ada akauan Facebook itu benar-benar milik Sato atau dicipta oleh pihak lain yang menggunakan nama pengadil berkenaan.
Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe ketika dirujuk mengenai insiden itu dengan tenang menjelaskan, beliau sendiri tidak pasti apakah ia penalti atau sebaliknya.
“Saya tak lihat insiden itu, ia berlaku terlalu pantas tapi apa pun, keputusan pada pengadil, saya tidak boleh ubah apa-apa,” katanya.
Jurulatih itu bagaimanapun memuji kesungguhan ditunjukkan oleh anak buahnya sepanjang perlawanan, cuma menganggap mereka melepaskan gol yang mudah untuk Vietnam mendahului 1-0 pada babak pertama.
Beliau mengakui Malaysia memiliki peluang yang sangat tipis untuk melangkah ke pusingan seterusnya ekoran kekalahan kepada Vietnam itu. Skuad negara kekal ditangga ke-4 Kumpulan G yang diungguli Vietnam dan UAE.
De Paula menjaringkan gol penyamaan Malaysia melalui sepakan penalti pada perlawanan malam tadi yang berkesudahan Malaysia tewas 1-2. - Kredit foto: Facebook FAM.
Menurut Cheng Hoe, tumpuan kini adalah membuat persiapan untuk perlawanan menentang Thailand pada 15 Jun, 2021 (16 Jun 2021, waktu Malaysia) yang merupakan perlawanan terakhir skuad negara dalam kelayakan Kumpulan G.
“Kami kena fokus, perlawanan dengan Thailand bukan mudah. Mereka mempunyai rehat yang cukup. Saya perlu mempersiapkan pasukan, memulihkan kecergasan pemain dan bersedia untuk perlawanan itu,” ujar Cheng Hoe.
Pada perlawanan menentang Vietnam semalam (11 Jun 2021), Harimau Malaya membuat rombakan kecil dengan merehatkan pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi dan pemain tengah Pahang, Azam Azih sebaliknya menurunkan Syafiq Ahmad dan Brendan untuk mengisi tempat itu.
Berbeza dengan persembahan ketika tewas 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun 2021 lalu, Malaysia berjaya mengimbangi kekuatan lawan malah menguasai babak pertama.
Begitupun, sedikit kelekaan membawa padah apabila hasil sepakan sudut, Vietnam mendahului melalui tandukan Nguen Tien Linh pada minit ke-27. Namun, Harimau Malaya membalas menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Guilherme de Paula selepas dia dikasari lawan.
Ketika penyokong menaruh harapan tinggi untuk Harimau Malaya mendapat sekurang-kurangnya satu mata, keputusan dibuat Sato memusnahkan segala-galanya. Vietnam 2 Malaysia 1. - KitaReporters
Syafiq Ahmad mendapat kepercayaan Cheng Hoe untuk diturunkan dalam kesebelasan utama mengisi tempat Liridon. - Kredit foto: Facebook FAM.