Seni & Sukan 14 Jul, 2021

Mama Hebat wanita hebat! Bela nasib ibu tunggal di Mersing! Hulur bantuan dan beri sokongan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


LEBIH 100 ibu tunggal bergabung di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali dengan nama Mama Hebat sebagai langkah membantu rakan senasib yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 sejak setahun lalu.

Mama Hebat yang bergerak aktif di Mersing, Johor, menerima dan mendapat pelbagai maklumat yang disalurkan melalui media sosial serta dihubungi rakan-rakan memaklumkan mengenai kesusahan yang menimpa ibu tunggal termasuk dalam kalangan mereka yang warga emas.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan ibu tunggal

Puteri Noraishah Megat Ismail (kiri) menghulurkan bantuan kepada seorang ibu tunggal.


Pengerusinya, Puteri Noraishah Megat Ismail, berkata sebelum menubuhkan NGO berkenaan beliau dan beberapa rakan sering membantu ibu tunggal yang kesempitan hidup berikutan PKP sekitar daerah itu apabila dimaklumkan oleh penduduk.

Menurutnya, bagi bergerak lebih aktif dengan terancang selain tidak disalah anggap beliau bersama rakan-rakan bersetuju menubuhkan Mama Hebat dan membuka penyertaan sebagai ahli kepada ibu-ibu tunggal supaya dapat berganding bahu melakukan kerja amal itu.


Wang dana yang terkumpul digunakan Mama Hebat untuk membeli pelbagai barangan keperluan asas.


Katanya, selepas bergabung dalam Mama Hebat mereka bekerjasama mencari dana dengan menghubungi pelbagai pihak termasuk rakan-rakan rapat di seluruh negara di samping menguar-uarkan dalam media sosial bagi menghulurkan derma atau sumbangan membantu mereka yang ditimpa musibah.

Beliau berkata, dengan dana yang terkumpul itu Mama Hebat akhirnya dapat membeli pelbagai barangan asas keperluan harian untuk disalurkan kepada keluarga ibu tunggal yang hilang tempat bergantung kerana kematian suami atau berpisah dalam situasi PKP sekarang.


Seorang ibu tunggal menunjukkan kepada Puteri Noraishah atap rumahnya yang rosak dan bocor.


“Hati kami tersentuh apabila mengunjungi ibu tunggal yang hilang sumber mata pencarian apabila tiada wang untuk membeli barangan makanan terutama mereka memiliki ramai anak kecil selain keadaan rumah yang uzur.

“Bagi ibu tunggal menetap luar dari daerah ini selepas meneliti maklumat yang diterima kami akan menyalurkan bantuan berupa wang secara online untuk meringankan bebanan selain mengelak berasa terlalu tertekan,” katanya.


Seorang ibu tunggal (kiri) gembira menerima sumbangan daripada Mama Hebat.


Puteri Noraishah berkata, setakat ini lebih 50 keluarga ibu tunggal sudah dibantu dan pada setiap hujung minggu beliau bersama beberapa ahli mengunjungi ibu tunggal apabila mendapat maklumat daripada penduduk untuk mengetahui bantuan yang perlu disalurkan.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan bantuan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin sebagai contoh jika ibu tunggal berkenaan memiliki bayi sudah tentu dia memerlukan bekalan susu atau pampers (lampin pakai buang).


Mama Hebat akan memastikan bantuan yang dihulurkan memberi manfaat kepada keluarga ibu tunggal yang dibantu.


Beliau berkata, sebelum PKP Diperketatkan (PKPD), ahli-ahli Mama Hebat akan menziarahi ibu tunggal untuk memberi motivasi dan meningkatkan kefahaman ilmu agama supaya mereka dapat menerima musibah yang menimpa dan tidak terlalu diselubungi kesedihan.

“Dalam keadaan PKP sekarang ini, ahli-ahli menganjurkan pula program bacaan Yasin secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom yang boleh disertai ibu tunggal walaupun berada di luar daerah itu dan kesempatan selepas aktiviti berkenaan selesai mereka akan bertanya khabar serta bertukar-tukar fikiran.



“Menerusi aplikasi ini juga kami turut menjemput guru-guru agama untuk menyampaikan ceramah ringkas bagi memberi bimbingan kepada ibu tunggal terutama mereka yang baru berpisah atau kematian suami bagi mengelak rasa tertekan.

“Di samping membantu keluarga ibu tunggal, Mama Hebat sentiasa turun padang bagi menghulurkan sumbangan berupa makanan seperti nasi lemak, nasi ayam kicap, pulut kuning rendang, sandwic serta roti kepada barisan hadapan di hospital, balai polis, bomba, sukarelawan dan sebagainya,” kata Puteri Noraishah yang sering mendapat bantuan daripada dua ahli hebat Mama Hebat iaitu Nur Fadzihan Amir dan Norhafizah Abdul Rahman. - KitaReporters


Antara barangan makanan seperti nasi lemak, nasi ayam kicap, pulut kuning rendang dan roti yang diagihkan Mama Hebat kepada barisan hadapan.

58
13
0
1
0
You will be interested