Seni & Sukan 28 Jul, 2021

Video| Hamba, penyerahan jiwa Fattah Amin hadapi Covid-19! Nafi mahu bergelar penyanyi nasyid

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


SEBELUM ini, ketika teruja dengan kehamilan isteri dan menyambut kehadiran cahaya mata sulungnya, pelakon dan penyanyi Fattah Amin menghasilkan dua buah lagu, “Kiriman Agung’ dan ‘Sinar Selawat’ bagi menggambarkan kehidupan baharunya setelah bergelar suami.

Kini, meneruskan gambaran perjalanan seninya, Fattah Amin menjadikan ‘Hamba’ judul single terbaharunya bagi menceritakan situasi semasa yang dialami masyarakat akibat pandemik COVID-19.

“Seperti yang diketahui, dua lagu saya sebelum ini ada kaitan dengan kelahiran cahaya mata saya, Nur Fatima Aisya. Bagaimanapun untuk lagu 'Hamba' ini, ia tiada kaitan dengan anak saya, sebaliknya ia berkisar kepada penyerahan jiwa seorang hamba kepada Tuhannya. 

“Walaupun berdepan dengan pelbagai ujian dan rintangan, kita jangan mudah putus  asa. Sebagai hamba kita hanya mampu untuk berdoa dan Allah yang akan makbulkan permintaan kita itu. Insya-Allah akan ada jalan keluar untuk semua ini,” katanya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Fattah Amin


Menurut suami kepada pelakon Nur Fazura Sharifuddin ini, singlenya itu sebenarnya termasuk dalam tiga projek khas yang dialankan bersama komposer Hafiz Hamidun selepas lagu 'Kiriman Agung’  diikuti  ‘Sinar Selawat’ manakala kehadiran ‘Hamba’ dirasakan tepat pada masanya berdasarkan situasi yang dihadapi ketika ini.

“Saya tahu ramai yang tertekan dengan kehidupan mereka di luar sana sebab tak dapat nak keluar bekerja dan mengalami masalah kewangan. Berdasarkan semua ini, saya beranggapan lagu ini keluar tepat pada waktunya dan pendengar boleh kaitkan diri mereka dengan mesej yang hendak disampaikan,” kata pelakon berusia 30 tahun ini.

Tidak dinafikan, wabak COVID-19 yang menular ketika ini bukan sahaja mampu melumpuhkan ekonomi tetapi turut  menjejaskan emosi hingga ada yang mengambil jalan singkat dengan menamatkan riwayat hidup.

Justeru, kata Fattah, sebagai hamba-Nya, adalah menjadi tugas kita untuk terus berdoa dan bersujud kepada Allah SWT supaya segala kesukaran yang dihadapi akan segera berakhir.

“Lagu ini berkisar kepada penyerahan jiwa seorang  hamba kepada  Tuhannya. Walaupun berdepan dengan pelbagai  ujian dan rintangan, kita jangan mudah putus asa. Sebagai hamba kita hanya mampu untuk berdoa dan Allah yang akan makbulkan permintaan kita itu. Insya-Allah akan ada jalan keluar untuk semua ini,” tambah beliau.




Selepas tiga kali berturut-turut menghasilkan lagu berkonsepkan ketuhanan, timbul tanda tanya, apakah Fattah kini  sudah beralih arah untuk bergelar penyanyi nasyid?

Menafikan perkara  itu, Fattah menyatakan apa yang dilakukannya itu hanyalah untuk mencabar kebolehan diri serta mahu menjadi penyanyi serba boleh.

“Sebelum ini  saya memang dikenali sebagai penyanyi balada dan saya juga pernah bereksperimen dengan muzik saya menerusi lagu ‘Bebas’. Bila saya menyanyikan lagu bergenre ketuhanan, bukanlah bermakna saya nak jadi penyanyi nasyid tetapi hanya mahu mempelbagaikan genre muzik saya supaya orang tak bosan dan nampak statik,” ungkapnya.

Maka tidak hairanlah untuk ‘Hamba’, pemilik nama lengkap Abdul Fattah Mohd Amin ini mengambil keputusan berkolaborasi dengan penyanyi rap, Kmy Kmo dalam usahanya memberikan kelainan terhadap buah tangan terbaharunya itu.

“Setiap kali menghasilkan lagu baharu, saya sentiasa memikirkan apakah kelainan yang boleh dilakukan.  Memandangkan  saya  tidak  pernah  berkolaborasi  dengan  penyanyi  rap  sebelum ini, saya pun menyuarakan hasrat itu kepada label iaitu Universal Music Malaysia. 



"Dan selepas perbincangan, akhirnya mereka memilih Kmy Kmo (gambar atas, kiri) untuk berduet dengan saya cuma dalam lagu ini, Kmy sendiri menulis lirik dan juga mencipta melodi bahagian yang dinyanyikannya,” cerita Fattah sambil menganggap Kmy sangat berbakat.

Pun begitu, khabarnya proses rakaman lagu mengambil masa yang agak lama sehingga setahun untuk disiapkan. Kenapa agaknya?

“Ini berlaku kerana proses rakamannya banyak kali tertangguh disebabkan situasi pandemik yang dihadapi. Selain itu, penghasilan lagu ini juga dibuat dengan cukup teliti.  

“Kalau saya dapati ada bahagian yang tak berapa berkenan di hati, saya akan minta dibuat penambahbaikan. Bila dah betul-betul berpuas hati dengan hasilnya, barulah saya bersedia untuk melancarkan lagu itu. Lambat pun tak mengapa asalkan hasilnya dapat memuaskan hati semua pihak,” akui Fattah jujur.

Terserlah sisi ketelitian Fattah Amin ini kan?

Bersesuaian dengan jalan cerita lagu ini, Kmy menulis lirik berdasarkan pemerhatian terhadap situasi yang berlaku ketika ini apatah lagi beliau seorang yang suka bermain dengan eksperimen sosial.

“Dalam dunia ini, kita semua adalah hamba. Kita juga boleh merasakan kegembiraan dan keperitan yang sama sebenarnya,” ulas Kmy atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim. - KitaReporters


3
0
0
0
0
You will be interested