Dari kiri: Mohammad Zahir, Anuar Zain dan Ong Teng Boon.
SELEPAS hampir tiga tahun industri seni sepi, siapa yang tidak merindui ‘Lelaki Ini’?
Siapa lagi jika bukan pelantun lagu judul tersebut, Anuar Zain, 51, yang kini sudah pun berambut panjang mengurai melebihi bahu sama tempoh negara dilanda pandemik COVID-19 lamanya.
“Sudah tiga tahun saya tidak memotong rambut ini sejak negara berdepan PKP malah paling saya rindui sekarang adalah tidak memakai ‘mask’, rindu nak peluk emak dan keluarga dan rindu kebebasan masa lalu,” ujar pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain.
Lagi kisah menarik berkaitan penggiat seni
Majlis makan malam amal anjuran bersama Bond Holdings Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Tourism Perak Malaysia dan Sycal Ventures Berhad dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat ini bertujuan menghargai dan menyalurkan bantuan kepada anggota barisan hadapan serta penggiat seni tempatan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Jadi pada malam tersebut, saya berharap peminat memahami jika ada penjarakan sosial dititikberatkan kerana kita harus patuhi SOP yang ditetapkan Kerajaan demi melindungi keselamatan semua,” tambah Anuar Zain ketika ditemui pada sidang media pada 25 Januari 2022.
Sidang media tersebut diadakan sempena majlis Makan Malam Amal Anuar Zain, ‘Karena Aku Cinta’ yang bakal diadakan pada 5 Mac 2022, bermula pukul 8.30 malam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (IICC).
Antara yang turut hadir adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Dato Mohammad Zahir Abdul Khalid; Ketua Pegawai Eksekutif Bond Holdings Sdn Bhd, Ong Teng Boon; dan Pengerusi Tourism Perak. Dato Kamil Shafie .
Bakal mempersembahkan lebih kurang 8 buah lagu dalam tempoh 40 minit, Anuar bagaimana pun memberitahu lazimnya beliau akan menambahkan persembahan melebihi waktu yang ditetapkan.
Memilih tajuk ‘Karena Aku Cinta’ yang merupakan salah sebuah lagu lama dalam album yang diterbitkan kira-kira 15 tahun lalu, sudah tentu ia membawa nostalgia dan maksud tersendiri bagi Anuar yang mengakui amat merindui bertemu peminatnya kembali.
“Lagu ini memang jarang saya bawa, jadi untuk kembali bertemu peminat, saya mahu bangkitkan kembali kenangan lalu,” jelas Anuar yang baru-baru ini menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Dalam Industri Muzik SEBA 2021.
SEBA (Anugerah Perniagaan PKS & Usahawan) merupakan anugerah tahunan anjuran Yayasan Usahawan Malaysia.
Dalam menjayakan persembahannya, Anuar akan diiringi petikan piano daripada Pengarah Muzik pilihannya, Lee Sze Wan.
“Sze Wan dah tahu cara nyanyian saya jadi tidak sukar bagi beliau untuk mengiringi persembahan saya pada malam berkenaan,” jelas adik kepada penyanyi popular, Ziana Zain ini yang dikenali ramai sebagai antara penyanyi yang mempunyai karisma serta prinsip tersendiri.
Tidak menafikan amat teliti dan cerewet dalam pemilihan setiap lagu agar menepati jiwanya sehingga ada yang menyifatkannya seperti 'kuku besi', Anuar tidak terburu-buru untuk menghasilkan lagu baharu."Banyak juga lagu yang 'sweet sweet' saya terima namun belum puas untuk memilih satu yang benar-benar berkesan dan mencabar kemampuan saya.
"Jadi biarlah dahulu sehingga ada lagu yang sesuai baharulah saya akan mengeluarkan lagu baharu," ujar Anuar sambil mengagumi penyanyi-penyanyi baharu yang kini aktif mewarnai dunia hiburan termasuk anak saudaranya, Ernie Zakri dan suaminya, Syamel.
Sementara itu, Ong Teng Boon memberitahu, majlis makan malam amal menyasarkan kutipan mampu mencapai lebih RM300,000 bagi jualan tiket pada kapasiti muatan 40% mengikut SOP di dalam dewan IICC seluas 32,000 kaki persegi.
“Orang ramai serta peminat Anuar Zain dijemput hadir untuk sama-sama menyaksikan Makan Malam Amal Anuar Zain – “Karena Aku Cinta” ini bagi berhibur dan menikmati hidangan enak sambil beramal,” tambah Ong.
Sambungnya, harga tiket berpatutan RM230, RM280 dan RM380 akan mula dijual mulai 4 Februari 2022 dan boleh diperoleh di kaunter tiket Bond Suites Sales Gallery di IICC atau menghubungi melalui wats app di talian 011-36088001 bagi sebarang pertanyaan lanjut.
Dalam pada itu, Mohammad Zahir tidak ketinggalan berharap selain beramal, program seperti ini dapat menaikkan nama Negeri Perak sebagai destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara.
“Kami berharap dalam proses pemulihan ekonomi ini, industri pelancongan & kesenian Perak akan dapat dipertingkatkan, di samping memperkenalkan Ipoh International Convention Centre (IICC) di mata dunia,” akhirinya sambil menambahkata, jemputan rasmi juga telah dipersembahkan kepada Duli-Duli Tuanku Perak. - KitaReporters