Seni & Sukan 23 Jan, 2021

Video| Impian Layla Sania tercapai! Lahirkan single bahasa Mandarin pertama, single ketiganya

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this


Penyanyi ini, Layla Sania merupakan bintang kelahiran ‘I Can See Your Voice’ Malaysia (ICSYVMY3) musim ke-3 tetapi tidak berjaya ke peringkat seterusnya apabila disingkir oleh penyanyi Sham Visa ketika itu. 

Namun gadis berusia 19 tahun ini sudah mempunyai dua single dan terkini buat pertama kalinya melancarkan single terbaharu dalam bahasa Mandarin berjudul ‘By Your Side’. 

Sebelum ini, Layla yang pernah menyampaikan lagu penyanyi Taiwan, Tiger Huang, ‘You’re The Only One in My Heart’ sewaktu dalam ICSYVMY3  membuat para juri terpegun namun tuah tidak menyebelahinya bila disingkirkan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan single terbaharu:

https://kitareporters.com/search?search=single+terbaharu



Dengan kejayaan single keduanya,’Lakaran’ selepas ‘Que Sera Sera’ artis di bawah label Warner Music Malaysia ini pernah melahirkan harapan untuk memiliki single dalam bahasa Mandarin.

Dan sekarang ini tercapai impiannya itu apabila ‘By Your Side’ disempurnakan sebagai single ketiganya tetapi yang pertama dalam bahasa Mandarin.

“Saya amat teruja dan pada masa yang sama juga terharu kerana tidak sabar untuk melihat reaksi peminat menerusi lagu terbaru saya ini,” jelas Layla Sania.

Menurutnya, menyanyikan lagu Mandarin banyak cabarannya apabila perlu menyebut setiap ayat dan perkataan dengan betul.


Bersama Uriah See Khai sebagai pelakon utama dalam video muzik 'By Your Side'. - Kredit foto: @laylasania.


“Ia memang paling sukar kerana bercakap dan menyanyi dalam bahasa Mandarin adalah dua perkara yang berbeza. Saya amat lancar untuk bercakap di dalam Bahasa Mandarin, tetapi apabila menyanyi, saya perlu pastikan sebutannya betul. 

"Saya banyak menghabiskan masa untuk berlatih dan mengasah sebutan perkataan dalam bahasa Mandarin untuki lagu ini dan  amat bersyukur apabila ramai orang yang membantu dalam menjayakannya,” cerita Layla.

“By Your Side” ditulis oleh Joshua Goh dan Rolan Lim dengan susunan lagu oleh Danning Z.

Single ini memberi semangat kepada pendengar untuk terus mencapai impian dan tetap mengharungi hidup bersama yang tersayang,” sambung Layla sambil berharap lagu itu mampu membuatkan para pendengar berasa tenang dan dekat di hati mereka.

Melahirkan rasa teruja dan terharunya dengan pencapaian terbaharunya ini, Layla tidak sabar untuk melihat reaksi peminatnya kelak.



Untuk video muzik rasmi “By Your Side”, Layla buat pertama kalinya berganding dengan penyanyi dan pelakon Uriah See Khai, 24, seorang bintang yang menjuarai Pertandingan Nyanyian Cina Astro Star Quest pada tahun 2014.

“Kali pertama saya berjumpa Uriah, beliau adalah seorang yang peramah. Saya amat berbesar hati dengan penglibatan Uriah di dalam video muzik saya ini,” tambah Layla.

“By Your Side” sudah boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula  22 Januari 2021 lalu.

Nampak gayanya sudah ramai penyanyi Melayu mampu menyanyi dalam bahasa Mandarin, satu saingan sihat kepada penyanyi lama seperti Shila Amzah, 30,  contohnya. - KitaReporters


6
0
0
0
0
You will be interested