PENYANYI Ronnie Hussein, 40, terbabit dalam kemalangan ketika berbasikal berhampiran Puteri Harbour, Johor Bharu, Johor sekitar jam 10.30 malam pada Selasa, 28 Jun 2022 dan menerima 6 jahitan pada bahagian dahi dan pipinya.
Penyanyi yang nama asalnya Shahron Hussein ini tidak dapat mengenal pasti punca kemalangan kerana basikal miliknya berada dalam keadaan baik.
"Alhamdulillah tiada apa yang serius cuma pada bahagian dahi dan pipi saja koyak sedikit. Saya menerima enam jahitan pada bahagian dahi. Syukur juga kerana saya memakai 'helmet'.
"Mujur, tiada apa yang patah. Malah, saya memakai seluar dan baju berlengan panjang yang mana turut membantu mengurangkan kecederaan lebih serius pada bahagian lain,' tulis Ronnie dalam akaun Instagramnya.
Menurut Ronnie, dia berbasikal bertiga dengan kawan-kawan dan secara tiba-tiba terasa pemegang (handle) basikal hilang kawalan dan dia berasa pitam. Namun mujur kawan-kawan cepat sedar dia terjatuh.
"Saya pun tak pasti punca kemalangan kerana basikal saya pun berada dalam keadaan baik. Mujur pada ketika itu tidak banyak kereta kerana jalan itu sebenarnya memang lazimnya sesak," katanya.
Menerusi hantaran dalam media sosial itu, Ronnie menerima ucapan yang mendoakan kesembuhannya.
"Cuma hari ini mata saya sedikit bengkak dan saya ingin membuka balutan pada bahagian dahi ini sebentar lagi. Doakan saya cepat sembuh," katanya.
Ronnie perlu memastikan kecederaannya tidak bengkak lama kerana perlu mengadakan persembahan pada hujung minggu ini.