UNIK dan lain daripada yang lain hanya menggunakan bahan terpakai daripada rim tayar motosikal. - Kredit foto: Facebook Mohd Hanaffi Hamzah.
KALAU dah kreatif semua menjadi, barang terbuang pun menjadi cantik jika pandai menggayakan dengan betul.
Itulah yang dipraktikkan oleh seorang pesara tentera yang menggunakan rim motosikal yang terpakai untuk dijadikan penghias dalam pembinaan tembok pagar rumahnya di Kampung Beris Lampu, Kuala Besut, Terengganu.
Kesungguhan dan idea luar biasa Mohd Hanaffi Hamzah itu menjadi tular dalam media sosial selepas dimuat naik dalam Facebook miliknya.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan motosikal:
https://kitareporters.com/search?search=motosikal
Menurut bapa kepada lapan cahaya mata itu, idea untuk menggunakan rim terpakai itu muncul selepas melihat banyak rim terpakai yang dibiarkan berikutan pemilik motosikal terutama golongan muda di kampungnya lebih suka menggunakan rim yang lebih kecil.
Katanya ramai anak muda di kampung lebih gemar menukar rim kepada yang lebih kecil menyebabkan berlaku lambakan bahan terpakai berkenaan.
KERJA-kerja meletakkan simen pada peringkat akhir dilakukan sebelum proses mengecat pagar dijalankan.
“Daripada terbiar begitu lebih baik saya gunakan
sebagai penghias di tembok pagar lalu saya minta kawan-kawan sedekah kepada
saya daripada terbiar begitu sahaja,” kongsinya dalam hantaran Facebooknya.
Sehingga kini dia memiliki lebih 30 rim terkumpul dan menyasarkan untuk memiliki lebih banyak bagi menyiapkan pagar rumahnya.
SEBAHAGIAN rim yang dijadikan bunga pagar, sekali gus kelihatan lebih cantik dan lain daripada yang lain.
Katanya, bukan semua diberikan secara percuma oleh
rakan dan jiran di kampung, sebaliknya ada juga yang dia beli rim berkenaan, namun harga yang ditawarkan sangat berbaloi dan mampu dimiliki.
Selain digunakan untuk pembinaan pagar Hanaffi juga
menjadikan tayar terpakai berkenaan sebagai penghias di meja.
Kalau dah kreatif ada saja idea kan!
TAYAR terpakai dijadikan meja hiasan yang sesuai diletakkan di taman kecil di rumah.
Kongsinya lagi, projek pembinaan pagar itu bermula sejak berlangsung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan awal tahun ini. Malah semuanya dilakukan sendiri sambil dibantu dua
lagi rakan sekampungnya.
Kini projek membina pagar hampir 90 peratus siap dan perlu melakukan proses mengecat bagi kelihatan lebih cantik. Bila dah siap nanti mesti nampak lain daripada yang lain dan unik.
Inilah hebatnya individu kreatif ada sahaja nampak indah di matanya. Mana tahu idea bernas itu suatu hari nanti mampu menjana pendapatan kepada Hanaffi sekeluarga. - KitaReporters