PERTEMBUNGAN klasik Malaysia (jersi putih) dan Thailand sekitar era 80-an bakal diterjemahkan dalam bentuk animasi grafik. - Kredit foto Dunia Sukan Utusan.
ANDA sekalian khususnya para penggiat dan peminat e-sports atau sukan elektronik (e-sukan)! Tentu sekali anda pernah bermain permainan video FIFA, NFL, NHL, NBA dan UFC menerusi aneka gajet canggih.
Aksi bola sepak, bola rempuh, hoki ais, bola keranjang dan sukan seni tempur di atas padang rumput dan gelanggang empat segi ini sudah sekian lama dialihsuaikan ke skrin elektronik dan popularitinya memang pantas melonjak sehingga digilai generasi muda.
Bagaimana dengan e-sepak takraw? Bolehkah? Bagaimana rupanya?
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sepak takraw:
https://kitareporters.com/search?search=sepak+takraw
WIRA-WIRA Malaysia yang merampas Piala Raja Thailand pada 1988 dari bumi Si Gajah Putih. - Kredit foto infotakraw.com.
Bayangkan bagaimana aksi legenda-legenda sepak takraw Malaysia seperti Adnan Saidin, Noor Rani Adnan, Raziman Hassan, Rehan Mohamad Din dan Nordin Sabarudin serta Abd. Malik Samsudin dalam bentuk animasi grafik itu?
Pasti tidak kurang juga hebatnya jika mereka diadukan dengan musuh tradisi Thailand seperti Pakdee Dangwattanapaibul, Surat Na Chiengmai, Kriengkrai Mutalai, Wirach Ponmoung dan Suebsak Phunsueb!
Mereka sudah lama menggantung sepatu sepak takraw tetapi anda masih boleh mengembalikan servis, umpanan dan rejaman emas klasik itu dengan gerakan jari dan tangan anda sahaja di skrin!
REGU handalan Thailand 80-an (dari kiri), Kriengkrai Mutalai, Pakdee Dangwattanapaibul dan Veeras Na Nongkhai. - Kredit foto Dunia Sukan Utusan.
Segala persoalan ini bakal terjawab jitu apabila Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) memeterai kerjasama komersial yang strategik dengan Persekutuan E-Permainan Global, tidak lama lagi.
“Inilah antara daya usaha Istaf dalam pelan induk bagi tempoh empat tahun akan datang,” kata Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader.
“Masih bukan satu perkara yang mudah tetapi kami yakin boleh menjadi kenyataan dengan mendapat sokongan padu beberapa pihak tertentu di Malaysia dan Singapura,” sambungnya yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).
KEHANDALAN Adnan Saidin dengan pukulan libas parinya antara yang bakal dipaparkan e-Libas karya Istaf dan Persekutuan E-Permainan Global. - Kredit foto Dunia Sukan Utusan.
Baru-baru ini katanya, satu pertemuan telah diadakannya dengan Presiden Persekutuan E-Permainan Global, Chris Chan yang beribu pejabat di Singapura bagi membincangkan rangka kerjasama ke arah kewujudan e-sepak takraw atau kasarnya boleh digelar terlebih dahulu, E-Libas!
“Langkah ini juga sebagai penghargaan dan pengiktirafan wira-wira silam sepak takraw dunia yang telah membantu memartabatkan sukan warisan bangsa Melayu ini menerusi Sukan SEA, Sukan Asia, Piala Raja Thailand dan Kejohanan Sedunia.
“Karakter-karakter dan kehandalan 'Kaki-kaki Libas' dari Malaysia, Thailand dan Singapura akan diterjemahkan dalam bentuk animasi grafik berkomputer yang seolah-olah atlet sebenar seperti yang ditonton menerusi TV.
ROLLSPIKE (Libasan Gulung), sebuah aplikasi permainan video sepak takraw yang dibangunkan sebuah syarikat di Selangor. - Kredit foto FB Rollspike.
“Kami mahu generasi baharu dan akan datang malah anak cucu mereka juga bangga dan kenal dengan tokoh-tokoh sukan sepak takraw yang kehandalan mereka kini diiktiraf dan dimodenkan.
“Jasa mereka wajar dihargai dan tidak sesekali boleh dibiarkan sehingga luput atau lapuk ditelan masa dan zaman,” katanya.
Sebuah institut teknikal di Singapura mahupun Malaysia jelasnya, turut telah didekati untuk bekerjasama dengan membabitkan para penuntutnya dalam bidang teknologi digital dalam projek e-sepak takraw ini. - KitaReporters
ANIMASI video pemain kedua-dua regu yang dipaparkan dalam Rollspike. - Kredit foto FB Rollspike.
SENARAI regu pilihan pemain video sepak takraw, Rollspike merangkumi Malaysia dan Thailand (kanan). - Kredit foto FB Rollspike.