BETUL ke nak senang jadi guru kerana kerja mudah dan bergaji besar? Mengapa pula bila sudah menamatkan pengajian pendidikan di maktab-maktab atau institusi-institusi perguruan ramai sering menolak atau enggan dihantar mengajar di pendalaman? : KitaReporters
Sempena sambutan “Hari Guru” yang saban tahun diraikan pada 16 Mei di seluruh dunia; sudah pastinya jasa-jasa dan pengorbanan seseorang guru akan dikenang atau diingat serta diraikan pula dalam satu majlis yang cukup indah dan bermakna dengan menerima ucapan-ucapan tahniah atau “Selamat Hari Guru”.
Pelajar-pelajar pula akan memberikan hadiah-hadiah kepada guru kelas masing-masing dan yang lebih hebat lagi guru-guru terpilih dicalon untuk mendapat anugerah-anugerah kecemerlangan.
Pada peringkat kebangsaan dan negeri-negeri akan dinobatkan “Tokoh-tokoh Guru” yang berkaliber dan komited terutama pencapaian tertinggi guru-guru dalam disiplin masing-masing.
Namun, jangan anggap bahawa guru-guru kerja senang dan bergaji besar sahaja tetapi lihatlah dari sisi masalah, kesukaran dan cabaran dalam mengangkat pendidikan anak-anak bangsa ke peringkat yang lebih tinggi setanding dengan kemajuan teknologi serta inovasi pendidikan dunia.
Tema :
“Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” dipilih menjadi tema sambutan “Hari Guru”ke-49 pada tahun 2020 yang diumumkan melalui Facebook Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Nampak Mewah dan Gaji Besar!!
Sememanglah hari ini, masyarakat terutama golongan ibu bapa sering melihat guru-guru datang mengajar di sekolah-sekolah dengan menaiki kereta-kereta yang berjenama seperti Honda, Toyota, Nissan dan lain-lain.
Kalau guna kereta nasional seperti Kancil, Saga pun ada yang berkata sebagai kenderaan “kedua” atau “ketiga” dan itu pun mengikut kemampuan gaji dan pendapatan mereka.
Bila sebut soal gaji jangan cakaplah sebab masing-masing ada kelulusan; dan gaji pun mengikut struktur gaji Sistem Saraan Malaysia (SSM) dalam Perkhidmatan Awam dari gred DG29 hingga DG 54 (2012).
Pada 2018, kumpulan DG54 telah dinaikan ke gred DG56 oleh mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Cabaran dan Pengorbanan :
Selain bercakap mengenai gaji guru, cuba kita lihat bagaimana beban kerja seorang guru serta tanggungjawab dan amanah yang mereka galas.
BIL. |
CABARAN |
DAPATAN KAJIAN |
PUNCA |
1 | Beban Kerja
|
Kajian oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pada tahun 2005 mengenai stres di kalangan 9000 guru yang terpilih mendapati 70 peratus adalah tertekan (Kosmo Malaysia, 29 Mac 2006)
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik,berkata di Dewan Negara 28 Ogos 2018, bahawa 4.4 peratus guru mengalami masalah stress.(Berita Online 2 September 2018)
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata 25 peratus beban tugas guru dikaitkan dengan cara agihan tugas pengetua dan guru besar.(Sinar Harian 23 April 2019) |
· Karenah pengetua,guru besar, kerani, ibu bapa dan juga pelajar. · Membuat persediaan mengajar, menyemak buku latihan. · Melakukan kerja-kerja perkeranian seperti membuat laporan prestasi pelajar,mengisi borang, menaip surat dan menyediakan minit mesyuarat. · Menjadi penasihat-penasihat persatuan, permainan, kelab, dan sukan. · Menghadiri kursus, mesyuarat, bengkel, dan perjumpaan tertentu.
|
2 |
Waktu Kerja
|
Waktu bekerja sepatutnya lima hari berubah menjadi sehingga tujuh hari seminggu - siang di sekolah dan malam pula di rumah. |
· Secara amnya, setiap guru terpaksa mengajar lima hingga enam kelas setiap hari. · Menggantikan guru lain dan mengajar subjek lain. · Di sebelah malam menyemak buku latihan dan persediaan bahan mengajar. |
3 |
Fasiliti
|
Kelas-kelas di kawasan pedalaman amat usang dan daif dan tidak mempunyai kemudahan secukupnya. |
Sekolah-sekolah lama terutama di pendalaman mengalami kerosakan beberapa peralatan sekolah,tiada kemudahan internet,kerusi meja tidak mencukup,tiada komputer dan infrastruktur terhad. |
4 |
Tempat Tinggal
|
Terdapat 50,257 kuarters guru di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 33,893 unit atau 67.44 peratus sedang diduduki sementara manakala 16,364 unit atau 32.56 peratus merupakan kuarters kosong.
|
Kuarters atau rumah guru yang terhad bilangannya menyebabkan ada segelintir guru terpaksa berulang alik dari kediaman sewa mereka dalam jarak perjalanan yang jauh. |
5 |
Kemudahan Perubatan
|
Kebiasaanya Klinik kesihatan atau hospital terletak jauh daripada kawasan pendalaman. |
Sukar mendapatkan rawatan kesihatan di klinik atau hospital terutama guru-guru yang berkhidmat di pendalaman Sabah dan Sarawak atau di perkampungan orang-orang asli. |
6 |
Kenderaan
|
Sekolah pendalaman seperti di kampung orang asli terpaksa menggunakan pacuan empat roda kerana menggunakan jalan balak. Di Sabah dan Sarawak terpaksa menggunakan perahu atau sampan dan bot penambang kerana menggunakan jalan sungai. |
Terdapat juga guru-guru muda yang tidak mempunya kenderaan sendiri dan sukar ke tempat kerja. |
7 |
Keluarga
|
Pada 2017,Kementerian Pendidikan (KPM) telah meluluskan sebanyak 2,261 permohonan pertukaran kes "guru duka lara" daripada 6,636 jumlah keseluruhan. |
Guru-guru yang telah berkeluarga dan tidak tinggal bersama dengan suami atau isteri sering mengundang masalah.Lebih-lebih lagi ahli keluarga yang sakit kronik. |
8 |
Pelajar-pelajar
|
· Statistik Kementerian Pendidikan sebanyak 3,011 kes buli dilaporkan pada 2015 dan jumlah kes meningkat sehingga 3,488 kes pada 2016 sebelum turun kepada 2,795 kes pada 2017.
· Pada 2017,sebanyak 1.4 peratus bersamaan 67,053 pelajar daripada hampir lima juta pelajar sekolah rendah dan menengah di negara ini terlibat kes ponteng sekolah. |
Pelajar yang bermasalah seperti kes buli,tidak menyiapkan kerja sekolah,ponteng kelas,merokok,ambil dadah,bergaduh dan terlibat dengan kongsi gelap. |
9 |
Prestasi Pelajar dan Sekolah
|
Kebanyakan sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains MARA(MRSM) dikategori sebagai sekolah yang terbaik di Malaysia berbanding sekolah harian. |
Pengetua dan Guru Besar yang meletakkan sasaran peribadi sehingga di luar kemampuan dan kesediaan organisasi itu sendiri. |
10 |
Persatuan Ibubapa dan Guru(PIBG)
|
· Yuran PIBG tidak wajib dibayar oleh ibu bapa sebaliknya merupakan bentuk sumbangan atau derma sukarela berdasarkan pekeliling PIBG 1998. · Hukuman rotan terhadap pelajar-pelajar sekolah atas masalah disiplin telah diharamkan sejak tahun 1983 dan dicadangkan semula pada tahun 2017 |
Bantahan ibu bapa mengenai bayaran yuran PIBG .
Ibu bapa mempertikai tindakan guru perihal hukuman merotan pelajar. |
Maka, ada sesiapa yang berminat lagi nak jadi guru?
Mungkin benar gaji seorang guru besar-besar, namun bila diimbangi dengan amanah, tugas dan beban yang perlu dipikul oleh seorang guru, ada dalam kalangan guru yang berkata, " tak berbaloi".
Apatah lagi berdepan dengan senario semasa: "Cikgu hukum anak saya, saya pukul dan saman cikgu!!"
Ramai ibu bapa tidak lagi meletakkan penghormatan yang tinggi kepada cikgu-cikgu, sebaliknya kerap memarahi dan menyerang guru-guru ekoran masalah disiplin pelajar-pelajar.
Bagaimanapun, Selamat Hari Guru kepada semua guru di Malaysia dan di seluruh dunia. - KitaReporters
Sumber:
https://www.panduanmalaysia.com/jadual-tangga-gaji-guru-ssm/
https://www.permohonan.my/tema-hari-guru-tahun-definisi-huraian/
https://www.moe.gov.my/statistik-menu/statistik-bilangan-sekolah-murid-guru
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/05/564638/tokoh-guru-kebangsaan-2019-dapat-hadiah-rm50
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/ponteng-sekolah-catat-rekod-tertinggi-salah-laku-disiplin-2017-171057
https://www.malaysiakini.com/news/383820
https://www.sinarharian.com.my/article/44727/BERITA/Mahkamah/Isu-kuarters-guru-terbiar-akan-ditangani-Maszlee