PATRIOTISME sinonim dengan 'perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air' lebih lagi kita yang dilahirkan di negara ini (Malaysia). Lantaran sebagai anak watan dengan berpasakkan nilai patriotisme bermakna kita perlu istiqamah dengan kesetiaan, sanggup berkorban dan membugar jati diri di dasar hati masing-masing tanpa perlu dipaksa oleh sesiapa pun. : KitaReporters
Sebahagian guru wanita mengenakan busana baju kurung berasaskan warna Jalur Gemilang.
Lagi cerita-cerita berkaitan kemerdekaan:
https://kitareporters.com/search?search=kemerdekaan
Salah satu bait dalam lagu Negaraku, iaitu 'tanah tumpahnya darahku' mempunyai konotasi mengenai hidup (dilahirkan) dan mati seseorang (kita) tentulah di dalam negara ini malahan bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan tanah air (watan) tercinta daripada sebarang ancaman musuh sehingga ke titisan terakhir darah kita.
Kesedaran nilai patriotismelah menyebabkan Mat Kilau, Tok Gajah, Bahaman (Pahang), Tok Janggut (Kelantan), Abdul Rahman Limbong (Terengganu), Rentap (Sarawak) dan beberapa pejuang Melayu lain bangkit menentang penjajah.
Oleh itu, setiap tahun bermula 31 Ogos hingga 16 September banyak aktiviti berasaskan patriotisme disemarakkan oleh pihak kementerian, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu dan penduduk negara ini.
Sebahagian basikal murid diwarnai dengan hiasan Jalur Gemilang yang turut memeriahkan penutupan Bulan Kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia, 16 September di SK Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut.
Bagi menggambarkan nilai patriotisme, aktiviti yang diadakan sungguh berwarna-warni dan gubahan yang cukup kreatif berorientasikan Jalur Gemilang, tokoh negarawan dan pahlawan serta simbol seperti bunga, bintang, bulan dan sebagainya.
Menyemai semangat patriotik dalam kalangan murid-murid sudah menjadi sebahagian daripada peranan sekolah sama ada dilakukan menerusi aktiviti koakademik dan kokurikulum mahupun sewaktu sesi pembelajaran.
Lantaran itu, program penutup Bulan Kemerdekaan yang menghampiri ufuk peristiwa Hari Malaysia, 16 September tetap meriah dan penuh semangat dengan konotasi laungan 'merdeka' tetap signifikan untuk dihayati semua murid supaya mereka dapat membesar dalam suasana harmoni di sebuah negara berdaulat.
Tiga orang guru wanita bersedia di pentas antara ahli jawatan kuasa yang bertugas menyelaraskan jemputan dan hadiah kepada pemenang aktiviti sempena Bulan Kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia di SK Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut baru-baru ini. - Kredit foto: FB SK Felda Kota Gelanggi Dua.
Berasaskan kebenaran ini, seramai 394 orang murid dan 49 guru serta kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut telah menganjurkan program penutup Bulan Kemerdekaan bersempena sambutan Hari Malaysia, 16 September di sekolah tersebut baru-baru ini.
Program yang diadakan setiap tahun cukup meriah diisi dengan pelbagai aktiviti menarik, antaranya nyanyian lagu patriotik, pertandingan mewarna, pertandingan basikal berhias, kereta guru berhias, mengibarkan Jalur Gemilang, cop tapak tangan dan siri pengkisahan sejarah.
Lebih menarik lagi guru wanita mengenakan busana berkonsepkan Jalur Gemilang, manakala guru lelaki pula memakai baju Melayu dan mengenakan tanjak di kepala mewarnai pengisian program tersebut.
Murid-murid dan guru bersama basikal yang dihiasi Jalur Gemilang sempena penutupan program Bulan Kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia, 16 September di SK Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut.
Sebahagian guru lelaki sinonim dengan baju Melayu dan memakai tanjak di kepala menzahirkan nilai patriotisme dan jati diri.
Guru Besar SK Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, Muhamad Rozuari Ismail (tengah) menyampaikan hadiah kepada seorang murid yang memenangi pertandingan basikal berhias sempena penutup Bulan kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia, 16 September baru-baru ini.
Guru Besar SK Felda Kota Gelanggi Dua, Muhamad Rozuari Ismail berkata, program itu selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyemai nilai patriotisme berasaskan sejarah kemerdekaan serta kisah perjuangan tokoh sebelum dan selepas merdeka.
"Kita menyerapkan program bercorak patriotisme yang boleh menyemai pemikiran dan mengubah sikap murid di sini berasaskan falsafah kemerdekaan dan jerih perih perjuangan wira bangsa dahulu.
"Walaupun masih dalam tempoh fasa pemulihan wabak COVID-19, program ini mendapat sambutan yang baik, malah komitmen guru, kakitangan sekolah dan murid mematuhi prosedur operasi standard (SOP), pemakaian pelitup muka serta amalan kebersihan tetap memeriahkan dengan setiap aktiviti yang diwarnai dengan Jalur Gemilang," katanya di SK Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut.
SHAMSINA MIOR MUSA
Sementara itu, penyelaras program, Shamsina Mior Musa berkata, aktiviti yang disediakan oleh guru bertujuan untuk menerapkan nilai patriotisme kerana mereka wajar terhutang budi kepada negarawan terdahulu yang memeta pembangunan menerusi acuan kemerdekaan khususnya bidang pendidikan.
"Didikan berpasakkan semangat kemerdekaan dan jati diri termasuk pengajaran di kelas, iaitu dapat membentuk pelajar Felda di sini yang bakal menjadi profesional dalam semua bidang, malah mereka bersedia mengisi tempat serta peluang sebagai pemimpin dalam komuniti global pada masa akan datang," ujarnya.
Mengulas lanjut, Shamsina yang juga guru mata pelajaran Sains itu berkata, program berkenaan antara wahana mengukir mentaliti pelajar supaya mengingati perjalanan serta jasa para wira bangsa terdahulu dalam usaha menuntut kemerdekaan negara.
Murid Tahap Satu sedang menunjukkan hasil kreativiti mewarna lukisan sempena sempena penutupan program Bulan Kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia, 16 September di SK Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut.
Norhafizah Ismail menggayakan busana berwarna-warni berkonsepkan Jalur Gemilang dan tema Malaysia Prihatin bersama sebuah basikal sempena penutupan Bulan Kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia, 16 September di SK Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut baru-baru ini.
Guru Pendidikan Khas, Norhafizah Ismail pula berkata, dia gembira melihat kesungguhan dan semangat patriotisme yang dizahirkan oleh murid di situ menyertai aktiviti Bulan Kemerdekaan sehingga sanggup berbelanja duit poket sendiri untuk menyediakan kostum Jalur Gemilang, dekorasi basikal masing-masing dan membuat tanjak merdeka.
"Sebagai guru, saya yakin kesan program ini setiap tahun dapat memantapkan semangat jati diri dan patriotisme murid di sini sekali gus memenuhi objektif transformasi pembangunan modal insan.
"Program itu selari dengan hasrat bidang pendidikan, iaitu signifikan untuk menjana murid-murid berakhlak mulia serta berkeperibadian tinggi berasaskan kesedaran patriotisme dan prinsip Rukun Negara," katanya.
Beberapa buah basikal yang siap didekorasikan dengan Jalur Gemilang bagi menyertai pertandingan di SK Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut.
MUHAMMAD DANIEL HAKIM HAMBALI
Bagi murid Tahun Enam, Muhammad Daniel Hakim Hambali berkata, dia bersemangat apabila mengenakan tanjak pada kepalanya walaupun terpaksa berbelanja RM30 menyediakan kain dan upah orang membuat busana tradisional itu.
"Program yang disusun oleh guru sangat mengujakan kami (murid) seperti acara basikal berhias, mengecap tapak tangan, mewarna jalur Gemilang dan tema Malaysia Prihatin serta perarakan mengelilingi sekolah.
"Bukanlah hadiah menjadi rebutan, tetapi lebih penting bagi saya dan rakan dapat menghayati sejarah kemerdekaan negara termasuk Hari Malaysia, 16 September sebagai memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia," ujarnya.
Seorang murid menunjukkan hasil lukisannya yang menzahirkan nilai kesetiaan dan sayangkan negara di SK Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut.
Sebahagian guru dan kakitangan memegang banting yang dipenuhi cap tangan murid-murid sambil berteriak 'merdeka' sempena penutupan program Bulan Kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia, 16 September di SK Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut.