Seni & Sukan 24 Nov, 2021

Video| Wani Kayrie mohon Jangan Terlepas Pandang kebolehan bakatnya! Mahu jadi penyanyi hebat!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Penyanyi Wani Kayrie pernah mengharumkan nama negara semasa bertanding di World Championship of Performing Arts (WCOPA) pada tahun 2012 di Hollywood, California, Amerika Syarikat (AS) dengan memenangi 1 pingat emas, 2 pingat perak, 1 pingat gangsa serta Hollywood Industry Award.

Namun di tanah airnya sendiri, pemilik nama Syazwani Abdullah, bukan calang-calang kerana dia pernah pernah bergelar juara program pertandingan nyanyian ‘Kamilah Bintang’ pada tahun 2010.

Namun pada pentas 'Big Stage' musim pertama, dia  menduduki tempat keempat.

Pendek kata, sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Wani Kayrie dikatakan masih belum mempunyai faktor ‘wow’ yang mampu membantunya cepat naik.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan penyanyi


“Mungkin masih ramai di luar sana yang kurang mengenali nama Wani Kayrie, namun sebagai anak seni itu sedikitpun tidak mematahkan semangat saya dalam meneruskan kerjaya yang dicintai ini,” ujar Wani.

Pun begitu, siapa sangka setelah lebih daripada 10 tahun bergiat aktif dalam bidang seni tanah air, Wani diberikan peluang menjadi sebahagian daripada keluarga besar Rocketfuel ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

Itulah hikmahnya, kala dunia seni muzik terkesan dengan tempoh PKP, Wani pula diberi kesempatan tampil dengan single pertamanya dengan judul yang mencerminkan dirinya, ‘Jangan Terlepas Pandang’, hasil ciptaan komposer terkenal MFMF dan Asyraf Nasir.



"'Jangan Terlepas Pandang' adalah suara hati saya. Mungkin kehadiran saya sebagai penyanyi tidak mendapat pengiktirafan sebanyak yang diinginkan. Namun, saya masih lagi berharap untuk menjadi bintang utama dan tak dilepas pandang,” luah gadis berusia 21 tahun ini.

Terbaharu, single bergenre pop dansa ini adalah gabungan idea kreatif antara komposer MFMF dan juga Asyraf Nasir yang mahukan kelainan buat Wani agar keluar dari zon selesanya dan tampil dengan sesuatu yang baharu.

“Apa yang kami cuba sampaikan melalui lagu ini kepada pendengar adalah sebuah kenyataan bahawasanya masa Wani untuk menyinar telah tiba. Ia menceritakan tentang semangat dalam menonjolkan bakat dan kemampuan dirinya, serta bagaimana beliau mengatasi rintangan yang dihadapi apabila merasa tewas. 

“Selain itu, mesej yang terdapat dalam lagu ini juga adalah sebagai pembakar semangat bagi setiap individu di luar sana yang ingin membuktikan diri mereka kepada semua orang bahawa mereka mampu mencapai lebih daripada apa yang disangkakan jika sentiasa bekerja keras dan tak berputus asa,” jelas MFMF.



Dalam pada itu, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlangsung turut memberikan pengalaman baharu buat Wani apabila perlu melaksanakan rakaman di rumah.

Menurut MFMF, proses rakaman yang sepatutnya dijalankan di studio terpaksa dilakukan secara dalam talian, tanpa bersemuka dengan  pihak artis dan label, Rocketfuel.

Walaupun proses rakaman secara maya tetapi merupakan pengalaman baharu buat Wani namun tambah MFMF, ia tidak menjejaskan persembahan serta mutu vokal Wani waima sifat profesionalismenya serta sokongan Rocketfuel memudahkan rakanan berjalan lancar dan dalam masa yang singkat.



“Saya berharap agar single ‘Jangan Terlepas Pandang’ ini dapat diterima ramai. Dan buat sesiapa yang mendengarnya, percaya dengan kebolehan diri sendiri dan jangan takut mencuba perkara baru dalam hidup, jangan mudah berputus asa dan jangan jadikan kritikan orang luar dalam menjatuhkan kredibiliti kita,” pesan Wani sambil bersyukur mempunyai seorang ibu,  Mama Jay yang memahami dan merupakan pendorong utama dalam kerjaya seninya agar terus pandang ke hadapan.

Lagu ‘Jangan Terlepas Pandang’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer. - KitaReporters


15
10
0
11
0
You will be interested