Seni & Sukan 30 Dec, 2019

DEKAD GEMILANG HUJAN, BASAHKAN DUNIA INDIE

@ku syafiq ku fozi
Wartawan terakhir yang diterima bekerja secara tetap bersama Utusan Malaysia. Mula berkhidmat pada 1 November 2017 dan tamat pada 31 Oktober 2019. Pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah.

Share this
BERMULA di pentas tugasan mingguan Akademi Seni Kebangsaan (ASK), kini menjadi legenda. Tiada siapa sangka sebuah kugiran yang dahulunya hanya bermain dalam gig kecil-kecilan kini menjadi besar sehingga menjadi inspirasi buat banyak kugiran dan penyanyi lain. : KitaReporters.com

HUJAN dinobatkan sebagai Artis Dekad Ini dalam majlis anugerah Tapau Awards 2019 di The Bee, Publika Jumaat lalu.


Itulah Hujan. Ahlinya bertukar ganti, malah setiap ahli tetapnya kini turut bermain dengan kugiran lain serta giat menggerakkan projek solo. 

Namun nama Hujan tetap diingati dan akan dijerit serta disorak apabila membuat persembahan.

Penutup 2019 pastilah indah buat Hujan apabila mereka diangkat sebagai Artis Dekad Ini pada majlis anugerah Tapau Awards yang berlangsung di The Bee, Publika, Kuala Lumpur pada  Jumaat (27/12/2019) lalu.

Hujan ditubuhkan pada 2005 oleh vokalisnya, Noh Salleh dan gitaris, AG Coco. 

Perkenalan dalam Myspace dilanjutkan dengan persembahan pertama mereka di ASK (kini dikenali sebagai Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan - Aswara) untuk tugasan mingguan AG.

Anggota tetap Hujan kini berjumlah empat orang, dengan Noh sebagai vokalis, AG sebagai gitaris, Izzat Uzaini di posisi bes, manakala Azham Ahmad sebagai pemain dram.

Mengekalkan pengaruh Hujan bukanlah mudah memandangkan kugiran itu bukanlah satu-satunya fokus ahlinya.

HUJAN masih bertahan walaupun ahli-ahlinya diikat pelbagai komitmen. - Foto kredit Facebook Hujan


AG mempunyai perniagaan studio sendiri, Kamar Seni Studio untuk diuruskan. Noh pula semakin aktif dengan projek solonya, manakala Azham turut bermain dram untuk kugiran Masdo.

Namun, Hujan tidak pernah putus mengeluarkan produk. Terbaharu, album keenam mereka, Pelangi Dan Kau akan dilancarkan pada Januari ini.

Dek kesungguhan dan pengaruh yang ditinggalkan oleh Hujan dalam industri, Tapau Awards telah memilih mereka sebagai Artis Dekad Ini.

Penghargaan yang lebih besar apabila penyanyi Malaysia yang terkenal di seluruh dunia, Yuna diberi kesempatan untuk menyampaikan anugerah tersebut kepada mereka.

YUNA mengakui Hujan merupakan inspirasi untuk beliau berkarya dan kugiran itu bertanggungjawab membuka jalan untuk beliau berjaya seperti sekarang. - Foto kredit Facebook Yuna


Yuna ketika menyampaikan anugerah itu berkata, kewujudan Hujan kira-kira sepuluh tahun lalu sebagai peneraju kebangkitan artis-artis indie telah membuka jalan kepada penyanyi sepertinya untuk mempersembahkan karyanya kepada orang ramai, seterusnya menempa kejayaan dalam industri muzik.

“Apabila mereka masuk dalam scene, semua orang tergila-gilakan mereka dan anda tak boleh endahkan mereka kerana kehadiran mereka begitu besar. 

“Kerana mereka saya ada di sini. Kerana mereka, anda juga ada di sini, buat apa yang anda buat hari ini. Kalau tidak kita masih di bilik tidur, tulis muzik dan tak tahu apa akan jadi pada karya kita,” katanya. - KitaReporters.com


3
0
0
0
0
You will be interested