ARGENTINA meneruskan perjuangan ke separuh akhir Piala Dunia Qatar 2022 selepas ketepikan saingan Belanda atau Netherlands menerusi sepakan penalti 4-3 dalam suku akhir kedua pada 10 November 2022.
Perlawanan yang berlangsung begitu sengit dan perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan dan penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 dalam masa sebenar.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perlawanan Piala Dunia
Sepanjang 120 minit berlangsung, Argentina bagaimanapun lebih berbahaya di hadapan gol biarpun Belanda menguasai permainan.
Jentera serangan yang diketuai pemain terbaik dunia, Lionel Messi ternyata sentiasa memberi ancaman kepada barisan pertahanan Belanda setiap kali mereka menyerang.
Argentina membuka tirai jaringan pada minit ke-35 menerusi pemain pertahanan mereka, Nahuel Molina.
Kem Argentina terus bersorak gembira apabila ketua pasukan, Messi mengukuhkan kedudukan untuk gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-73 selepas Marcus Acuna dijatuhkan di dalam kotak penalti.
Perlawanan dilihat seperti Argentina akan ke separuh akhir selepas selesa mendahului 2-0 namun Belanda cuba bangkit di hujung permainan apabila Wout Weghorst merapatkan kedudukan pada minit ke-83.
Pada masa kecederaan semakin suntuk, Argentina sudah sebelah kaki ke separuh akhir namun sekali lagi Weghorst mematikan kelebihan yang ada pada Argentina untuk menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-101.
Sepanjang 30 minit masa tambahan, Argentina lebih mengawal permainan dan lebih banyak melakukan gerakan serta percubaan ke kubu Belanda.
Tetapi Belanda berjaya bertahan dengan begitu baik dan mengheret permainan ke penentuan sepakan penalti.
Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez menjadi wira buat pasukannya dalam penentuan sepakan penalti ini.
Dua pemain yang ditugaskan untuk menyempurnakan sepakan penalti bagi kem Belanda gagal menjalankan tugas dengan baik dan memberi kelebihan buat Argentina.
Meskipun ada seorang pemain Argentina gagal sempurnakan sepakan penalti namun ia sudah terlambat untuk menghalang wakil Amerika Selatan ini meneruskan perjuangan di separuh akhir.
Mereka akan bertemu Croatia untuk menentukan siapa akan ke pentas akhir. - KitaReporters