Seni & Sukan 18 Mar, 2025

Terima kasih Menteri Komunikasi! Artis veteran tak dilupa! Lulus serta merta RM50k kepada PKAVM!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

FAHMI Fadzil mengumumkan peruntukan RM50,000 kepada PKAVM. - Kredit foto: Kementerian Komunikasi.


PERJUANGAN Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) untuk membela nasib ahlinya mendapat perhatian Kerajaan Madani apabila mereka memperolehi peruntukan serta-merta sebanyak RM50,000 daripada Kementerian Komunikasi.

Peruntukan itu diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil semasa berucap pada majlis ‘Raya Sama-Sama’ yang berlangsung di Dewan Cendekiawan, Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR), Kuala Lumpur, pada Isnin, 17 Mac, 2025.

Ia adalah reaksi segera kepada suara hati pemangku presiden PKAVM, Sandakiah Aziz yang sebelum itu dalam ucapannya menyenaraikan 10 permintaan untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Komunikasi sebagai usaha membantu artis veteran.

Di samping itu Fahmi turut ‘membuka pintu’ kepada PKAVM untuk bertemu beliau bagi meneliti serta membincangkan lebih lanjut 10 perkara yang dikemukakan mereka, antaranya melibatkan peluang persembahan dalam acara terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan kemudahan rawatan.


SANDAKIAH Aziz. - Kredit foto: Kementerian Komunikasi.


Sandakiah dalam ucapannya antara lain meminta artis veteran diberi peluang membuat persembahan dalam setiap acara atau program RTM seperti Hiburan Minggu Ini dengan sekurang-kurangnya dua artis veteran dijemput dalam setiap episod.

Selain itu, Sandakiah juga meminta artis veteran dijemput untuk acara berprestij seperti acara anugerah dengan memberi mereka peluang membuat persembahan pembukaan atau sebagai penyampai anugerah.

PKAVM juga meminta kerajaan mempertimbang skim pencen di samping diberi kemudahan rawatan kelas 1 di hospital kerajaan serta kemudahan memohon rumah PPR (Program Perumahan Rakyat).

Sandakiah seterusnya memohon Kementerian Komunikasi memperuntuk dana pengurusan NGO supaya PKAVM dapat menggerakkan aktiviti, yang mana permintaan itu mendapat reaksi segera Fahmi apabila mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada persatuan berkenaan.


FAHMI menyampaikan sumbangan kepada salah seorang artis veteran.


Dalam pada itu Sandakiah berkata, PKAVM bukan suka meminta-minta tapi itulah tugas mereka sebagai sebuah badan bukan Kerajaan (NGO) dalam membela anak seni terutama artis veteran.

We are professional beggars. Saya yakin Kerajaan Madani sentiasa prihatiin dan mengambil berat akan nasib yang dialami oleh golongan artis veteran, lebih-lebih lagi mereka yang keuzuran dan tidak mendapat tawaran bekerja lagi,” katanya.

Malah, kata Sadakiah, artis veteran yang masih aktif pun tidak mendapat peluang kerana stesen televisyen lebih mengutamakan artis muda yang mempunyai ramai pengikut dalam media sosial.

“Nasib mereka ini patut dibela, bukan setahun sekali tapi harus secara holistik dan berterusan. Yang lebih penting bantuan kebajikan harus diberi tanpa mengambil kira latar belakang fahaman politik,” tegas Sandakiah.


FAHMI bersama sebahagian penerima sumbangan. - Kredit foto: Kementerian Komunikasi.


Pada majlis itu, Fahmi turut menyerahkan sumbangan berupa wang tunai, pakaian dan baucar beli-belah kepada 50 penggiat seni dan 26 pengamal media sempena Ramadan serta sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang pada hujung bulan Mac ini.

Antara artis yang menerima sumbangan adalah Dharma Harun Al-Rashid, Uji Rashid, Delimawati, Z Lokman, Din Glamor, Ali XPDC, Margaret Gan, Along Eyzendy dan ramai lagi.

Fahmi berkata, inisiatif itu, bagi memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan warga industri seni serta pengamal media yang telah memberikan sumbangan untuk pembangunan industri media dan industri kreatif tanah air.

"Sejajar dengan aspirasi Kerajaan Madani yang menekankan prinsip ihsan dan pemberdayaan kemanusiaan, program ini mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan besar penggiat seni veteran serta peranan penting pengamal media dalam masyarakat,” katanya lagi.

Fahmi Fadzil meraikan serta memberi sumbangan kepada artis veteran dan pengamal media pada majlis 'Raya Sama-Sama' di IPPTAR, Angkasapuri, Kuala Lumpur. - Kredit foto: Kementerian Komunikasi.


Majlis berkenaan anjuran Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). 

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman; Pengarah IPPTAR, Roslan Ariffin; dan Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Finas, Datin Rozita Waty Ridzuan. - KitaReperters

12
11
0
14
0
You will be interested