.
Jika peribahasa Melayu pada zaman nenek moyang dahulu berbunyi ‘sepandai pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua’, barangkali pada era teknologi canggih kini boleh dicipta pula satu pepatah seumpama iaitu ‘sebijak-bijak mana seseorang itu, akhirnya kena scam jua.’
Inilah yang dapat penulis fikirkan apabila mendengar pengakuan penerbit dan pengarah filem terkenal, Datuk Afdlin Shauki yang sejujurnya meluahkan kekesalahannya di atas pengalamannya terpedaya dengan ‘scammer’ sehingga kerugian sebanyak USD$50,000 (lebih RM225 ribu).
“Saya yang anggap diri saya bijak pun kena scam. Jadi bukan sahaja orang bodoh kena scam malah profesor pun boleh kena scam, pendek kata semua orang boleh kena scam,” ujar Afdlin Shauki pada majlis pengumuman tayangan perdana produksi original terbaharu Unifi TV, “Din Tiger” arahannya bertempat di Hyatt Place, Bukit Jalil pada 2 Januari 2025 lalu.
Turut bersama barisan artis yang terlibat iaitu pelakon utamanya Datuk Aaron Aziz, Datin Nina Juren, Tony Eusoff, Ako Mustapha, Mia Sara Shauki dan Adam Corrie manakala yang turut membintangi tetapi tidak dapat hadir adalah Josiah Hogan.
Bersama mereka juga adalah Ketua Kandungan Melayu Unifi TV merangkap Penerbit Eksekutif Unifi TV, Emarina Kamal serta Pengurus Pembangunan Kandungan & Pengeluaran Unifi TV Original, Ahmad Nizam Mohd Shah.
Dari kiri: Tony Eusoff, Nina Juren, Aaron Aziz, Afdlin Shauki, Ako Mustapha, Mia Sara dan Adam Corrie pada sidang media 'Din Tiger' baru-baru ini.
Menurut Afdlin, kisah ‘Din Tiger’ diinspirasikan daripada kisah ‘scammer’ yng kini masih berleluasa mencari mangsa dan tujuannya menerbitkan cerita sedemikian semata-mata untuk membantu orang ramai berhati-hati.
“Bayangkan ketika saya ditawarkan dana untuk membuka sebuah stesen televisyen siapa tak nak apatah lagi apabila bertemu dengan orang berkenaan di sebuah kapal layar mewah di Singapura dan kemudian menandatangani kontrak di London, tentulah saya percaya tetapi akhirnya kena ‘scam’. Habis pudar angan-angan nak ada stesen televisyen,” cerita Afdlin terhadap pengalamannya kena ‘scam’ sehingga kerugian USD$50,000 sebagai wang pendahuluan kepada konsultan terbabit.
Unifi TV Originals: Din Tiger ini bakal ditayangkan sebanyak 8 episod bermula 6 Januari 2025, setiap Isnin, jam 11 malam di Degup HD, Saluran 120, eksklusif dalam Unifi TV, waima tayangan perdana dua episod telah dilancarkan dalam saluran YouTube Unifi pada 2 Januari 2025.
Terbitan KL Post Sdn Bhd, Afdlin selaku Pengerusinya, menyifatkan drama bergere thriller aksi, ‘Din Tiger’ ini sebuah karya asli yang diinspirasikan daripada kisah benar, diperoleh daripada bahagian jenayah komersial
“Saya bernasib baik kerana mendapat bantuan daripada dua orang bekas pegawai polis, yang pernah berkhidmat di bahagian jenayah komersial.
"Mereka inilah yang banyak memberikan ‘input’ dan pendedahan kepada saya tentang jenis-jenis ‘scam’ yang banyak berlaku di Malaysia, bagaimana ‘scammer’ menjalankan operasi mereka serta melakukan ‘scamming’ menggunakan rangkaian yang cukup rapi dan tersusun sehingga sukar untuk ia dibanteras,” kata Afdlin.
Menerusi jalan cerita yang penuh konflik dan emosi, penonton akan dibawa menyusuri kehidupan Din Tiger, seorang bekas pakar ‘scammer’ lakonan Aaron Aziz, yang berazam meninggalkan dunia jenayah demi masa depan keluarganya.
Namun, keputusannya itu tidak semudah yang disangka apabila dia terperangkap dalam sebuah konspirasi besar dan perlu berhadapan dengan ancaman Boss Mario, watak antagonis yang dilakonkan oleh Afdlin Shauki sendiri.
Beliau berharap melalui penceritaan ini, penonton berpeluang memahami cara operasi rangkaian jenayah siber yang dirancang dengan begitu rapi, selain memberi kesedaran tentang bagaimana mangsa dari pelbagai lapisan masyarakat mudah diperdaya.
Sementara itu, menceritakan pengalamannya berhubung ‘scammer’ Aaron Aziz bagaimana pun tidak pernah terperangkap dengan skim scammer walau pun pembantu rumahnya pernah discam dan hilang duit dalam akaun.
“Saya cuma pernah ditawarkan beberapa projek namun akhirnya ‘haram’. Jadi sekarang ni saya ambil keputusan untuk meminta wang pendahuluan sekurang-kurangnya RM20,000 sebelum teruskan kolaborasi,” ujar Aaron sambil berpesan agar berhati-hati mendandatangani setiap kontrak yang diberi waima ada terselit kluas yang membuatkan sukar untuk mengambil tindakan selanjutnya setelah terkena ditipu.
Menurut Aaron antara sebab beliau bersetuju untuk mengambil watak ‘Din Tiger’ disebabkan jalan ceritanya jarang diketengahkan dan mesej yang ingin disampaikan kepada penonton amat berguna untuk diketahui lebih-lebih lagi penipuan jenayah siber sekarang masih berleluasa.
“Antara lain disebabkan sudah lama tidak berlakon bersama dengan seorang pengarah tersohor seperti Afdlin di mana ini merupakan kali kedua sejak lebih 20 tahun lalu ketika masing-masing masih kurus.
'Lagi pun watak ini tidak memerlukan saya bersikap seperti gengster sebagaimana kebiasaannya yang saya bawakan dalam filem aksi sebelum ini", akhiri Aaron sambil memaklumkan enggan lagi melakonkan watak lelaki 'romantis' atau yang steriotaip waima filem aksi sekali pun beliau tetapi akan memilih mana yang dirasakan mencabar dan lain daripada yang lain. - KitaReporters
Barisan artis bergambar bersama Emarina Kamal (empat dari kiri) dan Ahmad Nizam Mohd Shah (empat dari kanan) dari Unifi TV.