STADIUM yang dulu gegak-gempita dengan sorakan penonton kini lengang dan sepi. - Gambar hiasan.
SAMBUTAN dingin peminat bola sepak tempatan terhadap Liga Malaysia (Liga M) mencetuskan persoalan sejauh mana pertandingan liga domestik itu mampu bertahan.
Walaupun agak drastik untuk meramalkan ia akan berkubur namun keadaan sendu yang melanda liga kita perlu dipandang serius dan sesuatu perlu dilakukan bagi menyelamatkannya.
Statistik kehadiran penonton yang menyaksikan pertandingan liga menunjukkan penurunan yang amat ketara yang mana jika dirangkum jumlah penonton untuk lima venue perlawanan, ia tidak mencecah pun 10,000 penonton.
Menurut laporan akhbar Harian Metro, trend penurunan ini bermula pada minggu ke-17 dan 18 dan ia terus merosot yang menyaksikan jumlah keseluruhan penonton bagi lima venue hanya 6,843 sahaja.
PERTARUNGAN antara Terengganu menentang JDT yang dianggap perlawanan tumpuan gagal menarik penonton ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Kredit foto MFL.
Menerusi pecahan jumlah keseluruhan itu, perlawanan antara Penang FC menentang Selangor FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, mencatat seramai 2,198 kehadiran.
Perlawanan antara dua semi finalis Piala Malaysia, Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC yang boleh dianggap sebagai match of the week hanya mampu menarik seramai 2,046 penyokong ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Dua pasukan yang sedang bergelut dengan prestasi sejak beberapa musim kebelakangan ini, Perak FC dan Kelantan Darul Naim FC turut bergelut untuk mendapat sokongan apabila hanya1,106 penyokong hadir di Stadium Manjung.
Sebuah lagi pasukan semi finalis Piala Malaysia musim ini, Sri Pahang FC juga gagal mencetuskan keghairahan dalam kalangan penyokong mereka apabila hanya 956 penonton hadir menyaksikan perlawanan mereka dengan Kuala Lumpur City FC di Stadium Temerloh.
Aksi antara Negeri Sembilan FC menentang Sabah FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pula hanya ditonton oleh seramai 537 orang.
SHAUKIE KAHAR pengulas sukan yang turut merasai kemelut yang melanda Liga Malaysia sekarang.
Senario ini adalah satu bukti nyata bahawa liga kita semakin dipinggirkan oleh peminat bola sepak tempatan, sesuatu yang perlu dipandang serius oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebagai entiti yang dipertanggungjawab mengendalikan perjalanan liga.
Bagi pengulas sukan terkemuka, Shaukie Kahar, apa berlaku sekarang berpunca daripada pelbagai sebab yang seharusnya membuka mata banyak pihak terbabit.
“Saya sebagai pengulas merasai kesenduan dan kesepian itu apabila ditugaskan mengulas sesuatu perlawanan liga sekarang. Ia berbeza dengan dahulu, yang mana kita dapat merasai aura dan kemeriahannya.
“Sebenarnya, suasana di stadium memainkan pengaruh yang besar kepada kami dalam menyampaikan ulasan. Jika stadium penuh, bergema dengan sokongan penonton, ia dengan sendiri turut membangkitkan mood dan semangat kami semasa mengulas.
SUASANA stadium satu ketika dahulu yang menyaksikan peminat datang memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.
“Tapi, sekarang ia bertukar suram sehingga ada sesetengah perlawanan, kita seolah-olah sedang menonton perlawanan dalam stadium yang kosong. Bukan sahaja pemain akan hilang semangat dengan keadaan ini, kami yang hendak mengulaspun hilang mood,” katanya.
Shaukie yang lebih 30 tahun terbabit sebagai pengulas sukan berkata antara punca utama penonton mula menolak Liga M adalah prestasi kebanyakan pasukan yang merosot ditambah dengan kemelut yang melanda termasuk isu tunggakan gaji.
“Kegilaan penyokong bola sepak kita belum mencapai tahap gila orang Eropah. Mereka akan tetap membanjiri stadium walaupun pasukan mereka kalah. Fan base mereka cukup kuat.
“Ia berbeza di Malaysia, lima kali berturut-turut kalah, penonton mula menjauhkan diri apatah lagi jika asyik menjadi pasukan belasahan.
KEDAH antara pasukan yang berdepan kemelut tunggakan gaji. - Kredit foto KDA FC
“Kemelut gaji yang tidak berkesudahan juga membuatkan peminat bosan. Bila gaji tak bayar, pemain hilang motivasi untuk bermain, akhirnya prestasi pasukan merosot.
“Malah, ada pasukan pemainnya memboikot latihan kerana tak dibayar gaji, akhirnya pasukan terpaksa menggunakan pemain pelapis untuk menggantikan mereka. Peminat mengikuti sandiwara ini dan mereka tidak akan menyokong pasukan yang mereka sudah tahu akan kalah.
“Susunan jadual pertandingan juga turut memainkan peranan kepada penurunan jumlah penonton ke stadium. Dalam hal-hal tertentu, saya melihat berlaku ketidakadilan dalam beberapa keputusan MFL berhubung jadual perlawanan,” ujarnya.
JDT pasukan yang mendominasi bola sepak Malaysia sejak satu dekad lalu.
Mengenai dominasi JDT yang turut dikaitkan sebagai punca hilang minat penonton, Shaukie melihat alasan itu tidak relevan sama sekali.
“Kita tidak boleh menafikan hak JDT untuk jadi juara kerana ia memang pasukan terbaik dalam liga kita sekarang. Kelab lain perlu meningkatkan prestasi mereka jika mahu menamatkan dominasi JDT.
“Jika semua kelab ada semangat itu, saya yakin Liga Super akan menjadi lebih kompetitif kerana setiap pasukan berusaha untuk menyaingi JDT. Bila ini berlaku, peminat akan datang ke stadium untuk beri sokongan kepada pasukan masing-masing.
"Tapi, kalau dari awal sudah ada mindset mereka tidak akan mampu kalahkan JDT, beginilah keadaan liga kita. Akhirnya peminat akan lari,” katanya lagi.
KEGAGALAN skuad kebangsaan di Piala AFF 2024 turut memberi tempias kepada Liga Malaysia. Kredit foto: FAM
Selain itu, menurut Shaukie, prestasi skuad kebangsaan turut memberi tempias kepada Liga M terutama selepas kegagalan Harimau Malaya pada pertandingan Piala AFF pada 2024.
“Jika Harimau Malaya berjaya, ia akan turut memperngaruhi semangat peminat. Tapi, selepas gagal di Piala AFF yang hanya merupakan pertandingan peringkat ASEAN, apa lagi yang boleh kita harapkan dari skuad kebangsaan? Tempias kegagalan itu sedikit sebanyak kena pada liga.
“Saya harap revolusi yang dilakukan ke atas skuad kebangsaan akan membawa hasil walaupun ia sukar diramalkan.
“Pada masa sama MFL perlu melakukan penyusunan semula ke atas Liga Malaysia agar sindrom stadium kosong sekarang tidak berterusan,” kata Shaukie. -KitaReporters