Penganjuran aktiviti sukan UMT berjalan lancar pada musim tengkujuh. - Kredit Foto: Media Kreatif UMT
MUSIM Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang melanda Negeri Terengganu, bukan penghalang untuk menganjur aktiviti riadah dan sukan, sebaliknya ada pihak yang mengambil kesempatan pada keadaan cuaca tidak menentub seperti sekarang untuk menganjurkan aktiviti yang sesuai dan tidak berbahaya kepada pengunjung.
Musim tengkujuh disambut dengan penuh kemeriahan apabila ribuan mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan komuniti sekitar kampus menyerbu pantai UMT bagi mewarnai cabaran sukan pantai.
Kejohanan International Monsoon Beach Challenge 2023 itu mendapat sambutan luar biasa apabila turut disertai oleh pasukan seluruh negeri dan juga Thailand.
Sesi pendaftaran peserta
Penganjuran bagi memartabatkan pembentukan mahasiswa itu diadakan selama tiga hari bermula 16 November 2023 dan berakhir 19 November 2023 lalu.
Ketua Pusat Sukan dan Rekreasi UMT, Siti Noriam Yaakob berkata cabaran sukan monsun itu adalah seiring aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melahirkan graduan holistik yang berketrampilan serta seimbang bagi memimpin masa hadapan yang diperlukan negara.
“Pusat Sukan dan Rekreasi UMT mengambil peluang untuk menjadikan fenomena alam yang sentiasa melanda Pantai Timur Malaysia sebagai satu daya tarikan melalui penganjuran acara sukan pantai khasnya.
“Usaha ini juga bagi menyokong hasrat kerajaan dalam melahirkan graduan berkualiti serta seimbang dengan pencapaian akademik dan bergiat aktif dalam aktiviti sukan yang mana ia sebagai langkah mempersiapkan generasi pelapis bagi memimpin negara pada masa hadapan,” katanya.
Peserta bola jaring gigih berlawan
Menurut Noriam, pihaknya menyasarkan penyertaan seluruh Malaysia dan jemputan juga dibuat kepada beberapa universiti dari Thailand dan Indonesia.
Katanya, penganjuran itu sebagai platform untuk mahasiswa meningkatkan keupayaan insaniah atau ‘soft skill’ dengan pengurusan, kemahiran komunikasi, kepimpinan bagi menerajui acara-acara yang dipertanding.
“Kita mahukan pelajar-pelajar terdedah dengan kepimpinan dan soft skill yang tinggi dan untuk itu kita lantik pelajar-pelajar sebagai peneraju untuk acara-acara yang dipertanding.
"Pendedahan pengurusan penganjuran program sangat berguna sebagai nilai tambah kepada mahasiswa selain ilmu akademik dalam menceburi alam kerjaya kelak," katanya lagi.
Hujan tidak melemahkan semangat peserta memancing
Acara yang dipertanding termasuklah bola jaring, bola tampar, bola sepak, memancing, sukaneka dan aktiviti mewarna.
International Monsoon Beach Challenge 2023 mengangkat lima acara sukan utama untuk dipertanding dengan tawaran hadiah berjumlah RM55,000.
Tambah Noriam, penganjuran itu turut memupuk semangat berpasukan antara pelajar dalam melakukan kerja berkumpulan selain menyumbang kepada kesihatan fizikal dan emosi.
“Permainan berpasukan dalam sukan
membantu mahasiswa memahami pentingnya kerjasama dan kepercayaan dalam kerja
berpasukan demi mencapai matlamat bersama. Sifat-sifat ini amat berguna dalam
kehidupan universiti dan seterusnya dalam pekerjaan dan masyarakat.
“Aktiviti fizikal seperti bersukan dapat meningkatkan kesihatan mental dan fizikal mahasiswa selain membantu mengurangkan stres, dan meningkatkan kecerdasan emosi,” katanya lagi.
Penganjuran sukan pantai kali ke-5 itu turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan tajaan syarikat korporat iaitu Maxis dan XOFI. - KitaReporters
Aksi peserta pertandingan ketika hujan