Seni & Sukan 15 Jun, 2023

6 tahun sepi! Rossa coret suka duka COVID-19 melalui album terbaharu! Another Journey: The Beginning!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this



Cukup hangat sambutan yang diberikan terhadap penyanyi genit yang lebih kurang sama tinggi dan dikatakan juga sama mirip penyanyi dangdut, Shiha Zikir iaitu Dato Seri Rossa atau nama kelahirannya, Sri Rossa Roslaina Handiyani ketika berada di Malaysia dalam rangka promosi konsert dan pelancaran album terbaharunya. 


Mirip tak Rossa (kiri) dengan Shiha Zikir? - Kredit foto: IG @shihazikir.



Boleh dikatakan penuh ruang Centre Court, The Curve di mana berlangsungnya majlis pelancaran album Rossa, “Another Journey: The Beginning’ baru-baru ini sehingga kerusi untuk media pun tidak mencukupi apabila diisi oleh pempengaruh jemputan dan peminatnya, ‘Pecinta Rossa’.

Memang luar biasa sambutan diberikan kepada diva dari Indonesia ini apatah lagi kehadiran Rossa sekali gus mempromosikan konsert yang bakal diadakan pada 13 dan 14 Julai 2023 di Zepp Kuala Lumpur.

Lebih istimewa majlis turut menyaksikan ‘Pecinta Rossa’ tidak ketinggalan menghadiahkan buah tangan berbentuk potret keluarganya kepada Rossa sambil kedengaran Rossa berkata penuh ceria. ‘wah, terima kasih, cantek bangat… ini wajah aku masih muda lagi…’ 



Rossa menerima hadiah potret keluarga daripada peminatnya. - Kredit foto: FAS.


Begitulah keceriaan yang sering ditampilkan oleh pelantun lagu ‘Ayat-Ayat Cinta’ ini yang sentiasa riang dan bergurau senda apabila di pentas. 

Tidak hairanlah peminatnya mencintainya waima Rossa tidak keberatan membenarkan dirinya diswafoto bersama ‘pecintanya’ seramai 20 orang pemenang peraduan anjuran The Curve & Kuiz Bersama Peminat dan ramai lagi.



Peminat celik turut bersama ayah dan ibunya meminati Rossa malah berjaya memenangi tiket ke konsert.


Di samping itu Rossa dilihat mempelajari beberapa bahasa Melayu yang belum pernah dituturkannya terutama perkataan ‘berbaloi’.

Apa itu berbaloi, tanya Rossa pada pengacara majlis dari Suria FM, Bob Ringgo, di mana kemudian apabila ada kesempatan Rossa menggunakan kembali ungkapan ‘berbaloi’ pada peminatnya yang memenangi ‘box set’ mahu pun CD terbaharunya. 

Memang gamat dibuat Rossa!


Rossa ditemu ramah oleh pengacara Bob Ringgo dari Suria FM.


Bercerita mengenai albumnya, Rossa yang lebih mesra dengan panggilan Teteh Ocha melahirkan rasa syukur dapat kembali menghasilkan album setelah enam tahun menyepi, lebih-lebih lagi selepas  aktiviti seni terhenti seketika gara-gara pandemik COVID-19.

Menganggap album ‘Another Journey: The Beginning’  begitu dekat di hatinya waima ia berkisar mengenai perjalanan yang dilaluinya sepanjang pandemik COVID-19, Rossa berkata, ‘Selama pandemik, banyak hal terjadi yang sekali gus mengubah perjalanan hidup manusia di seluruh dunia. Kita terpaksa berjauhan dengan insan yang kita sayangi dan berusaha bertahan.”

Sehubungan itu, tambahnya albumnya kali ini menterjemahkan perjalanan emosi dan naik turun kehidupannya sebagai manusia sepanjang tempoh yang menguji itu menerusi 10 lagu yang dimuatkan.

"Cerita hidup kita terus berjalan seiring dunia yang berubah. Perkara itu saya cuba kongsikan dalam album baharu ini. Kehadiran dan kepergian membenihkan pelbagai cerita dalam kehidupan saya,” ungkap penyanyi ‘Tegar’ ini.



Menerusi Another Journey: The Beginning, wanita kelahiran Sumedang, Jawa Barat itu bergandingan dengan nama besar dalam industri muzik Indonesia seperti Yovie Widianto, Enda Ungu, Melly Goeslaw dan Rian D'Masiv.

Lebih istimewa, buat kali pertama sepanjang 25 tahun berkarya, Rossa mengundang bakat muda berpotensi besar dalam industri muzik Indonesia untuk bekerjasama dalam pembikinan albumnya.

Mereka terdiri daripada Andmesh, Mahalini dan Barsena Bestandhi. 

Akui Rossa, dia sangat mengagumi kreativiti dan idea bakat baharu yang sedang mencipta fenomena tersendiri itu.

"Pembikinan album ini memberikan saya pengalaman baharu, membuatkan saya bersyukur kerana terus mendapat dukungan ramai teman pemuzik,” syukuri Rossa sambil meluahkan rasa tidak sabarnya menanti tarikh konsertnya pada Julai 2023.

“Alhamdullillah, jualan tiketnya habis  laris dijual dalam masa 24 jam, kerana itu juga sebagai penghargaan kepada peminat di sini saya sambung konsert untuk dua malam berturut-turut.’ ujar Rossa terharu dengan sambutan hangat peminatnya di Malaysia.



Konsert Rossa - Another Journey: The Beginning adalah siri persembahan ketiga dalam rangka Dream Festival Collaboration, selepas meraih sukses luar biasa menerusi konsert pertama menampilkan Nidji dan Budi Doremi, disusuli Wali Band bersama Floor 88 pada Dream Festival Collaboration Vol. 2.

Tidak bersendirian, konsert itu bakal menyaksikan Rossa bergandingan dengan penyanyi muda, Rizky Febian dan Betrand Putra Onsu pada 13 Julai 2023, manakala Mahalini Raharja serta bakat baharu dari Malaysia, Zareef Sein pada 14 Julai 2023

Mahalini antara komposer muda yang turut memberikan sentuhan emasnya pada lagu Lupakan Cinta dalam album Another Journey: The Beginning.  

"Kemunculan Mahalini, Rizky, Betrand dan Zareef membuktikan industri muzik tidak pernah ketandusan bakat baharu yang bakal membanggakan Malaysia dan Indonesia. Pastinya sesuatu yang istimewa bakal kami sajikan buat semua yang hadir nanti," ujar Rossa.



Sementara itu, Pengarah Projek Dream Collaboration, Rama Ananda Ambri atau Anda menaruh harapan Dream Festival Collaboration Vol. 3 bersama Rossa dapat menghiburkan seluruh pecinta muzik, sekali gus membekas memori buat penonton yang hadir.

Untuk rekod, menurut Rossa pada ketika album fizikal kurang mendapat perhatian pencinta muzik, beliau bersyukur album baharunya, ‘Another Journey, The Beginning’ mampu terjual sebanyak 300,000 unit dalam masa tiga bulan pelancarannya di Indonesia.

Bagaimana pula di Malaysia? 

Kita tunggu dan lihat nanti ya… yang pasti Rossa yang akan menjangkau usia 45 tahun pada 9 Oktober 2023 ini tetap membara di hati peminatnya seramai lebih 55,000 pengikut dalam laman rasmi komuniti ‘Pecinta Rossa’ mahupun seramai lebih 17 juta ‘followers’ dalam laman instagram miliknya, @itsrossa910. - KitaReporters


17
12
0
14
0
You will be interested