Seni & Sukan 10 Sep, 2025

Mental kena kuat! Pertahanan Speedy Tigers perlu garang! Harapan Malaysia ke Piala Dunia masih ada!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this

SKUAD hoki lelaki negara masih menyimpan impian untuk beraksi di pentas Piala Dunia Hoki 2026 biarpun gagal melayakkan diri secara automatik selepas menamatkan kempen Piala Asia Hoki 2025 di tangga ketiga di Rajgir, India. 


Kelekaan benteng pertahanan pada minit-minit akhir masih menghantui skuad negara. - Kredit foto: FB MHC


Harapan skuad bimbingan Sarjit Singh kini tertumpu kepada pusingan kelayakan Piala Dunia Hoki 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 28 Februari hingga 8 Mac 2026.

Sehubungan itu, skuad Speedy Tigers perlu menunjukkan prestasi lebih konsisten dan mantap untuk menempah tiket ke kejohanan berprestij itu di Belgium dan Belanda pada Ogos tahun depan (2026).

Kekalahan 3-4 kepada Korea Selatan dalam aksi ketiga Pusingan Super 4 pada Sabtu 6 September 2025 menjadi titik kegagalan Speedy Tigers mara ke pentas final, walaupun pernah mendahului 3-1.

Ia sekali lagi memperlihat isu hilang fokus pada saat akhir, satu masalah yang dilihat semakin berakar umbi dalam skuad kebangsaan.

Kealpaan ini bukan perkara baharu dan telah beberapa kali mengorbankan keputusan penting dalam kejohanan-kejohanan besar sebelum ini. 

Justeru, ketahanan mental dan fokus sepanjang 60 minit permainan perlu diberikan penekanan utama dalam fasa persediaan menuju kelayakan Piala Dunia.

Namun, kemenangan meyakinkan 4-1 ke atas China dalam penentuan tempat ketiga pada Ahad 7 September 2025 memberi sedikit kelegaan kepada barisan kejurulatihan, selain memastikan ranking dunia Malaysia kekal di kedudukan ke-12, satu posisi penting menjelang kempen kelayakan nanti.


Sarjit Singh (tengah) perlu mencari strategi ampuh untuk menuju saingan Kelayakan Piala Dunia Hoki tahun depan (2026). -  Kredit Foto: FB MHC 


Di sebalik keputusan itu, Sarjit tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya, khususnya dari segi peningkatan jumlah jaringan dan kawalan permainan dalam kebanyakan aksi sepanjang kempen Piala Asia Hoki.

"Bagi kejohanan ini kami berjaya menjaringkan 33 gol dan hanya melepaskan 11, dengan purata 4.7 gol setiap perlawanan. Ini satu petanda yang baik dari segi serangan," katanya. 

Pun begitu, Sarjit juga mengakui terdapat aspek penting yang perlu diperbaiki, terutama disiplin bertahan dan konsentrasi pemain ketika berada di hadapan, agar tidak mengulangi kesilapan seperti yang berlaku menentang Korea Selatan.

"Kami perlu lebih fokus sehingga tamat permainan. Ini bukan soal taktikal semata-mata, tapi soal disiplin dan mindset pemain. Bila mendahului, kita kena lebih tenang, bukan panik," tambah beliau.

Dari sudut teknikal, Malaysia dilihat memiliki kelebihan dalam penyudah dan variasi serangan, ditambah pula dengan kehadiran Akhimullah Anuar Esook yang muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan 12 gol -- pencapaian individu yang sangat membanggakan.

Namun, kekurangan yang paling ketara ialah konsistensi dalam sistem bertahan, terutama dalam mengekang serangan balas pantas dan menjaga kawasan D ketika ditekan pada minit-minit akhir.


Akhimullah Anuar Esook (tengah) muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan 12 gol. -  Kredit Foto: FB MHC 


Bagi kempen kelayakan Piala Dunia Hoki nanti, Malaysia perlu tampil dengan struktur pertahanan lebih padat dan unit pemain tengah yang lebih berdisiplin dalam menutup ruang pergerakan pasukan lawan.

Pada masa sama, aspek rotasi pemain dan pengurusan stamina juga perlu ditambah baik, kerana banyak gol yang dilepaskan berlaku ketika pemain dilihat sudah mula keletihan dan hilang tumpuan pada suku akhir permainan.

"Pemain kita ada kualiti. Tapi untuk layak ke Piala Dunia, kita perlukan konsistensi, kecergasan dan kekuatan mental. Itu yang akan membezakan kita dengan pasukan lain di kelayakan nanti," ujar Sarjit.

Format kelayakan menyaksikan 16 pasukan akan dibahagikan kepada dua kejohanan (lapan pasukan setiap satu), dengan tiga pasukan teratas daripada setiap kejohanan layak ke Piala Dunia, manakala pasukan tempat keempat yang memiliki ranking dunia tertinggi turut berpeluang mara.

Justeru, kedudukan ranking ke-12 dunia sangat penting buat Malaysia dan boleh menjadi penyelamat sekiranya Speedy Tigers sekadar menamatkan saingan di tempat keempat nanti.

"Kedudukan nombor 12 dalam ranking dunia sangat penting apabila bermain dalam kelayakan Piala Dunia.

"Pasukan tempat keempat yang memiliki ranking tertinggi akan layak. Jadi, ranking ini boleh menjadi kelebihan untuk kita jika keadaan menjadi sukar," ujar Sarjit.

Selain aspek teknikal dan taktikal, Sarjit juga menyentuh pentingnya kebersamaan dan semangat berpasukan, yang disifatkan semakin baik sejak beliau mengambil alih kembali skuad negara.


Skuad Speedy Tigers perlu mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan bertaraf antarabangsa menjelang Februari depan. - Kredit Foto: FB MHC 


Beliau juga menyarankan agar pemain-pemain diberi pendedahan lebih banyak perlawanan persahabatan bertaraf antarabangsa menjelang Februari 2026 nanti, bagi memastikan mereka benar-benar bersedia dari segi tempo, tekanan dan taktikal.

Meskipun laluan ke Piala Dunia Hoki semakin mencabar, Speedy Tigers masih punya harapan yang realistik. 

Namun, ia hanya akan menjadi kenyataan jika kelemahan lama dapat diatasi, fokus dapat dikekalkan sehingga minit terakhir dan setiap pemain tampil dengan mentaliti juara di pentas kelayakan kelak. - KitaReporters

Keterangan gambar

7
14
0
13
0
You will be interested