
Projek perintis program tersebut bermula pada Rabu, 3 Disember 2025 dengan penglibatan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Besi, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil (SJKT) Sungai Besi dan SJK Cina (SJKC) Kwong Hon.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, program berkenaan diperkenalkan di sekolah Cina dan Tamil bagi mencungkil bakat baharu dalam kalangan murid bukan Melayu.
"Hari ini (Rabu, 3 Disember 2025), seramai 147 murid dari tiga sekolah belajar sepak takraw kerana kita mahu komuniti Cina dan India juga ada peluang," katanya pada sidang media selepas menghadiri KLAS Sepak Takraw Perpaduan Kaum 2025 di Sungai Besi.
Turut hadir Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan yang menyifatkan program tersebut sejajar hasrat menjadikan sepak takraw sukan yang benar-benar mencerminkan perpaduan negara.
"Ini hasrat saya dan menteri, kita mahu sepak takraw ada pemain Cina, India dan Orang Asli supaya sukan ini benar-benar menggambarkan perpaduan negara.
"Satu hari nanti tekong mungkin orang India, 'killer' mungkin Melayu dan 'feeder' mungkin Cina… kita mahu komuniti dan peminat sukan ini membesar seperti badminton," kata Mohd Sumali.

"Penilaian ini penting supaya bila kita sediakan bajet KLAS nanti, ia bukan hanya mengambil kira elaun jurulatih, tetapi keseluruhan keperluan.
"Sekali masuk (KLAS) tak cukup. Kadang-kadang untuk kelas asas seperti ini, tak payah jurulatih yang bertauliah sangat pun. Ada kanak-kanak sekolah sukan dan ada pemain senior yang boleh bantu.
"Jadi ia perlu diteliti dan PSM akan bantu KBS untuk lihat bagaimana kita boleh kembangkan lagi sukan sepak takraw.
"Apa-apa sukan yang kanak-kanak boleh berlatih di rumah secara sendiri adalah sukan yang bagus.
"Kerana jika mereka ada latihan, bermaksud mereka ada minat untuk belajar dan masa yang diluangkan di rumah untuk berlatih sendiri akan mengurangkan masa di atas gajet. Itu adalah hasrat kita," katanya.

Justeru menurut Hannah, KBS akan berbincang secara terperinci dengan PSM untuk melihat beberapa perkara yang boleh dibantu terutama dari segi kos bagi memastikan perancangan yang disusun berjalan lancar.
"Tahun ini (2025) permulaan, bajet tak besar. Kita bagi RM32,000 dan mereka pergi ke lebih kurang lima sekolah. Tetapi kita akan tambah baik untuk tahun depan (2026).
"Kena ada susulan serta kerjasama sekolah dan ibu bapa. Saya juga nak syorkan kepada semua ibu bapa, apabila nak beli hadiah untuk anak, mungkin boleh mula beli peralatan sukan supaya mereka terus berlatih.
"Sepak takraw sukan murah, mudah dimainkan di mana-mana dan wajar diperluas kepada lebih ramai. Kita nak semua komuniti seperti Melayu, Cina, India, Orang Asli, Kadazan, Iban dan lain-lain dapat belajar sukan ini," katanya.
Malah beliau turut mencadangkan penyediaan guru penterjemah untuk murid seawal tujuh tahun bagi mengelakkan kekangan bahasa.
Tambahnya, pembinaan Akademi Sepak Takraw Negara yang dijangka siap tahun depan (2026) akan memperkemas ekosistem bakat negara.
"Bila akademi siap, ibu bapa dari semua kaum tahu di mana nak cari jurulatih dan dari situ, kita lahirkan pemain kebangsaan berbilang kaum," katanya. - KitaReporters
