Langkah Pak Nil menceburi dunia dandanan rambut bukan gimik atau sekadar konten media sosial, sebaliknya satu perjalanan baharu yang diambil dengan penuh sedar dan minat mendalam.Segalanya bermula apabila stesen radio Kool FM, yang kini menjadi platform baharunya, bertanyakan tentang kemahiran baharu yang ingin dipelajari sempena tahun 2026.Tanpa berfikir panjang, Pak Nil memilih bidang yang sebenarnya sudah lama terpendam dalam dirinya.“Kalau saya tak jadi penyampai radio, pengacara atau buat video, saya rasa akan jadi 'hairdresser',” kata Pak Nil bersahaja.

Minat itu diterjemahkan apabila beliau menyertai kelas dandanan rambut secara formal di bawah bimbingan Pengasas Bersama Hairkunst, Bambang Soteto -- satu nama yang cukup dihormati dalam industri kecantikan tempatan.
Menurut Bambang, Pak Nil bukan sekadar hadir sebagai selebriti, sebaliknya menunjukkan disiplin seorang pelajar sejati.“Dia sangat istiqamah. Datang belajar betul-betul, fokus dan konsisten,” kata Bambang.Lebih mengejutkan, Pak Nil terus diperkenal dengan teknik 'Butterfly Cut', potongan yang kebiasaannya hanya diajar kepada pelajar tahap mahir atau master.“'Butterfly cut' ini bukan potongan biasa. Selalunya saya ajar bila pelajar sudah betul-betul bersedia,” jelas Bambang.
Teknik 'reverse cut' yang menjadi asas potongan itu pula lazimnya mengambil masa bertahun-tahun untuk dikuasai.
“Orang lain mungkin ambil masa lima tahun ke atas. Tapi Pak Nil sudah boleh buat. Dia ada flair,” kata Bambang tanpa berselindung.

Pujian itu pada awalnya membuatkan Pak Nil berasa sedikit janggal dan hairan.
“Saya pelik juga. Saya ingat dia puji sebab segan atau takut, atau saja nak sedapkan hati saya,” kata Pak Nil sambil ketawa.Namun Bambang pantas meyakinkan bahawa pujian itu diberikan secara ikhlas berdasarkan pemerhatiannya sebagai seorang tenaga pengajar.Dorongan tersebut membuatkan Pak Nil semakin bersemangat, malah beliau membuat keputusan untuk mendaftar kelas penuh selama empat bulan bagi memperkukuh kemahirannya.“Bila dah mula, saya rasa sayang pula kalau berhenti separuh jalan. Jadi saya ambil kelas penuh,” ujar Pak Nil.Kesungguhan itu dizahirkan secara terbuka apabila Pak Nil tampil membuat demonstrasi potongan rambut sempena pelancaran Hairkunst Hijabis Luxe, sebuah salon Muslimah premium berkonsep eksklusif di Bandar Baru Bangi pada Sabtu, 17 Januari 2026.

Hasil kerja itu menerima pujian spontan daripada hadirin, termasuk komen bahawa pergerakan tangannya kelihatan 'soft' dan yakin.
“Teknik yang dia buat itu biasanya hanya dikuasai selepas bertahun-tahun. Tapi dia sudah boleh kawal gunting dengan baik,” kata Bambang lagi.
Ditanya sama ada beliau gementar mempamerkan kemahiran di hadapan orang ramai, Pak Nil kekal dengan gaya berselorohnya.
“Tentulah gementar… lagipun mereka bukan tahu pun,” katanya sambil bergurau.Daripada studio televisyen ke kerusi salon, Pak Nil membuktikan bahawa minat lama yang disulam disiplin mampu membuka bab baharu — dan siapa tahu, seperti katanya sendiri;
“Tak mustahil satu hari nanti saya pula yang ajar orang lain.” - KitaReporters
