Seni & Sukan 23 Jun, 2024

Syabas Rusleen Zikry, Nani Shahirah! Jagoan UPM 2023! Nak julang Malaysia pada Sukan Universiti ASEAN!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

RUSLEEN Zikry Putra Roseli (tengah) dinobatkan Olahragawan Anugerah Sukan UPM 2023 yang disampaikan Dr Ahmad Farhan Mohd. Sadullah di UPM, Serdang. - Kredit foto: UPM


KALAU sekadar jaguh kampung, apalah ertinya Jalur Gemilang pada dada kiri jersi yang disarung seseorang atlet negara apabila beraksi di gelanggang antarabangsa!

Rusleen Zikry Putra Roseli dan Nani Shahirah Maryata pasti lebih arif malah bertekad tidak akan mensia-siakan peluang dan harapan itu apabila ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Surabaya dan Malang, Indonesia dari 26 Jun hingga 6 Julai 2024 ini.

Masing-masing sudah terbukti dan diiktiraf yang terbaik di arena tempatan apabila bergelar Olahragawan dan Olahragawati Anugerah Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-38, 2023 dalam majlis penyampaiannya pada 21 Jun 2024.

Rusleen dan Nani turut membawa pulang piala pusingan dan iringan, jam tangan, sijil dan jaket khas selain wang tunai RM3,000 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, Serdang, Selangor. 


NANI Shahirah Maryata (kanan) tersenyum lebar dengan kejayaan bergelar Olahragawati Anugerah Sukan UPM 2023. - Kredit foto: UPM


Rusleen bersandarkan pingat emas 4x400 meter dan pingat perak 400m berpagar Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura di Hab Sukan Singapura pada 28 April 2023 lalu selain menggondol pingat gangsa 4x400m Sukan SEA Kemboja di Stadium Kebangsaan Morodok Techo, Phnom Penh tanggal 12 Mei 2023 lalu.

Dia menewaskan lima pencabar bagi anugerah berkenaan, Wan Azley Wan Omar (ragbi), Hafizie Sudin (ragbi), Adam Ariff Alias (ragbi), Kamal Farhan Rahman (olahraga) dan Haritz Iklil Hessly Hafiz (menembak).

Nani pula dipilih panel penilai Anugerah Sukan UPM yang dipengerusikan Prof. M. Iqbal Saripan kerana mengalungi Malaysia pingat gangsa Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh dengan catatan 14.44m pada 11 Mei 2023.

Lima lagi calon yang menyainginya bagi Olahragawati UPM ialah Mandy Goh Li, Azreen Nabila Alias, Nurul Ashikin Abas (olahraga), Nor Asfarina Isahyigiqa Isahhidun (hoki) dan Siti Nur Azwani Nor Azli (karate).

“Ini rezeki buat saya sekali gus batu loncatan untuk saya melangkah lebih jauh terutama pada AUG,” kata Rusleen, 24.

Ulas Nani, 23, yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 14.99m pada Terbuka Pahang di Kuantan tanggal 15 Jun 2024 lalu: “Dengan ‘tonik’ daripada pencapaian anugerah ini, saya kini meletakkan sasaran melontar sejauh 15.22m pada AUG.”


PEMANAH, Nur Ain Ayuni Fozi (kanan) dipilih sebagai Bintang Harapan Wanita Anugerah Sukan UPM 2023. - Kredit foto: UPM 


RUSLEEN Zikry Putra Roseli (kiri) menjulang piala Olahragawan Anugerah Sukan UPM 2023 manakala Adeen Imann Putra Mat Baharuddin (tiga dari kanan) menayangkan trofi dan replika cek kemenangan Bintang Harapan Lelaki 2023. - Kredit foto: UPM


Adeen Imann Putra Mat Baharuddin dan Nur Ain Ayuni Fozi daripada sukan ragbi dan memanah pula dinobatkan sebagai Bintang Harapan Lelaki dan Wanita Sukan UPM 2023.

Sebanyak 119 atlet penuntut UPM juga menerima Anugerah Emas, manakala 27 orang bagi Anugerah Perak sementara Khairul Zaini Zainan dan Adib Adnan daripada olahraga dan silat, muncul Jurulatih dan Pengurus Terbaik UPM 2023.  

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd. Sadullah. - KitaReporters


OLAHRAGAWAN UPM:

1996: Sheikh Nazarudin Sheikh Talib (ragbi)

1997: Roestam Affendi Sijar (ragbi) 

1999: Teoh Bong Lim (olahraga)

2000: Tan Kok Lim (olahraga)

2001: Teh Weng Chang (olahraga)

2002: Suresh Moorty (olahraga)

2003: Mohd. Azman Nasarudin (sepak takraw)

2004: Mohd. Robani Hassan (olahraga)

2005: Nazmizan Mohammad (olahraga)

2006: Mohd. Azlan Abdul Mubin (sepak takraw)

2007: Mohd. Shukri Abdul Mutalib (hoki)

2008: Mohd. Robani Hassan (olahraga)

2009: Mohd. Zafril Mohd. Zuslaini (olahraga)

2010: Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil (hoki)

2011: Mohamad Kaharuddin Ashah (memanah)

2012: Mohd. Razie Abd. Rahim (hoki)

2013: -Tidak dianjurkan-

2014: Ivan Yuen Chee Wern (skuasy)

2015: Muhammad Hakimi Ismail (olahraga)

2016: Johnathan Wong Guangjie (menembak)

2017: Johnathan Wong Guanjie (menembak)

2018: Syed Mohd Syafiq Syed Cholan (hoki)

2019/2020: Muhamad Lutfi Othman (menembak)

2021: Tidak dianjurkan

2022: Muhammad Zarif Syahir Zolkepeli (memanah) 

2023: Rusleen Zikry Putra Roseli (olahraga)


OLAHRAGAWATI UPM:

1996: Lim Poh Hong (bola tampar) 

1997: Woon Siew Gian (olahraga) 

1999: Bibiana Ng Pei Chin (menembak) 

2000: Noraseela Mohd. Khalid (olahraga) 

2001: Moh Siew Wei (olahraga) 

2002: Beh Lee Fong (pingpong) 

2003: Noraseela Mohd Khalid (olahraga) 

2004: Chitra Devi Arumugam (hoki) 

2005: Noorsaliza Ahmad Soobni (hoki)

2006: Beh Shun Ting (bola tampar) 

2007: Beh Shun Ting (bola tampar) 

2008: Roslinda Samsu (olahraga) 

2009: Roslinda Samsu (olahraga) 

2010: Nor Jannah Hafiszah Jamaluddin (olahraga) 

2011: Siti Munirah Jusoh (skuasy) 

2012: Chu Lai Kwan (renang) 

2013: -Tidak dianjurkan- 

2014: Zulhijjah Azan (skuasy) 

2015: Saritha Cham Nong (memanah) 

2016: Saritha Cham Nong (memanah) 

2017: Norliyana Kamaruddin (olahraga) 

2018: Zaidatul Husniah Zulkifli (olahraga)

2019/2020: Hanis Nadia Onn (hoki)

2021: Tidak dianjurkan

2022: P. Madhuri (karate)

2023: Nani Shahirah Maryata (olahraga)


DR AHMAD Farhan Mohd. Sadullah menyampaikan ucapan berdekatan trofi-trofi Olahragawan dan Olahragawati Anugerah Sukan UPM Ke-38, 2023 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM. - Kredit foto: UPM

12
21
0
15
0
You will be interested