Seni & Sukan 19 Oct, 2023

Dicap kaki penipu, scammer! Kawan jauhkan diri! Boy Iman reda kerana keluarga tahu dan memahami!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


"Andai aku tak punya hati dan perasaan, takkan kuhiraukan kata-kata nista dan cercaan itu. Andai aku tunggul kayu yang sedang mereput ditelan waktu, takkan aku kesunyian tatkala kawan mula menjauh.

"Malangnya aku hanya manusia biasa yang emosi seperti pasang surutnya laut. Ada kala aku kuat, ada kala aku tergores. Luka boleh sembuh tapi parut kekal selamanya. Dalam sunyi yang dilalui, syukur ada isteri yang meneman. Ada keluarga yang memahami. Biarlah seisi benua menuding jari, asalkan bukan mereka!"

Begitulah kisah hidup artis bernama Norul Iman Abdul Rahman, 43 atau lebih dikenali sebagai Boy Iman. Sudah takdir namanya lebih dikenali dengan pelbagai kontroversi. Namun dia menerimanya dengan reda. Bohonglah kalau dia tidak pernah tertekan dan terasa hati.

Melalui coretan terbaharunya dalam Facebook, dia meluah dan menceritakan perasaannya selama ini. Pernah dituduh sebagai penipu atau scammer gara-gara kes jual beli rumah. Manakala terbaharu iaitu pada tahun 2023 pula dia terpalit dengan kes penipuan festival beli belah Hoory X Fest Raya.

KitaReporters berkesempatan menemu ramahnya menerusi aplikasi WhatsApp bertanya hal tersebut serta perkembangan terbaharunya. 



Menurut artis yang baharu mendirikan rumah tangga pada tahun 2022 lalu setelah sekian lama menduda, sebagai manusia dia tetap terkesan dengan apa yang menimpa.

Namun, dia bersyukur kerana isteri dan keluarga sentiasa percaya dan menyokongnya. Malah, kontroversi dan kata-kata hinaan yang dilemparkan kepadanya, tidak mematahkan semangat untuk terus berjuang dalam bidang perniagaan.

"Jiwa yang bersedih! Orang mungkin nampak aku kuat, aku happy, aku masyuk. Macam-macam aku dah hadap dalam hidup ini kalau cerita tentang negatif. Dituduh, dikecam, dihina, dibuka aib sebagai "scammer", penipu, penjenayah, penjahat, kaki kencing dan macam-macamlah. Tidur macam-macam lokap pun aku pernah. Beraya dalam lokap pun aku dah rasa. Semua pasal bisnes atau kerja.

"Kawan menjauh, orang tak nak bagi projek, orang bisik-bisik mengata aku, komen bukan-bukan dekat media sosial, tiada orang panggil berlakon, tiada duit nak makan, nak bayar bil bagai, macam-macam lagilah aku dah rasa "kesan" dia. Sedangkan hanya aku dan Allah serta beberapa orang sahaja yang tahu betul atau tak. Famili aku pun sentiasa tahu aku betul atau tak termasuklah my cinta sejati (isteri)," tulisnya.

Jelas Boy Iman lagi, apa yang berlaku bukan atas kehendaknya. Dia tidak pernah mahu menjadi seperti apa yang didakwa. Dia hanya mahu menjadi ahli perniagaan yang berjaya dan menyangkal segala tuduhan tidak benar ke atas dirinya.


Minatnya dalam perniagaan tidak pernah luntur.


"Aku rasa dalam diri aku pun tiada cita-cita nak jadi penipu atau aku perlu menipu untuk hidup sebab "jalan betul" pun aku dah berduit dan aku pun sampai sekarang "berlawan" untuk buktikan pada diri aku dan semua aku bukan seperti yang dilabelkan. 

"Malah sampai sekarang aku masih "setia" dalam perjuangan aku sebagai usahawan sejati. Ini terbukti selepas aku terpalit dengan "skandal" tahun 2017, nama aku, rekod aku "bersih" sehinggalah tahun 2023 setelah enam tahun baru aku terpalit lagi sekali dengan "skandal", itu pun masih dalam proses perbicaraan mahkamah, belum diputuskan aku bersalah.

"Mentanglah aku "artis" senang sangat aku dicap, dilabel sebegitu rupa. Tak kisahlah pihak media, pihak berkuasa, pihak orang yang menfitnah aku, pihak netizen sehingga yang betul jadi salah, yang baik jadi jahat, yang bathil jadi hak. Aku jugak yang kena.

"Ada kala aku sangat down, aku sangat lemah, aku sangat stres tapi tidaklah sampai nak bunuh diri, nak jadi gila atau nak bunuh orang. Aku masih ada iman, ada otak, ada akal dan bila negatif ada jugak yang positif seperti orang lebih kenal aku, orang lebih ingat aku, orang lagi senang bagi projek dekat aku. 

"Paling penting Allah cuci dosa aku di dunia harapnya, menambahkan pahala aku untuk bekalan di akhirat apabila orang asyik fitnah, kutuk, kecam, dan mengata aku. Aku juga mengharapkan Allah ganti semuanya di dunia dan di akhirat untuk setiap "ujian" yang Dia bagi," luahnya. 


Boy Iman baharu sahaja menubuhkan sebuah syarikat penerbitan.


Di samping itu juga, Boy Iman berkongsi perkembangan terbaharunya dalam dunia perniagaan yang diceburi kini. Menurutnya, dia baharu sahaja menubuhkan sebuah syarikat penerbitan.

Malah, dia juga turut terlibat dalam filem yang bakal ditayangkan berjudul Kak Yong iaitu sambungan filem Bini-Biniku Gangster.

"Perkembangan terbaharu dalam industri hiburan adalah saya baru tubuhkan syarikat Boy Iman Production bertujuan untuk terbitkan produk video, muzik, teater dan event selain daripada meneruskan kerjaya seni sebagai pelakon, penerbit dan penyanyi.

"Saya juga baru sahaja dapat lesen sebagai pengarah drama dan filem. Antara karya baharu saya sebagai pengarah adalah MTV Hoorey Hoorey Raya dan sebagai pelakon adalah drama episod untuk TV3, Gadis & Angan-Angan. Saya juga masih menanti filem lakonan terbaru saya keluar di pawagam, Kak Yong sambungan filem Bini-Biniku Gangster," katanya.

Selain itu, Boy Iman juga menjalankan perniagaan minyak wangi serta kedai makan.

“Saya juga menjalankan perniagaan minyak wangi, kedai makan dan minyak hitam kereta serta motor. Selain berniaga, saya turut terlibat dengan aktiviti kebajikan di bawah NGO, Pertubuhan Pencegahan Jenayah Kebangsaan, Kelab Usahawan Selebriti dan Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Iman.

“Ikutkan hati, pernah rasa nak bekerja makan gaji sahaja atau meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan. Malangnya tiada orang nak ambil bekerja atau saya memilih dan kurang job berlakon. Jadi, saya terpaksa berniaga untuk meneruskan kelangsungan hidup dan bagi memenuhi tuntutan minat dalam perniagaan,” ujarnya mengakhiri perbualan. - KitaReporters


Boy Iman kini berniaga minyak wangi.

15
9
0
18
0
You will be interested