Perceraian dalam kalangan selebriti adalah sesuatu yang menarik perhatian ramai.
Daripada sejumlah perceraian dalam kalangan selebriti tanah air, perceraian pelakon Diana Danielle Beeson, 32, dan Farid Kamil Zahri, 42, adalah antara yang mendapat perhatian.
Kedua-duanya selama ini dilihat sebagai pasangan bahagia dan kurang dilanda oleh gosip.
Namun mengejutkan apabila mereka bercerai talak satu menerusi sidang video di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, pada 10 Ogos 2023 setelah sembilan tahun berumah tangga. Mereka bernikah pada 3 November 2013.
Farid kemudian memaklumkan tidak merancang untuk rujuk dan menerima apa yang berlaku dengan hati terbuka.
Begitu juga Diana menyatakan dia tidak akan kembali bersatu dengan Farid dan sudah ‘move on’ dan bakal serius dalam bidang nyanyian.
Namun tidak lama kemudian Farid terus memujuk Diana untuk kembali bersatu dalam tempoh edah masih berjalan.
Dan baru-baru ini Farid dan Diana mengemparkan masyarakat apabila memuatkan video dalam Instagram masing-masing yang memperlihat mereka kembali mesra.
Pada hujung minggu ketiga Ogos 2023, pasangan ini dilihat muncul di tempat awam di sekitar Mont Kiara, Kuala Lumpur dan kelihatan cukup mesra.
Sejumlah gambar dan video yang turut dirakam beberapa individu dan cepat merebak. Kelihatan Diana mesra memegang tangan Farid di tepi jalan.
Dan beberapa hari kemudian, Farid terlihat menghantar Diana untuk ditemu bual dalam Podcast 'Borak Sini Habis Sini' dalam YouTube, Kedua-duanya kelihatan mesra seperti pasangan ‘pengantin baru’.
Kedua-duanya menyatakan akan kembali bersatu kerana mahu beri yang terbaik untuk cahaya mata mereka iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 8.
Dan tambah kedua-duanya, mereka akan ke mahkamah syariah dalam masa terdekat untuk kembali rujuk.
Ekoran perkembangan terbaharu ini, ada sesetengah netizen yang bertanya: "Adakah perlakuan Farid dan Diana adalah kenyataan atau lakonan semata-mata?" Namun mereka tetap mendoakan yang terbaik.
Kata mereka, kembali bersatu demi anak-anak adalah perkara lumrah untuk pasangan rujuk semula. Jika berlaku perceraian, anak-anak juga cukup terkesan.
Jadi jika ia benar, ia merupakan satu perkembangan menarik. Dan ia perlu diikut sejumlah selebriti lain yang menghadapi masalah rumah tangga, kata mereka lagi.
Kehidupan berumah tangga memang tidak sunyi daripada dugaan. Semoga dengan kembali rujuk mampu membetulkan kesilapan diri masing-masing dan menjadi pasangan bahagia sehingga ke jannah.