Seni & Sukan 26 Oct, 2024

Saran 10, dapat 11 pingat emas! 10 acara sepak takraw plus 1 chinlone! Untuk Sukan SEA Thailand 2025!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

 


MALAYSIA (kiri) hampir mengejutkan Thailand dalam liga sepusingan regu berpasukan sepak takraw Sukan SEA Kemboja 2023 sebelum dihampakan 2-1 oleh musuh tradisi, Thailand di Dewan Bola Keranjang Kompleks Olimpik, Phnom Penh. - Kredit foto: TAT


SEPULUH acara dan 10 pingat emas sepak takraw telah disarankan oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) pada Sukan SEA Thailand 2025, sebaliknya 11 pula yang diluluskan.

Kelulusan yang menggembirakan Astaf itu diberikan oleh Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada mesyuarat Majlisnya di ibu pejabat Jawatankuasa Olimpik Thailand (OCT) di Bangkok pada 25 Oktober 2024.

SEAGF hanya menolak acara regu campuran tetapi bersetuju dengan saranan Astaf yang diketuai Presidennya, Datuk Abdul Halim Kader untuk memasukkan chinlone perkaitan (linking) ke dalam temasya ke-33 itu.   

Selain acara sukan rakyat Myanmar itu, yang diluluskan bagi Sukan SEA Thailand dari 7 hingga 19 Disember 2025 dalam kategori lelaki dan wanita ialah regu berpasukan, antara regu, kuadran (berempat) dan gelung di samping kuadran campuran.   


ABDUL Halim Kader (dua dari kanan) bersalaman dengan Setiausaha OCT, Vitch Devahasdin pada mesyuarat Majlis SEAGF di Bangkok pada 25 Oktober 2024. - Kredit foto: Astaf


“Ini satu pencapaian dan berita yang menggembirakan kepada Astaf dan pastinya 11 negara peserta Sukan SEA termasuk Timor-Leste yang berjinak-jinak dengan sepak takraw sejak Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand di Korat pada September 2024.

“Hanya satu acara chinlone iaitu perkaitan yang dikekalkan daripada Sukan SEA Kemboja 2023 atas dasar setiakawan dan muafakat serta tolak ansur malah dengan mengambil kira pengalaman penyertaannya oleh kebanyakan negara sejak Sukan SEA Myanmar 2013.

“Astaf juga mahu lebih banyak negara rantau Asia Tenggara ini menikmati pingat emas, perak dan gangsa, sekali gus menjamin kemajuan dan kemampanan sukan sepak takraw,” katanya yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) yang menghadiri mesyuarat berkenaan.

Walau bagaimanapun angka pingat emas dan acara kali ini jauh berkurangan berbanding di Phnom Penh 2023 yang menghimpunkan enam acara lelaki dan empat acara wanita (sepak takraw) serta sehingga 11 acara chinlone termasuk tiga kategori campuran.

Malaysia membawa pulang empat pingat perak (regu berpasukan, antara regu, beregu dan chinlone gaya sama) dan empat pingat gangsa (beregu berpasukan dan kuadran wanita, perkaitan dan tanpa ulangan utama chinlone) dari Phnom Penh.


SKUAD negara yang turut merangkul pingat gangsa acara perkaitan chinlone Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh. - Kredit foto: MRN


Adakah dasar larangan monopoli iaitu setiap negara peserta kecuali tuan rumah hanya boleh menyertai acara-acara tertentu dikuatkuasakan lagi?

“Berhubung kelayakan penyertaan setiap negara pula, setiap negara hanya boleh bermain tiga acara dan butiran lanjutnya akan disarankan semula kepada tuan rumah Thailand dalam masa terdekat dan selepas perbincangan dengan beberapa negara termasuk Malaysia,” kata Halim, 73.

Dasar ini bertujuan mengagih-agihkan pingat emas kepada lebih banyak negara peserta dijalankan oleh Astaf sejak Sukan SEA Laos 2009, malah merangkumi Sukan Asia Guangzhou 2010.

Namun terdapat kemungkinan besar, acara sepak takraw tertua sejak Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965 – regu berpasukan bakal diwajibkan kepada semua negara peserta di Thailand 2025 kerana Phnom Penh 2023 hanya menyaksikan Kemboja, Malaysia dan Thailand yang menyertainya.


SKUAD wanita Malaysia turut menyumbangkan dua pingat gangsa sepak takraw dalam acara beregu berpasukan dan kuadran dari Phnom Penh 2023. - Kredit foto: MRN


ABDUL Halim Kader (dua dari kanan) bersalaman dengan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selepas mesyuarat Majlis SEAGF di Bangkok. Tengah ialah Presiden Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT), Thana Chaiprasit dan kanan, Pemangku Presiden Istaf, Boonchai Lorhpipat. - Kredit foto: Astaf

5
3
0
7
0
You will be interested