Seni & Sukan 09 Sep, 2024

Tekong power! Thailand kekal bertakhta! Malaysia kempunan King's Cup! Kecundang kali kedua tahun 2024!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this


SHAHALRIL Aiman Halim menjalankan tugas selaku apit kanan dan perejam gulung dengan baik dan membantu servis pemati Zarif Marican Ibrahim Marican namun tewas dengan kelebihan pengalaman Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan. 


PENANTIAN Malaysia kian berlarutan sejak 1988 untuk merampas semula Piala Raja Thailand atau popular digelar King’s Cup dalam Kejohanan Sepak Takraw Dunia Ke-37 di Korat dengan kecundangnya 0-2.

Turut terus terpadam ialah hasrat pelawat untuk menebus kekalahan 1-2 final regu berpasukan Piala Dunia Istaf di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 26 Mei 2024 lantas terpaksa berpuas hati selaku naib juara.  

Hanya regu pertama negara sempat memutikkan harapan tetapi tuan rumah jelas terlalu handal dengan dua lagi tekongnya pada perlawanan akhir acara regu berpasukan Divisyen Perdana itu.


AZLAN Alias (kiri), Haziq Hairul Nizam dan Farhan Adam menanti servis Kritsanapong Nontakote yang jelas menguasai set kedua dan penentuan perlawanan regu berpasukan pertama final King's Cup di Korat. 


Haziq Hairul Nizam (tekong), Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) tunduk tetapi masih dengan bemaruah dan menggugat, 15-4, 3-15, 11-15 kepada regu utama lawan - Sittipong Khamchan (Kritsanapong Nontakote), Varayut Jantarasena dan Supasin Boonrueng.

Namun Si Gajah Putih cemas pada set pertama lagi dengan ketinggalan 4-12 gara-gara servis Sittipong yang kerap terkandas dan terkeluar gelanggang lalu menghadiahi Malaysia mata demi mata sehingga terpaksa digantikan oleh Kritsanapong.

Tekong gantian yang juga anggota polis berusia 32 tahun ini dengan peranan ‘Joker’ (Pengacau) itu, menukar langsung rentak permainan dan menjarakkan mata Thailand menerusi aneka servisnya yang begitu sukar ditangkis oleh gandingan Malaysia.


VARAYUT Jantarasena menarik nafas lega dengan kehadiran Kritsanapong Nontakote sebagai pengganti Sittipong Khamchan yang tumpul. 


Zarif Marican Ibrahim Marican, Shahalril Aiman Halim dan Aidil Aiman Azwawi yang diharap mengubah nasib skuad negara, turut dibenam oleh Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan 13-15, 9-15 dalam perlawanan regu kedua.

Kemenangan 2-0 buat tim kendalian Supot Tumpracha ini sekali gus menjadikan regu ketiganya, Pornthep Tinbangbon, Jirasak Pakbuangoen dan Marukin Phanmakon hanya seperti ‘pemakan gaji buta’ kerana tidak perlu bermain lagi selain Sankhai Daoreang dan bekas perunding beregu Malaysia, Seksan Tubtong.

Juga kempunan untuk menikmati aksi final ini ialah regu ketiga Malaysia, Zuhri Zain, Fetri Aswadi dan Norfaizzul Razak selain barisan simpanan yang terdiri daripada Syahmi Husin, Noraizat Nordin dan Zaim Razali.


ZARIF Marican Ibrahim Marican (2) diapit oleh Shahalril Aiman Halim (22) dan Aidil Aiman Azwawi dalam perlawanan akhir regu berpaskan kedua King's Cup. 


Seperti kesudahan 2023 juga di sebuah pusat beli-belah di Korat ini dengan Thailand menang 2-0 (21-18, 21-9), (21-14, 21-14), King’s Cup kekal tersimpan di bumi Si Gajah Putih sejak 1989.

Hanya inilah pertandingan antarabangsa yang tinggal buat dua musuh tradisi sepanjang 2024 yang turut berhak digelar ‘El Classico Sepak Takraw’.

Sukan Dewan dan Seni Tempur Asia (AIMAG) Keenam yang dijadualkan dari 21 hingga 30 November 2024 di Bangkok dan Chonburi yang mulanya menawarkan sembilan pingat emas sepak takraw, telah dibatalkan Majlis Olimpik Asia (OCA) pada 15 Ogos 2024 lalu kerana tidak meyakini kemampuan belanjawan tuan rumah. - KitaReporters


SIRIWAT Sakha (kiri) mengutip tidak kurang 10 mata mudah Thailand menerusi servis pematinya sambil dibantu oleh rejaman berkesan Thawisak Thongsai (tengah) dan kawalan kemas Rachan Viphan.  


SENARAI PEMENANG KEJOHANAN SEPAK TAKRAW DUNIA PIALA RAJA THAILAND KE-37, 2024:

DIVISYEN PERDANA

Lelaki – regu berpasukan: Thailand, antara regu: Malaysia, kuadran: Thailand, gelung: Thailand

Wanita – regu berpasukan: Thailand, kuadran: Thailand, gelung: Thailand

Campuran – antara regu: Myanmar, kuadran: Thailand

DIVISYEN SATU

Lelaki – antara regu: Taiwan, kuadran: Iran, gelung: Iran

Wanita – antara regu: Taiwan, kuadran: Taiwan, gelung: Iran

Campuran - antara regu: Nepal, kuadran: Taiwan

DIVISYEN DUA 

Lelaki sahaja - antara regu: Itali, kuadran: Iraq


SUPOT Tumpracha, ketua jurulatih dan pengurus pasukan Thailand tersenyum menggalas Piala Raja Thailand yang diterima daripada wakil Raja Thailand sambil disusuli Prawet Intra, bekas perunding Malaysia dari 2011 hingga 2014. 


AZLAN Alias (kiri) memerhatikan wakil Raja Thailand mengalungi Aidil Aiman Azwawi pingat perak selaku naib juara regu berpasukan King's Cup Ke-34, 2027 di Korat. 

9
11
0
12
0
You will be interested