Seni & Sukan 04 Sep, 2024

Harimau Malaya BerTiki-Taka? Teka-teki terjawab berdepan Filipina! Pestabola Merdeka Ke-43 bermula!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

BARISAN pemain Harimau Malaya terus gigih menjalani latihan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Selangor menjelang separuh akhir Pestabola Merdeka Ke-43 menentang Filipina yang di ranking ke-147 dunia. - Kredit foto: FAM 


HENDAK melihat Harimau Malaya ‘BerTiki-Taka’ seperti Barcelona dan El Roja Sepanyol?

Bermain corak menyerang, menguasai bola dan membina permainan dari belakang termasuk penjaga gol serta menampilkan perantara yang mampu bertindak sebagai ‘penyerang palsu No. 9’?

Nanti dulu! Pau Marti Vicente menegaskan, “saya mahu mereka menikmati permainan dan memiliki corak menyerang yang baik.

“Namun perlu fahami pemain kita, apa lawan yang dihadapi, setiap perlawanan itu berbeza,” kata warga Sepanyol ini menjelang separuh akhir Pestabola Merdeka Ke-43 menentang Filipina.


PAU Marti Vicente (kiri) dan perantara Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba dalam sidang media praperlawanan separuh akhir menentang Filipina di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Kredit foto: FAM


Pau, 41, ditanya sama ada penampilan Harimau Malaya di di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 September 2024 bakal berubah dalam tugasan sulungnya itu sebagai ketua jurulatih negara ekoran peletakan jawatan Kim Pan-gon pada 16 Julai 2024. 

“Paling penting bagi saya bukan bagaimana kami bermain tetapi betapa pentingnya kerja keras mereka bersama kerana bola sepak kadangkala mengikut cara anda, kadangkala tidak,” kata bekas penolong jurulatih FC Barcelona B dari 2018 hingga 2021 ini.

Dia juga kini dibantu oleh Juan Torres Garrido, rakan senegara yang juga ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Malaysia serta mantan Ketua Pencari Bakat FC Barcelona bagi kawasan Catalunya dari 2016 hingga 2020, di samping fisioterapis kelab gergasi La Liga Sepanyol itu, Edu Martinez.

“Minat dan kerajinan para pemain juga mesti sentiasa ada serta tunjukkan perwatakan,” kata Pau, dipetik daripada video sidang media praperlawanan di stadium itu pada 3 September 2024.  


KETUA Jurulatih Filipina, Norman Fegidero Jr. (kiri) dan pemainnya, Jarvey Gayoso dalam sidang media praperlawanan. - Kredit foto: FAM


Mengenai keadaan pasukan negara sejak pemergian Pan-gon untuk kembali ke tanah airnya, Korea Selatan dan melatih Ulsan Hyundai FC, katanya, “yang lepas berlaku itu memberikan kami pengalaman dan mematangkan kami tetapi tidak akan menjejaskan kami.

“Kami akan terus maju. Lima hari saya bersama pasukan (sejak 29 Ogos 2024 bagi persiapan Pestabola). Saya menyedari situasi sekarang tidak cocok dengan pasukan tetapi kami hanya boleh mengawal apa yang di dalam padang sahaja,” katanya.   

Pau merujuk kepada ancaman memboikot Pestabola Merdeka oleh kumpulan penyokong Ultras Malaya yang masih setia dengan Pan-gon dan tetap menyalahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai punca peletakan jawatan kerusi panas itu. 

Mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Harimau Malaya akan mendapat peruntukan RM15 juta bagi menambah baik prestasi mereka, katanya, “motivasi bagus untuk pemain apabila melihat pemimpin Malaysia menyokong pasukan kebangsaan.

“Pemain-pemain perlu yakini diri untuk naik lebih baik dari ranking dunia kita sekarang, ke-134. Kami akan melangkah satu persatu dan naik perlahan-lahan,” katanya.



Juara bertahan, Tajikistan akan membuka tirai Pestabola dengan menentang Lebanon pukul 4.30 petang 4 September 2024 di stadium itu dengan pemenangnya akan bertemu Malaysia atau Filipina (9 malam) pada perlawanan akhir 8 September 2024.

Format play-off berkembar ini turut menetapkan sepakan penalti sebagai penentu pemenang sekiranya perlawanan 90 minit masih berkesudahan seri dan tiada masa tambahan diberikan namun hanya keputusan tempoh sebenarnya yang akan dikira sebagai kutipan mata ranking dunia. - KitaReporters


KESEBELASAN KEMUNGKINAN MALAYSIA: 

Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Azam Azmi Murad, Dion Cools, Dominic Tan, La'Vere Corbin-Ong, Syamer Kutty Abba, Endrick Dos Santos, Paulo Josue, Arif Aiman Hanapi, Darren Lok, Akhyar Rashid.


KETUA jurulatih Tajikistan, Gela Shekiladze (kiri) dan pemainnya, Parviz Umarboev dalam sidang media praseparuh akhir Pestabola. 'Si Mahkota' di ranking ke-103 dunia manakala Lebanon, ke-116. - Kredit foto: FAM

13
8
0
6
0
You will be interested