Seni & Sukan 24 Aug, 2024

Tak berkarat pun berehat 3 bulan! Aaliyah Yoong di kelas tersendiri! Sapu bersih 4 gelaran kejohanan!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

 


REHAT tiga bulan daripada sebarang pertandingan, langsung tidak menonjolkan sebarang ‘kekaratan’ prestasi Aaliyah Yoong Hanifah pada Kejohanan Luncur dan Lonjak Malaysia 2024 di Kompleks Sukan Air Putrajaya.

Penguasaan peluncur air wanita berusia 21 tahun ini terserlah dengan menyapu bersih keempat-empat acara - slalom, tricks, jump dan keseluruhan dalam kejohanan tiga hari dari 16 hingga 18 Ogos 2024.

Kejohanan Luncur dan Lonjak Malaysia 2024 anjuran Persekutuan Luncur Air dan Papan Lonjak Malaysia (MWWF) merupakan aksi sulungnya sejak berehat tiga bulan bagi memberi tumpuan kepada pengajian ijazah jurusan psikologi di Kolej Florida Selatan, Amerika Syarikat.   

Aaliyah juga merupakan pemenang tempat ketiga tricks Sukan Dunia 2022 di Alabama, Amerika Syarikat dan jump Kejohanan Bawah 21 Tahun Dunia 2023 di Chapala, Mexico.


AALIYAH Yoong Hanifah mempamerkan kejaguhan bertaraf dunia untuk menjuarai acara tricks Kejohanan Luncur dan Lonjak Malaysia 2024 di Kompleks Sukan Air Putrajaya. - Kredit foto: MWWF


Bagi slalom, dia mencatat 2.5/55/12 untuk mengatasi gandingan peluncur Indonesia, Safira Ratriandari Widodo (1/55/16) dan Nur Alimah Priambodo (2.5/52).

Bagi tricks, dia mengumpul 7,610 mata, sekali lagi dengan menumpaskan Alimah (2,510) dan rakan senegaranya, Galuh Mutiara Maulidina (1,720) di samping mencatat 39.9 meter bagi jump.

Kesemua pencapaian ini termasuk secara keseluruhan, 3,000 mata, walau bagaimanapun bukanlah catatan peribadi terbaiknya (PB) namun masih mantap untuk meletakkannya dalam mod berdaya saing.

Alimah dan Safira masing-masing sekadar mengumpul 951.04 dan 681.24 mata.

“Saya gembira dengan keputusan slalom dan tricks yang hampir dengan PB tetapi bagi jump, agak tersasar kerana kehadiran pusaran dalam air daripada angin kencang.

“Selain bertanding, seronok juga dapat bertemu kesemua rakan dari Indonesia yang pasti menyaingi kami dalam siri kejohanan antarabangsa akan datang,” katanya Aaliyah lagi.


AIDEN Yoong Hanifah turut menjuarai acara tricks lelaki Kejohanan Luncur dan Lonjak Malaysia 2024 dengan catatan 5,340 mata. - Kredit foto: MWWF


Kegembiraan berganda tiba buat Tim Luncur Malaysia apabila adiknya, Aiden Yoong Hanifah, 18, memenangi slalom, tricks dan keseluruhan – tiga daripada empat gelaran kategori lelaki.

Dia yang menewaskan rakan sepasukan, Syahir Nasir dan Zahidi Putu (Indonesia) dalam slalom dengan catatan 3/58/16, turut memungut 5,340 dalam tricks untuk mengatasi M. Rafi dan Zahidi, 1,990 dan 1,690.

Aiden turut muncul juara keseluruhan dengan 2,124.26 mata mengatasi Zahidi di tempat kedua, 2,101.62 mata.

Namun Aiden kehilangan gelaran slalom dengan PB baharunya, 27.1m, kepada Zahidi yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan mencatat 41.9m.

“Ini kali pertama dalam dua tahun saya menyertai jump dalam sebuah kejohanan dan mendapat PB baharu.

“Pastinya saya gembira tetapi kalah kepada Zahidi memang diduga. Saya pun terkejut bercampur gembira dengan tiga gelaran slalom, tricks dan keseluruhan.,” katanya.

Agak malang buat seorang lagi saudara mereka, Adam Yoong Hanifah – pemenang pingat emas tricks Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 - yang terlepas kejohanan ini kerana tercedera pada minggu terdahulu. - KitaReporters

 

12
13
0
7
0
You will be interested