.
Dewi Perrsik, 36, salah seorang penyanyi dangdut (pendangdut) popular Indonesia yang berpendapatan tinggi hasil kerjaya seni dan perniagaannya dikritik oleh sejumlah masyarakat kerana memberi duit raya dengan nilai ciput kepada penduduk kampungnya di Jember, Jawa Timur.
Penduduk kampung yang rata-rata golongan bawahan mengharapkan insan seni yang nama asalnya Dewi Muria Agung ini memberi duit raya dalam nilai yang munasabah dengan kedudukannya.
Tahun 2025 merupakan kali pertama Dewi memberi duit raya kepada penduduk kampung halamannya.


Dewi juga dikenali sebagai Depe, selain menjadi penyanyi, juga menjadi pelakon dan kini menjadi salah seorang hos program bual bicara ‘Pagi-Pagi Ambyar’ di TransTV, menjadikan dia antara insan seni berpendapatan tinggi di Indonesia. Selain itu, Dewi turut mempunyai sejumlah perniagaan.
Namun ramai yang kesal apabila menerima cuma Rp10 ribu (kira-kira RM3) seorang, sedangkan mereka berharap akan mendapat lebih iaitu sekurang-kurangnya Rp100 ribu (kira-kira RM30).

Dewi melalui laman TikToknya kemudian meluahkan rasa kesalnya kerana dituduh sebagai kedekut dalam pemberian duit rayanya. Menurut Dewi dia bukan terlalu kaya dan jumlah itu dianggap wajar.
Dewi dilaporkan telah memperuntuk duit raya sebanyak hampir RM45,000 untuk memberi RM3 kepada 15,000 penduduk, manakala 5,000 penduduk kampung halamannya di Jember juga menerima sekampit beras seberat 5 kilo seorang.

Bagi Dewi jumlah sumbangan yang diberi memadai kerana dia juga perlu memberi duit raya kepada para pekerjanya dan anak-anak mereka yang jumlahnya bukan sedikit. Dewi berharap orang-orang yang diberi hadiah hari raya bersyukur dengan pemberiannya.
Tambah Dewi, dia berharap dapat memberi hadiah hari raya lebih besar pada hari-hari lebaran akan datang.
Dewi meminta masyarakat mendoa kejayaan lebih besar untuknya dalam bidang seni dan perniagaan. Dan hasilnya akan dinikmati bersama. - KitaReporters
Tags: