Seni & Sukan 03 May, 2025

Tersebutlah kisah! Konsert Al-Kisah 10 tahun Kugiran Masdo! Artis pertama guna lokasi terbaharu!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this


Kumpulan muzik retro moden yang memiliki tempat istimewa di hati ramai, Kugiran Masdo, baru-baru ini mengukir satu lagi memori indah dalam perjalanan seni mereka yang kini mencecah satu dekad. 

Sebagai tanda syukur dan penghargaan kepada para peminat setia, mereka telah mengadakan sebuah acara eksklusif dan penuh kejutan bertajuk “Perjumpaan Ahli Mesyuarat Tingkap”. 

Bertempat di lokasi ikonik Saloma Kuala Lumpur, acara yang berlangsung pada malam 30 April 2025 itu telah diserikan dengan kehadiran lebih 200 peminat dan rakan media yang turut berkongsi kegembiraan ini.


\


Sebelum malam yang penuh misteri itu tiba, para peminat setia Masdo telah dihujani dengan teka-teki melalui hantaran-hantaran kriptik yang dimuat naik oleh barisan hadapan kumpulan ini, Ali Sariah, bersama rakan-rakannya Asmawi dan Putu Ceri, dalam platform media sosial Instagram. 

Hantaran-hantaran ini menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai pengumuman besar yang bakal menyusul, dan rasa ingin tahu para peminat akhirnya terjawab pada malam perjumpaan rahsia tersebut.

Sebagai hadiah istimewa buat mereka yang tidak pernah jemu menyokong perjalanan muzik Masdo, sebuah persembahan showcase mini yang eksklusif telah dipersembahkan secara langsung dalam suasana intim Perjumpaan Ahli Mesyuarat Tingkap. 




Alunan lagu-lagu hit yang telah menemani peminat selama ini seperti “Dinda”, “Lautan Asmara”, “Janji Manis”, “Bunga”, dan “Berchanda di Malam Indah” telah membangkitkan nostalgia dan menyaksikan para hadirin turut serta menyanyikan setiap bait lirik.

Kemuncak acara yang paling dinanti-nantikan pada malam itu adalah pengumuman rasmi konsert ulang tahun ke-10 Kugiranlang Masdo. 



Dengan penuh simbolik, kain yang menutupi bangunan MaTiC telah ditarik ke bawah, dan mendedahkan poster Konsert Al-Kisah 10 tahun Kugiran Masdo yang disambut dengan letupan bunga api yang memukau. 

Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos 2025 ini akan diadakan di lokasi konsert terbaharu di ibu kota, Idea Live Arena KL @ 3 Damansara, dan dianjurkan oleh Hitman Solutions.

Satu lagi kebanggaan buat Masdo dan para peminatnya adalah apabila mereka menjadi artis pertama yang mengumumkan konsert di Idea Live Arena KL @ 3 Damansara. 

Dengan kapasiti yang mampu menampung sehingga 7,000 penonton, lokasi ini dijangka akan memberikan pengalaman konsert yang lebih dekat dan meriah buat Masdo dan para peminat yang hadir meraikan sedekad perjalanan seni mereka.

Pengumuman konsert ini pastinya menjadi khabar gembira yang sangat dinantikan oleh seluruh keluarga besar peminat Masdo di Malaysia. 




Sementara itu, Pengasas  dan Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, Rohit Rampal (gambar atas, dua dari kanan) , turut berkongsi mengenai konsert yang bakal berlangsung ini, 

"Sebagai rakyat Malaysia yang turut bergiat dalam dunia hiburan dan muzik, kami sentiasa mencari peluang untuk menyokong artis tempatan. 

"Dengan pengalaman, bakat, dan legasi Masdo yang tidak pernah pudar sepanjang satu dekad ini, ulang tahun ke-10 mereka perlu diraikan dengan penuh meriah,” kata Rohit Rampal.

Bagi pihaknya, pengumuman besar ini perlu dimulakan dengan sesuatu yang benar-benar istimewa dan penuh kejutan, supaya perjalanan menuju hari konsert nanti menjadi lebih bermakna. 

“Dengan sokongan padu daripada peminat setia mereka, kami yakin konsert ini bakal meraih sambutan luar biasa, bukan sahaja daripada peminat lama tetapi juga yang baharu,” akhiri Rohit Rampal. Turut hadir Presiden Saloma Kuala Lumpur. Datin Riza Dato Che Umar (gambar bawah, dua dari kiri). - KitaReporters


13
6
0
13
0
You will be interested