Kampus & Pendidikan 18 Jun, 2025

Syabas Alumni Politeknik Seberang Perai! Bersihkan pantai Bagan Ajam, SPU! Bersama Team Lestari RnR!

@nazar hashim
Emel: nazarhashim10@gmail.com

Share this

Sampah yang dikumpul dimasukkan ke dalam beg hitam sebelum dibuang.

Aktiviti membersihkan kawasan pantai daripada sampah dan plastik telah berjaya menghimpunkan alumni Politeknik Seberang Perai (PSP), pelajar dan kakitangan PSP, pasukan sukarelawan Lestari dan keluarga.

Program Pembersihan Pantai kali kedua anjuran alumni PSP dengan kerjasama 'Team Lestari RnR' telah diadakan seawal jam 7.30 pagi Ahad, 15 Jun 2025 lalu di sepanjang pantai Bagan Ajam, Butterworth, Seberang Perai Utara.

Seramai 106 peserta turun padang membersihkan kawasan pantai daripada sisa plastik dan sampah yang bertaburan dan bersepah.


Aktiviti membersihkan pantai di Bagan Ajam, Butterworth anjuran Alumni Politeknik Seberang Perai bersama 'Team Lestari RnR' 

Seawal jam 7.30 pagi, peserta telah bersedia untuk membersihkan plastik dan sampah di sepanjang pantai Bagan Ajam, Butterworth.

Presiden Persatuan Alumni PSP, Norzawati Ahmad berkata, program pembersihan pantai kali kedua itu terbukti berjaya memupuk kesedaran menjaga alam sekitar dalam kalangan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tambahnya, program seperti ini juga menjadi platform untuk mengeratkan lagi silaturahim dan kerjasama dalam kalangan Alumni PSP.

Sebelum aktiviti pembersihan pantai dimulakan secara berkumpulan, taklimat keselamatan dan kaedah pengasingan kitar semula telah disampaikan kepada semua peserta.


Alumni Politeknik Seberang Perai bersama Chee Yeeh Keen yang turut hadir memberi sokongan kepada peserta.

Sampah sedia untuk dibuang setelah dikumpul oleh peserta.


Program berfaedah ini turut mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen yang turut hadir.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa setiap cebisan sampah yang wujud adalah hasil perbuatan manusia.

"Jika anda ingin mengurangkan jumlah sampah, ia mesti bermula dengan diri sendiri. Jangan buang sampah merata-rata dan amalkan 3R iaitu 'kurangkan, guna semula dan kitar semula,'" tambahnya.

Rata-rata peserta yang hadir menyatakan komitmen mereka untuk meneruskan inisiatif sebegini pada masa hadapan.

Program diakhiri dengan sesi bergambar kenangan dan jamuan 'potluck' yang meriah penuh semangat kekeluargaan. - KitaReporters

Norzawati Ahmad menyampaikan hadiah kepada Chee Yeeh Keen dan setiap peserta. 


Para peserta bergambar kenang-kenangan bersama pihak penganjur.

16
16
0
7
0
You will be interested