Seni & Sukan 30 Apr, 2025

Singkir pasukan culas bayar gaji! FAM, MFL perlu tegas! Jangan bagi muka! Kena profesional! - Dr Pekan

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 


LIGA Malaysia (Liga M) 2024-2025 melabuhkan tirainya dengan perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC dan Sri Pahang FC di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu, 26 April, 2025 menjadi penutup.

Sepanjang musim 2024-2025 pelbagai rencah pertandingan disajikan dengan isu tunggakan gaji beberapa pasukan mendominasi tajuk utama, sekali gus mencalar imej Liga M.

Ia isu yang tiada kesudahan, skrip sama berulang saban tahun sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan tidak mustahil akan diulang tayang bila musim 2025-2026 akan berlangsung nanti.

Terbaharu, khabarnya Perak FC sudah mengambil keputusan menarik diri dari Liga M musim depan (2025-2026) ekoran masalah kewangan yang membelenggu pasukan itu sehingga turut terjerumus dalam isu tunggakan gaji. 

Apakah kesudahannya kepada episod hitam bola sepak Malaysia ini?


LAPORAN akhbar Sinar Harian mengenai isu tunggakan gaji bola sepak.


KitaReporters (KR) mendapatkan pandangan pemerhati bola sepak terkemuka, Datuk Dr Pekan Ramli (DDPR) mengenai isu berkenaan. Ikuti wawancara bersama beliau.

KR: Datuk apakah langkah yang perlu diambil bagi menangani isu tunggakan gaji ini?

DDPR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu tegas setegas-tegasnya dalam isu tunggakan gaji pegawai dan pemain yang ditanggung oleh banyak pasukan Liga Super ini.

Jangan lagi beri muka dan jangan ada sebarang toleransi kepada pasukan-pasukan yang masih mempunyai hutang tertunggak berbulan-bulan musim lalu sebelum musim baharu bermula.

Pastikan semua hutang tertunggak telah diselesaikan dengan bukti yang benar dan sah sebelum lesen diberi untuk menyertai musim 2025/2026. Tiada lagi pemalsuan dokumen berlaku.


DATUK DR PEKAN RAMLI


KR: Adakah ini bermakna pasukan yang gagal melunaskan tunggakan gaji  tidak diberi lesen untuk bertanding?

DDPR: Lakukan pembersihan total untuk isu, jika perlu hantar pegawai-pegawai FAM atau MFL untuk membuat audit kewangan pasukan.

Jika simptom kebimbangan FAM/MFL masih ada dengan tindakan tegas itu boleh menjejaskan jumlah pasukan yang dapat bersaing dan takutkan kehilangan sumber tajaan, maka isu hutang tunggakan gaji ini akan muncul lagi awal musim depan dan ianya 'never ending story'.

KR: Selain isu tunggakan gaji, ramai beranggapan MFL perlu menstrukturkan semula liga kita yang kelihatan makin lesu.

DDPR: Jujur saya katakan memang kita perlu perkemas kembali liga kita ini. Saya lihat perjalanan liga sewaktu era semi pro dulu lebih kemas. Sekarang nama sahaja liga profesional tetapi jelas tidak diuruskan secara profesional dalam banyak aspek.

Antaranya kita mungkin terpaksa melihat kembali jumlah kuota pemain import yang dibenarkan. Sejak dulu jumlah kuota pemain import ini kerap didebatkan. Sekejap tambah, sekejap kurangkan.


LAPORAN akhbar Kosmo mengenai penambahan kuota import untuk empat pasukan.


KR: Boleh Datuk huraikan?

DDPR: Biarlah jumlah import yang dibenarkan tidaklah terlalu ramai hingga hampir lengkap untuk kuota kesebelasan utama. Ini bukan Liga Perdana Inggeris. Kualiti liga kita dari aspek kualiti, visibiliti dan komersil pun hanya ciput sahaja.

Memang ada pasukan yang mampu dan memerlukan kerana layak beraksi pada saingan peringkat elit atau tertinggi kelab Asia. Namun itu hanya peringkat kelab sahaja. Ia bukan slot layak beraksi yang kekal selama-lamanya.

KR: Tidakkah cadangan ini akan dilihat sebagai ‘berundur ke belakang’?

DDPR: Sudah tentu cadangan 'gostan' kembali ini tidak disenangi namun kita perlu melihat impak atau kesannya secara holistik kepada bola sepak negara dari aspek peluang beraksi dan perkembangan bakat pemain tempatan.

Secara tidak langsung ia turut menjejaskan kualiti pasukan kebangsaan pada peringkat antarabangsa.

KR: Tapi, sekarang kita miliki ramai pemain naturalisasi dan warisan yang dilihat mampu memperkukuhkan skuad kebangsaan.

Ya sekarang ramai pemain warisan dan naturalisasi untuk Harimau Malaya tetapi sampai bila kita boleh bergantung kepada mereka?


KEDAH Darul Aman FC antara kelab yang berdepan isu tunggakan gaji.


KR: MFL juga tidak terlepas daripada kritikan.

DDPR: MFL perlulah menonjol sebagai sebuah badan pengendali liga yang benar-benar profesional.

Jangan berfungsi sebagai sebuah urusetia yang boleh dikawal dan dimanipulasi dan  tidak konsisten dalam membuat pelbagai keputusan. Menguruskan perjalanan liga dan jadual liga yang cekap, adil dan saksama.

Sebenarnya isu ini saling berkait dengan masalah tunggakan gaji yang berlaku sekarang. FAM dan MFL jangan bersifat bahawa isu gaji tertunggak pemain adalah permasalahan dalaman kelab atau pasukan yang berpunca daripada kelemahan mereka sendiri.

Sebenarnya ia juga berpunca daripada kelemahan FAM dan MFL dalam membuat dan merubah peraturan tanpa menyedari kesan buruk yang dihadapi kebanyakan pasukan pada peringkat aksi liga dan juga kepada pembangunan bola sepak secara keseluruhan.  KitaReporters

 

13
11
0
9
0
You will be interested