Insan & Komuniti 06 Jun, 2025

Perjuangan senyap dihargai! Tahniah Lee Bee! Terima bintang AMN! 4 dekad santuni insan pekak, bisu!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 

 

DYMM Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menganugerah darjah kebesaran AMN kepada Tan Lee Bee.


"SAYA rasa gembira, terharu, ingin menangis juga... saya rasa amat bersyukur,” demikian luahan jurubahasa isyarat, Tan Lee Bee selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Isnin, 2 Jun, 2025.

Lee Bee, 64, adalah antara penerima pingat kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong pada hari berkenaan.

"Pengiktirafan ini bukan hanya untuk saya seorang, tetapi juga simbolik penghormatan kepada setiap jurubahasa yang bekerja dalam senyap demi keterangkuman yang lebih adil di Malaysia,” katanya sebak seperti dilaporkan Bernama.

Bagi yang pernah mengikuti kisah perjalanan karier Lee Bee sudah tentu faham mengapa  beliau terlalu beremosi sehingga sebak selepas dianugerah bintang Ahli Mangku Negara (AMN) itu.


TAN LEE BEE Kredit foto: Bernama- 


Ia adalah satu pengiktirafan yang sangat bermakna bagi seorang yang sudah lebih empat dekad memberi khidmat kepada orang kurang upaya terutama kepada golongan pekak dan bisu.

Lebih bermakna dan membuatkan beliau sebak adalah pingat itu dianugerahkan oleh raja pemerintah negara, Yang di-Pertuan Agong.

Lee Bee bukan asing kepada rakyat Malaysia terutama mereka yang membesar dengan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) kerana beliau kerap muncul di sudut bawah skrin televisyen untuk menterjemah apa yang disampaikan oleh pembaca berita dengan bahasa isyarat.

Menurut laporan Bernama, perjalanan Lee Bee sebagai jurubahasa isyarat bermula bukan kerana cita-cita, tetapi kerana kasih dan empati terhadap insan yang paling dekat di hati, iaitu adik perempuannya yang mengalami masalah pendengaran.


SYAHRIL A KADIR bersama Lee Bee. - Kredit foto: FB Syahril A Kadir.


"Saya mempunyai seorang adik kurang upaya pekak.... Saya belajar bahasa isyarat kerana adik saya. Seterusnya saya mula bertugas sebagai seorang guru untuk orang pekak.

"Saya menjadi guru selama 17 tahun. Semasa menjadi guru, saya juga berkhidmat sebagai jurubahasa dengan Mahkamah Persekutuan Malaysia,” katanya yang juga jurubahasa isyarat mahkamah pertama di Malaysia pada 1994.

Sumbangan anak jati Segamat, Johor itu dalam dunia penyiaran bermula lebih awal daripada jangkaan ramai, iaitu kira-kira pada 1985 apabila muncul di kaca televisyen menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Mengimbas kembali pembabitan Lee Bee secara tidak sengaja sebagai jurubahasa isyarat, wartawan Syahrir A Kadir menukilkan menerusi Facebooknya bahawa wanita itu tidak pernah mempelajari kaedah ‘bahasa tangan’ itu secara formal sewaktu menyertai RTM sebagai jurubahasa isyarat.


LEE BEE sering muncul di kaca televisyen sebagai penterjemah menggunakan bahasa isyarat.


Sebaliknya, ia bermula apabila Lee Bee menemani adiknya yang mengalami masalah pekak untuk bersekolah di sebuah sekolah khas di Kuala Lumpur.

Simpati dengan nasib adiknya, setiap hari Lee Bee menemaninya di sekolah sehingga adiknya habis belajar.

“Siapa sangka daripadanya hanya nak menemani adik saya di kelasnya, saya boleh menguasai bahasa isyarat dengan lancar beberapa bulan kemudian setelah melihat apa yang diajar oleh guru kelas tersebut,” cerita Lee Bee kepada Syahril.

Syahril, bekas wartawan Utusan Malaysia yang menggendalikan podcast X’Klusif Bersama Syahril seterusnya menulis,  pembabitan Lee Bee bersama RTM bermula pada tahun 1986, adalah atas inisiatif Menteri Penerangan ketika itu Allahyarham Datuk Mohamad Rahmat yang mahukan seorang jurubahasa isyarat dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.



Menerusi Syahril juga, Lee Bee berkongsi pengalamannya ketika dipanggil menjadi jurubahasa isyarat dalam satu majlis yang dihadiri Tun Dr. Sti Hasmah Mohamed Ali pada tahun 1988.

Selepas majlis berakhir, katanya, Dr. Siti Hasmah melahirkan kekaguman dengan kemahirannya menggunakan bahasa tangan.

Lalu, kata Lee Bee, beliau menggunakan kesempatan itu untuk meminta bantuan kepada Dr. Siti Hasmah agar menyokongnya mendapat latihan bahasa isyarat di Amerika Syarikat.

“Beliau minta saya tulis surat mengenainya. Siapa sangka seminggu kemudian isteri Tun Daim Zainuddin menemui saya dan memaklumkan permohonan saya ke negara berkenaan telah diluluskan.

“Syaratnya saya perlu kembali ke tanah air selepas itu untuk membantu golongan pekak di Malaysia.

 “Akhirnya saya berpeluang melanjutkan pelajaran dalam bidang ini selama setahun di Universiti Tennessee,” ujarnya.

Menurut Lee Bee, selain bertugas di RTM, beliau turut menyumbang kepakarannya sebagai jurubahasa isyarat di mahkamah-mahkamah seluruh negara.


 

LEE BEE memperaga pelbagai gaya bagi memastikan penonton yang terdiri daripada insan pekak atau bisu memahami apa yang mahu disampaikannya.


Sesuatu yang menarik, selain menggunakan tangan sebagai bahasa isyarat, Lee Bee sering kali menjadi perhatian penonton kerana permainan ekspresi wajahnya dalam menyampaikan sesuatu berita atau maklumat.

Bagi kita orang normal, apa dilakukan oleh Lee Bee sesuatu yang melucukan tapi hakikatnya beliau bukan sengaja mahu berlakon sebaliknya sebagai salah satu cara menyampaikannya dengan berkesan.

Beliau mengakui walaupun berpengalaman lebih 40 tahun dalam bidang itu namun tetap berdepan cabaran bagi memastikan audien yang pekak atau bisu faham apa yang mahu disampaikan.

Justeru, Lee Bee terpaksa mengguna kaedah lakonan bagi memastikan mereka benar-benar faham.

“Memang susah, adakalanya ketika saya mengajar dulu, saya terpaksa mengambil masa 30 minit semata-mata hendak menerangkan makna satu perkataan,” katanya.

“Sebenarnya dulu saya selalu berdoa kepada Tuhan agar adik saya yang cacat pendengaran itu akan pulih, Tuhan mendengar permintaan saya, walaupun adik saya tidak sembuh tetapi Tuhan berikan peluang kepada saya untuk berbakti pula kepada insan sepertinya,” kata Lee Bee kepada Syahril. - KitaReporters


 

15
14
0
12
0
You will be interested