
Deretan kedai emas. Kelantan sepatutkan popularkan negeri itu sebagai destinasi melawat Kelantan, beli emas.

Jutaan ringgit emas buat isteri tercinta.
MASIH ingat lagi tak, beberapa minggu lalu usahawan terkemuka Datuk Alif Shukri berbelanja RM1.5 juta beli barangan kemas buat isterinya, Datin Nur Shahida Mohd Rahsid sebagai penghargan. Dan sebelum itu juga, seorang pempengaruh terkenal juga turut membelanja sejuta ringgit selepas dia dan isterinya diberi sambutan dingin oleh pekerja kedai emas.
Selepas itu, paparan ibu Alif Shukri, Bonda Rozita pula menunjukkan barang-barang kemasnya yang mungkin bernilai jutaan ringgit dengan memberi alasan dia membeli barang-barang kemas kerana seni kemahiran dan keunikan.
Satu lagi kata Bonda Rozita, dia membeli emas itu sebagai stok modal.
Bila susah, boleh lelong barang kemas dan dia tak perlu susah payah meminjam merata tempat. Tapi yang paling baik alasan oleh Bonda Rozita, barang kemas adalah pelaburan terbaik selain dipakai sebagai perhiasan.

Bonda beli sebab seni kemahiran dan keunikannya.

Idea yang sangat menarik bila membeli emas.
Apa yang menarik lagi kisah emas ini, beberapa hari lalu, Opah terbaca kisah orang negeri Kelantan dikatakan miskin tetapi rakyatnya terutama wanitanya, berbelanja RM200 juta sebulan membeli emas.
Ramai tahu sejak turun temurun peniaga Kelantan ini membeli emas, sama gelang atau rantai dan cincin atau kepingan emas sebagai "modal segera".
Hendak tahu tak, kedai emas di kawasan Pasar Khadijah seperti kedai runcit. Pelanggan singgah macam membeli telefon bimbit atau berurusan yang sangat mudah dan peniaga pula mengeluarkan puluhan emas tanpa ada rasa ragu kena curi!


Kedai emas di Kota Bharu macam kedai runcit.
Orang berniaga di sini kalau tak cukup modal, mereka lurutkan emas di tangan atau rantai leher.
Orang perempuan Kelantan terkenal pakai gelang tangan sampai atas lengan (menunjukkan banyaknya gelang tangan tu). Bila ditanya tak takut ke?...jawapan mudah saja, "takut juga tapi tawakal saja."

Secara kebetulan pula, Opah bertemu pula dengan Presiden Peniaga Emas Pasar Khadijah, Borhan Mohd Nor yang memberitahu, peniaga di situ sepenuh hati percaya kepada "keberkatan" sebab itu mereka tidak perlukan khidmat pengawal keselamatan.
"Sebab utama kami ialah atas dasar yakin sepenuhnya kepada cahaya keberkatan menjadikan peniaga kedai emas di sekitar Pasar Khadijah, Kota Bharu, Kelantan rasa mereka tidak perlu bayar khidmat pengawal keselamatan." katanya.
Pelik kan? Tapi itulah kata Borhan. "Kami percaya kepada negeri berkat ini dan hampir semua peniaga ruang niaga kedai emas di sini tidak perlu pengawal keselamatan termasuk pada waktu malam.
Sebab kedudukan kedai emas di kawasan terbuka dengan dikelilingi oleh penjaja yang sibuk beroperasi dari pagi sehingga subuh setiap hari.


Kedai pajak dan beli emas ada di merata tempat. Barang kemas dijual macam goreng pisang panas, laris.
"Malam ada pasar malam di sini. Sudah tentulah lampu di pasar sentiasa terang benderang dan orang ramai keluar masuk. Boleh kata, tidak mudahlah untuk pencuri pecah masuk ke kedai emas ini." katanya yang kini mempunyai 60 peniaga emas yang menjadi ahli.
Borhan memberitahu sejak persatuan ditubuhkan pada 2014, pihak tidak pernah lagi menerima aduan mengenai kecurian emas atau kedai dipecah masuk.
"Alhamdulillah setakat ini tiada masalah soal keselamatan ini atau kami kena pakai khidmat jaga berbanding kedai emas di jalan utama (berhampiran pasar itu) kerana hampir setiap masa ada saja kegiatan peniagaan.
"Siang hari ada penjaja jual buah, batu permata, kedai mainan, makanan dan kedai makan di kiri kanan. Bila malam pula dari pasar malam dan sebelum subuh, bermula jam 3 atau 4 pagi pemborong ikan serta barangan dari tanah seberang sudah sibuk menurunkan stok jualan kepada penjual dalam bakul yang duduk tepi tangga dan kaki lima," katanya.

Borhan Mohd Nor.. kita percaya kepada cahaya keberkatan yang kedai emas kita tak perlu ada pengawal keselamatan.
Malah Alif Shukri pun turut menasihatkan wanita jangan berbelanja membeli beg berjenama mewah sebab bila masa susah, barangan itu sukar dijual balik dengan harga lebih mahal.
Dengan tindakan China memberi kebenaran kepada pengilang dan pemborong negara itu menjual barangan mewah terutama beg berjenama berharga puluhan ribu ringgit kepada pelanggan dengan nilai ratusan ringgit Malaysia, bermakna semakin payahlah beg itu hendak dijadikan aset pelaburan.
Pernah Opah diberitahu masa Covid-19, ada peniaga hendak jual beg mewah dan kapal layar kerana perlukan duit segera, barangan itu tidak laku.
Emas pula diramalkan boleh menjangkau sehingga RM700 segram. Ini bermakna jika wanita ada wang simpanan masa kini sangat baik untuk mereka membeli emas.
Borhan turut memberitahu peniaga kedai emas sudah sepakat setiap hari menetakkan harga emas yang dijual. Ini bermakna ke mana saja kedai emas kita masuk harganya lebih kurang sama.
Sekarang emas 1gram dilaporkan bernilai RM400 lebih dan ramai wanita mengambil kesempatan menukar gelang emas lama mereka dan dengan menambah sedikit wang mereka boleh membeli emas baru yang lebih besar saiznya. - KitaReporter

Emas sangat bernilai dan harganya jarang turun.
