
Oleh DR HAZMAN SAMSUDIN
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China semakin meruncing, memberi kesan kepada banyak negara, termasuk Malaysia.
Dalam situasi ini, ekonomi biru yang merangkumi sektor berasaskan laut seperti perikanan, pelancongan pesisir, bioteknologi marin, pengangkutan maritim dan tenaga boleh diperbaharu (RE) turut menerima tempias.
Pada April lalu, Amerika Syarikat mengenakan tarif balas 24% ke atas kebanyakan import dari Malaysia, walaupun ditangguhkan selama 90 hari bagi memberi ruang rundingan.
Jika diteruskan, tarif ini dijangka memberi kesan kepada eksport ekonomi biru negara seperti kapal, makanan laut, bahan api serta produk kimia marin bernilai hampir AS$100 juta.
Gangguan ini boleh menyebabkan penurunan eksport, kehilangan pekerjaan serta menyukarkan pertumbuhan ekonomi.
Malaysia, sebagai negara perdagangan terbuka amat bergantung kepada kestabilan laluan perdagangan global terutamanya melalui Selat Melaka. Ketidaktentuan perdagangan mengakibatkan perubahan dalam aktiviti pelabuhan seperti di Pelabuhan Klang dan Tanjung Pelepas.
Sekatan eksport makanan laut seperti udang dan ikan pula boleh menyebabkan lambakan dalam pasaran tempatan, menjejaskan pendapatan nelayan kecil.
Selain itu, syarat kelestarian dan pensijilan ESG yang semakin ketat di pasaran Barat meningkatkan kos operasi.
Perang dagang juga berisiko menyekat akses kepada teknologi tinggi dan kerjasama penyelidikan, termasuk dalam bidang tenaga boleh diperbaharui seperti solar marin.

Namun begitu, di sebalik cabaran ini, terdapat juga peluang. Malaysia boleh memanfaatkan kedudukannya sebagai hab logistik serantau dengan menaik taraf sistem pelabuhan dan kastam.
Ketika syarikat global mencari lokasi baharu untuk mengelak tarif, Asia Tenggara muncul sebagai destinasi pilihan dan Malaysia boleh menjadi peneraju.
Pasaran makanan laut halal juga semakin berkembang, khususnya di Timur Tengah dan Asia. Eksport makanan laut sedia dimakan atau produk akuakultur bernilai tinggi boleh ditingkatkan.
Pelaburan dalam logistik sejuk beku dan pelabelan mesra alam pula mampu memenuhi permintaan pengguna yang lebih prihatin terhadap amalan lestari.
Dalam bidang tenaga, Malaysia mempunyai potensi besar dalam pembangunan tenaga angin luar pesisir, tenaga ombak dan hidrogen biru.
Selain itu, hutan paya bakau dan padang lamun boleh dimanfaatkan untuk penjanaan kredit karbon melalui inisiatif karbon biru, membuka peluang kepada pembiayaan pemuliharaan alam sekitar dan komuniti tempatan.
Malaysia juga perlu memperkasa inovasi tempatan dengan memperkukuh kerjasama antara kerajaan, universiti dan industri. Ini termasuk penyelidikan dalam teknologi marin, automasi kapal dan perancangan ruang laut.
Ketergantungan kepada teknologi asing harus dikurangkan demi menjamin daya saing jangka panjang.
Sebagai langkah ke hadapan, pelaksanaan Pelan Induk Ekonomi Biru perlu dipercepat. Pelan ini harus menyeluruh iaitu meliputi pemeliharaan alam sekitar, pemerkasaan komuniti, sokongan kewangan serta akses teknologi.
Pada masa sama, sistem perakaunan lautan yang lebih baik boleh membantu menilai aset marin dan menyokong dasar perdagangan berasaskan data.
Diversifikasi pasaran juga penting. Malaysia perlu memanfaatkan kerangka RCEP dan CPTPP untuk menembusi pasaran baharu seperti China, Afrika dan Amerika Latin khususnya dalam bidang bioteknologi marin dan akuakultur.

Perdagangan intra-ASEAN pula boleh digiatkan dengan memanfaatkan permintaan serantau dan menggalakkan aglomerasi ekonomi.
Pemberdayaan komuniti pesisir turut penting. Sokongan kepada nelayan kecil, usahawan wanita dan perusahaan tempatan akan mengukuhkan penawaran domestik serta mengurangkan kebergantungan kepada pasaran luar.
Dalam jangka panjang, pelaburan yang sejajar dengan prinsip ESG dan SDG berpotensi menarik pelabur bertanggungjawab serta membuka akses kepada dana hijau.
Walaupun perang dagang mencetuskan ketidaktentuan, ia juga menjadi peluang untuk Malaysia merombak pendekatan dan memperkukuh ekonomi biru.
Dengan tadbir urus yang cekap, pelaburan strategik dan pelaksanaan dasar yang inklusif, Malaysia mampu muncul sebagai peneraju serantau dalam pembangunan ekonomi biru yang lestari.
Dr. Hazman Samsudin ialah Pengarah ialah Pusat Kemajuan Ekonomi Biru (BEACON), Universiti Malaysia Terengganu. Tulisan ini adalah pandangan penulis.
